Showing posts with label Garis panduan. Show all posts
Showing posts with label Garis panduan. Show all posts

Saturday, June 20, 2009

GARIS PANDUAN HIBURAN YANG DIBENARKAN DALAM ISLAM


MUQADDIMAH

Antara matlamat utama manusia ini dicipta oleh Allah SWT adalah untuk mengabdikan diri kepada Nya seperti yang firmankan oleh Allah dalam surah Az Zariyyat ayat 56 yang bermaksud :

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

Maka menjadi tanggungjawab kita untuk menjadikan setiap aktiviti kita termasuk berhibur sentiasa berada di dalam ruang lingkup beribadah kepada Allah SWT.

TUJUAN

Tujuan garis panduan ini disediakan adalah untuk memberi panduan kepada para penganjur hiburan agar program hiburan yang dijalankan tidak menyalahi syara’ dan tersasar dari tujuan beribadah kepada Allah SWT.

ISLAM DAN HIBURAN

Islam adalah satu cara hidup yang sangat meraikan dan tidak pernah sekali-kali menyekat naluri fitrah manusia termasuklah berhibur seperti mendengar muzik, bunyi-bunyian dan nyanyian asalkan sahaja hiburan itu tidak menyalahi hukum-hukum syara’.

GARIS PANDUAN MENGADAKAN ACARA KONSERT / PERSEMBAHAN DAN HIBURAN DALAM ISLAM


1- Hendaklah dipastikan muzik / lagu / skrip yang mempunyai perkataan yang boleh membawa ke arah bertentangan dengan aqidah seperti menyalahi syariat Allah SWT, memburuk-burukkan Rasulullah SAW, melekehkan para sahabat, meragui hari kiamat dan pembalasan dosa pahala juga tiada unsur memuja atau taksub kepada wanita.

Allah SWT memberi peringatan kepada sesiapa yang meragui kebenaran hari kiamat dengan firmannya yang bermaksud :

"Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang - yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya - supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan (15) Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta ia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa (16).( Taaha : 15-16)

2- Suatu persembahan / konsert yang dijalankan hendaklah tidak berlebih-lebihan sehingga hak-hak Allah dan kewajipan yang lain terabai seperti menunaikan ibadah, hak mencari dan memberi nafkah, menuntut ilmu dan sebagainya.

ما من إمرىء مسلم تحضره صلاة مكتوبة فيحسن وضوءها, وخشوعها وركوعها، إلا كانت كفارة لما قبلها من الذنوب، مالم تؤت كبيرة، وذلك الدهر كله.

Tidaklah ada diantara orang Muslim jika tiba waktu solat wajib, lalu dia membaguskan wudhuknya, kekhusyukannya, dan ruku'nya melainkan solat itu menjadi penebus dosa-dosa sebelumnya, selagi dia tidak mengerjakan dosa besar, dan itu berlaku selamanya. ( HR Muslim)

3- Tidak ada muzik / nyanyian yang disampaikan tidak mempunyai senikata lagu berunsur maksiat dan lagho seperti membawa kepada rangsangan ghairah nafsu melalui tema-tema cinta yang melampau, luahan perasaan dan kerinduan yang berlebihan kepada manusia sehingga mendorong pendengar dan remaja kepada melakukan maksiat dan dosa.

Oleh itu nyanyian sebegini hendaklah dijauhi berdasarkan firman Allah seperti berikut yang bermaksud:

"Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia (lagha), mereka berpaling daripadanya,". ( Al Qasas : 55)

إن الله كتب على ابن آدم حظّه من الزنا أدرك ذلك لا محالة. فزنا العين النظر وزنا اللسان النطق والنفس تتمنى وتشتهى والفرج يصدق ذلك أو يكذبه.

"Sesungguhnya Allah telah menentukan bahagian seseorang tentang zina yang tidak mustahil didapatinya. Maka zina mata adalah memandang, zina lidah adalah mengucapkan, zina hati adalah mengingini dan faraj (kemaluan) membenarkan atau mendustakannya." (HR Bukhari dan Muslim)

4- Hendaklah hiburan tidak diiringi atau dialunkan dengan instrument bunyian terlampau seperti budaya rock sehingga penonton / pendengar mengikut rentak (melompat-lompat, menjerit dan bersorak) menjatuhkan akhlak mereka dan mendatangkan fitnah kepada diri mereka.

5- Penyanyi, pembuat persembahan dan penonton yang hadir hendaklah menjaga auratnya, tidak melakukan gerak badan yang memberahikan ataupun mempersembahkan nyanyian dengan suara lucah yang menyebabkan fitnah dan rangsangan nafsu kotor dikalangan pendengar / penonton. Sekalipun lagu dan senikata yang disampaikan adalah baik, dalam keadaan ini ianya tetap menjadi haram.

Allah swt berfirman berkenaan tuntutan menutup aurat :

"Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi `auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan." ( Al A'raf : 26)

Rasulullah saw juga memberi amaran kepada wanita yang tidak menutup aurat mereka :

إن مِن أهل النارِ نساءً كاسِياتٍ عارياتٍ مائلاتٍ مُميلاتٍ لا يدخُلْنَ الجنةَ ولا يَجِدنَ ريْحَهَا

"Sebahgian dari penghuni neraka ialah perempuan yang memakai pakaian yang menyerupai telanjang, pakaian yang sesat dan menyesatkan. Mereka tidak masuk ke syurga dan tidak mencium baunya." (HR Muslim)

إذا فعلت أمتي خمس عشرة خصلة فقد حل بها البلاء ... منهن.... واتخذت القينات والمعازف

الراوي: علي بن أبي طالب - خلاصة الدرجة: [إسناده صحيح أو حسن أو ما قاربهما] - المحدث: المنذري - المصدر: الترغيب والترهيب - الصفحة أو الرقم: 4/75

"Apabila umatku melakukan 15 perkara maka mereka layak untuk menerima bala Allah. Antara 15 perkara itu ialah…. orang ramai menjadikan wanita sebagai penyanyi (penari-penari), alat-alat yang melalaikan (muzik). …" (HR Tarmidzi)

6- Hendaklah dipastikan tiada percampuran di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tanpa sekatan dan had hingga membawa kepada bersentuhan antara lelaki wanita ajnabi, tiada majlis tari-menari, tidak berlakunya acara minum arak, pertaruhan judi, tiada drama / lakonan-lakonan liar dan seumpamanya.

Rasulullah saw bersabda dalam hal pergaulan lelaki wanita ajnabi ini :

لأن يطعن فى رأس أحدكم بمحيط من حديد خير له من أن يمس امرأة لا تحل له

"Sekiranya ditikam di kepala seseorang kamu dengan sebatang besi adalah lebih baik baginya dari menyentuh kulit wanita yang tidak halal untuk disentuh." (adab pergaulan dalam islam, dr rokiah)

(HR Baihaqi)

7- Penyanyi tersebut hendaklah dari kalangan lelaki jika penontonya adalah lelaki dan wanita manakala jika persembahan itu tertutup dan semua yang berkait dengannya adalah wanita maka dibolehkan penyanyi itu dari kalangan wanita. Ini adalah bagi mengelak segala fitnah dan punca kerosakan dari suara wanita dan pergerakan manja wanita yang menggoda. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Maka janganlah kamu wahai wanita berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)."

(Al Ahzab : 32)

Dan Rasulullah SAW juga bersabda :

عن أبي مالك الأشعري قال، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ليشربن الناس من امتي الخمر يسمونها بغير اسمها يعزف على رؤوسهم بالمعازف والمغنيات يخسف الله بعم الارض ويجعل منهم القردة والخنازير.

"Daripada Abu Malik al-Asy’ari daripada Nabi saw bersabda; Beberapa orang daripada umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan bukan nama asalnya dan dialunkan muzik kepada mereka dan dihiburkan oleh penyanyi-penyanyi perempuan. Allah akan membenamkan mereka ke dalam perut bumi dan Allah akan menjadikan mereka kera dan babi." (HR Ibnu Majah)

PERINGATAN

Syaitan selalunya mengambil peluang dari hiburan yang melalaikan untuk menyesatkan dan melaghakan manusia. Allah SWT berfirman dalam surah Al Lukman ayat 6 yang bermaksud :

“Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan”.

Bertitik-tolak dari itulah, satu garis panduan berkenaan hiburan disusun supaya kehalusan seni hiburan yang digariskan Islam itu dapat direalitikan.

KESIMPULAN

Industri hiburan dan nyanyian yang harus dalam Islam adalah sesuatu yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia, menghibur dan memberikan ketenangan kepada jiwa disamping mematuhi adab-adab Islam. Ini menuntut kesedaran yang tinggi dari pemuzik dan penggiat seni Muslim supaya membentuk industri hiburan tersendiri dan terpisah daripada pengaruh jahat Kuffar. Sebarang percubaan Kuffar untuk menghanyutkan umat Islam ke arah kemaksiatan, kemudharatan dan kefasikan mestilah dihalang beracukan penetapan dan susur galur Al Quran dan Sunnah Rasul SAW.

12 Jamadil Akhir 1429H

16 Jun 2008M

DATO SERI (DR)HJ HARUSSANI BIN HJ ZAKARIA

SPMP.,JSM.,AMN.,PKT.,PJK

MUFTI NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

GARIS PANDUAN HIBURAN DALAM ISLAM


1. TUJUAN

Garis Panduan Hiburan Dalam Islam ini disediakan untuk memberi panduan kepada pihak yang terlibat dalam industri hiburan merangkumi nyanyian, muzik, tarian dan lain-lain. Garis Panduan ini juga akan dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat awam yang menyertai persembahan rancangan hiburan.

2. PENDAHULUAN

2.1. Pada dasarnya Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud:

“Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya idul fitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita.” (Riwayat Ibnu Majah)

Berdasarkan Hadis tersebut, nyatalah bahawa hiburan yang menghiburkan jiwa serta menenangkan hati diharuskan oleh Islam. Ini dinyatakan oleh al-Syeikh Yusuf al-Qardhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian. Hiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa. (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal. 273).

2.2 Dalam membincang isu ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke-2 pada 12 – 13 Mei 1981 telah membuat keputusan seperti berikut:

a) Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat[1], tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah[2] adalah harus;

b) Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;

c) Pancaragam yang melalaikan[3] hukumnya haram;

d) Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan

e) Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.

3. KANDUNGAN GARIS PANDUAN

3.1 Garis panduan ini mengandungi perkara-perkara berikut:

3.1.1 Takrif

3.1.2 Program Hiburan

3.1.3 Persembahan Muzik

3.1.4 Lirik Lagu

3.1.5 Persembahan Artis

3.1.6 Persembahan Tarian

3.1.7 Tanggungjawab Penganjur

3.1.8 Kesimpulan

3.2 Takrif

3.2.1 Hiburan

Maksud hiburan ialah sesuatu (perbuatan, benda dll) untuk menghiburkan (menyenangkan, mententeramkan) hati. (Kamus Dewan).

3.2.2 Nyanyian

Maksud nyanyian ialah gubahan muzik yang dilagukan dengan suara. (Kamus Dewan).

3.2.3 Muzik

Maksud muzik ialah gubahan bunyi untuk memperoleh keindahan bentuk dan pernyataan perasaan. (Kamus Dewan).

3.2.4 Tarian

Maksud tarian ialah gerakan badan serta tangan dan kaki berirama mengikut rentak muzik. (Kamus Dewan).

4. GARIS PANDUAN

Garis panduan yang memisahkan sama ada hiburan itu boleh atau sebaliknya menurut Islam adalah sejauh mana hiburan tersebut mencapai maksud dan prinsip Islam yang menekankan ke arah kesejahteraan umat manusia. Antara garis panduan tersebut adalah seperti berikut;

a) Program Hiburan

i. Bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan.

ii. Diadakan di tempat yang bersesuaian supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan orang ramai.

iii. Mengambilkira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam.

iv. Tidak disertai oleh perbuatan-perbuatan haram atau maksiat.

v. Tidak mengandungi acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan.

vi. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan atau penyembahan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

b) Persembahan Muzik

i. Tidak menimbulkan gerakgeri liar.

ii. Tidak mendorong kepada perbuatan maksiat.

iii. Tidak melalaikan.

c) Lirik

i. Kalimah syahadah dalam bahasa Arab hendaklah disempurnakan.

ii. Tidak mengandungi sebutan yang boleh membangkitkan nafsu syahwat, perkataan lucah, menggambarkan arak, dan memberi perangsang melakukan dosa.

iii. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan kepada makhluk dan peribadi.

iv. Tidak mengandungi ungkapan-ungkapan yang melanggar adab kesopanan dalam Islam.

v. Tidak mengandungi ungkapan yang melanggar akidah dan syariat Islam.

vi. Tidak mengandungi unsur mengutuk nasib dan lucah.

vii. Tidak mengandungi unsur menghina, mengaib, mencaci, memfitnah dan seumpamanya.

viii. Tidak boleh menjadikan teks al-Quran sebagai lirik.

d) Persembahan Artis

i. Berinteraksi dengan penonton secara sopan dan disertai kata-kata yang boleh membina nilai-nilai kemanusiaan.

ii. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.

iii. Tidak melakukan gerak geri dan perkataan yang boleh menimbulkan perasaan yang mendorong kepada maksiat dan menghina Islam.

iv. Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat atau menghina agama Islam.

e) Persembahan Tarian

i. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.

ii. Gerak tari yang dipersembahkan tidak menimbulkan fitnah.

iii. Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.

iv. Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan.

v. Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.

f) Tanggungjawab Penganjur

Penganjur hendaklah mempastikan acara hiburan yang dianjurkan menepati garis panduan yang telah disediakan.

5. Kesimpulan

Garis Panduan ini diharap memberikan panduan kepada pihak yang terlibat dalam industri hiburan. Ia juga dijadikan usaha untuk mewujudkan masyarakat yang dapat mengamal dan menikmati hiburan berteraskan nilai-nilai akhlak dan syariat Islam.

RUJUKAN

1. Mausu’ah al-Fiqhiyyah, Wizaratul Auqaf Wa al- Syu’un al-Islamiah,Cetakan Pertama, 1995, Kuwait.

2. Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran, Syeikh Abdullah bin Mohamad Basmeih, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

3. Al-Halal wa al- Haram fi al-Islam, Syeikh Yusuf al-Qardhawi, al-Maktab al-Islami, Cetakan ke-15, Beirut 1994.

4. Kamus Dewan, Edisi Baru, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991.

5. Garis Panduan Muzik, Nyanyian dan Seni Menurut Pandangan Islam, Bahagian Penyelidikan, JAKIM.

6. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-2 pada 12 – 13 Mei 1981.

7. Garis Panduan Penyiaran, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

[1] Sesuatu perbuatan yang haram (Mausu’ah al-Fiqhiyyah)

[2] Cubaan, gangguan, hasutan dan kekacauan (Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran)

[3] Perkataan dan sebagainya yang tidak mendatangkan hasil serta tidak memberi faedah dan manfaat . (Mausu’ah al-Fiqhiyyah)

Tarikh : 14 Januari 2009

Sumber : Pengarah Bahagian

Editor : PRO JAKIM

Rakan-rakan Pembaca Budiman