Showing posts with label Ibadah. Show all posts
Showing posts with label Ibadah. Show all posts

Sunday, June 14, 2009

Bab 4: Saya Mestilah Memahami Cara-cara Beramal Dalam Islam


Penggabungan saya dalam gerakan Islam mewajibkan saya mengetahui mengapakah saya berada di dalam Harakah Islamiah (gerakan Islam) dan tidak bersama organisasi lain? Apakah sebab-sebab yang menjadikan saya berada di dalamnya? Mengapa saya tidak berada di dalam organisasi lain? Apakah sebab-sebab yang menjadikan saya berada di dalamnya? Mengapa saya tidak berada di dalam organisasi lain? Apakah ini satu kebetulan (sedangkan kebetulan adalah tertolak oleh logik Syariat Islam) atau ia adalah hasil dari penelitian dan pilihan saya sendiri?

Saya mesti memahami cara-cara atau jalan pergerakan dalam Harakah Islamiah supaya penggabungan saya dengan Harakah Islamiah adalah penyertaan yang dibuat atas dasar kesedaran dan pemikiran yang sihat, bukan penyertaan secara membuta-tuli atau kerana sesuatu keinginan.

Apabila saya menggabungkan diri dengan Harakah Islamiah saya mestilah mengetahui bahawa cara bergerak dalam gerakan-gerakan lain dan organisasi yang berbagai bentuk tidaklah mencerminkan garis dasar Islam sebenarnya.

Tidak ada satupun dari organisasi-organisasi itu sendiri terdapat perbezaan yang besar dari sudut iltizam sama ada dalam soal prinsip mahupun soal cabang.

Pada hakikatnya orang yang memerhatikan seluruh alam Islami akan melihat wujudnya pertubuhan Islam berbagai bentuk dan aliran.

1. Kelompok Yang Menjurus Kepada Kerohanian.

Kita dapati wujud badan-badan yang kegiatan-kegiatannya menjuruskan kepada soal-soal kerohanian semata-mata di mana mereka menitikberatkan pendidikan kerohanian sahaja. Manakala bidang-bidang yang lain tidak langsung mendapat perhatian sedangkan bidang-bidang itu dipandang penting oleh Islam seperti bidang pemikiran, siasah (politik), jihad, organisasi, perencanaan, perancangan dan seumpamanya.

Pendekatan dan fahaman demikian menyebabkan mereka terpisah jauh dari realiti kehidupan, tidak memahami keadaan persekitaran tempat mereka hidup dan tidak mungkin (diadakan sesuatu usaha) yang memberikan kesan dan mengubah suasana tersebut.

2. Kelompok Yang Menjurus Kepada Kebudayaan dan Ilmu.

Kita juga dapat wujudnya badan-badan yang kegiatannya menjuruskan kepada kebudayaan dan ilmu pengetahuan semata-mata, yang pada asalnya muncul dari sikap ingin bertindak-balas atau keinginan berlumba-lumba dengan pertubuhan-pertubuhan lain (seperti pertubuhan Kristian dan Yahudi). Antara lain pertubuhan yang mengikut aliran-aliran ini ialah Syubbanul Muslimin. Kemunculan cara ini menyebabkan mereka turut bertitik-tolak di atas pertubuhan-pertubuhan tersebut kerana tekanan dan terpengaruh dengan tradisi pertubuhan-pertubuhan berkenaan.

Bahkan terdapat kelompok-kelompok Islam di dalam aliran ini dalam banyak keadaan memberikan kerugian kepada Islam kerana gerak-kerjanya adalah selari dengan pertubuhan-pertubuhan yang terang-terang menentang Islam dan penganutnya. Pertubuhan-pertubuhan seperti ini sudah tentu tidak diterima oleh Syariat Islam yang bersifat tersendiri dan berbeza dengan pertubuhan-pertubuhan yang lain.

3. Kelompok Yang Menjuruskan Kepada Kebajikan Semata-mata.

Kita juga dapat wujud kelompok yang bergiat dalam bidang kebajikan kerana terasa tekanan perlunya memberi bantuan kepada golongan yang menderita dan memberi bantuan perubatan kepada para pesakit dan golongan yang melarat sebagaimana yang dilakukan oleh "Jamaah Makarimul Akhlak" yang bergiat memperbaiki akhlak, persatuan pertolongan cemas, mendirikan rumah anak-anak yatim dan seumpamanya. Jamaah-jamaah ini sekalipun telah melakukan kerja-kerja yang dituntut oleh Islam dan patut disanjung namun jamaah ini terus kekal dalam lengkungan kerja-kerja asal penubuhannya sahaja, tidak lebih dari itu. Oleh itu ia tidak mungkin dianggap sebagai sebuah harakah yang berusaha membawa perubahan yang bermatlamatkan menegakkan masyarakat Islam dalam mengembalikan cara hidup Islam.

4. Parti-parti Yang Menumpukan Kepada Kegiatan Politik Semata-mata.

Terdapat juga juga parti-parti politik Islam yang menjuruskan kegiatankegiatan mereka kepada politik semata-mata. Pertubuhan-pertubuhan ini bergiat dengan kegiatan-kegiatan tertentu sahaja, tidak mempelbagaikannya atau melewatinya. Mereka bergerak atas nama Islam tetapi tidak menjadikan ciri-ciri akidah sebagai asas jamaah (organisasi) mahupun sebagai pegangan individu anggotanya. Pertubuhanpertubuhan ini ada kalanya tidak segan silu melanggar prinsip-prinsip Islam atau keluar dari perkara-perkara pokok dengan alasan mengambil jalah rukhsah (flexibility) atau keanjalan dan keterbukaan ajaran Islam atau dengan memberi alasan langkah demikian adalah untuk maslahah atau untuk kepentingan umat Islam.

Di antara contoh amalan-amalan di atas ialah turut serta di dalam gerak kerja kerajaan yang mengamalkan sistem ciptaan manusia yang kafir atau mengutamakan masalah-masalah cabang dan ranting dengan amal kerja secara habis-habisan manakala tuntutan-tuntutan asasi yang menjadi suruhan Islam diabaikan.

Sesungguhnya badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan parti-parti politik Islam yang disebut di atas, semuanya tidak mengamalkan amal Islami yang tulin, sempurna lagi menyempurnakan, iaitu amal-amal yang mampu membawa perubahan dari alam jahiliah kepada alam Islam, amal yang dapat menyelamatkan dunia Islam dari cengkaman dan belenggu peradaban barat yang zalim dan pemerintahan barat yang melampau, amal-amal yang mampu membentuk peribadi-peribadi muslim, keluarga muslim, masyarakat muslim dan akhirnya menegakkan sebuah Negara yang memerintahkan dengan hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

Oleh yang demikian segala kerja-kerja yang dijalankan oleh pertubuhan-pertubuhan tersebut tetap berada di dalam keadaan yang cacat dan tempang. Malah lebih dari itu sebahagian kerja-kerja mereka di atas nama Islam itu merosakkan Islam. Kegiatan dan kerja-kerja yang bersifat juz'ie, sempit dan tidak syumul yang dijalankan oleh pertubuhan-pertubuhan seperti pertubuhan-pertubuhan tersebut memberikan gambaran bahawa Islam itu bersifat juz'ie, sempit dan tidak syumul sedangkan ajaran Islam tidaklah bersifat sedemikian. Amalan secara sedemikian juga boleh memberikan gambaran yang undang-undang ciptaan manusia itu tidak berbahaya sehingga dengan demikian padamlah rasa marah yang meluap-luap umat Islam terhadap sistem dan undang-undang tersebut.

Sikap sedemikian membantu sistem tersebut untuk terus berjalan dan tetap kekal (mencengkam masyarakat umat Islam). Sebenarnya amal Islam yang ditegakkan di atas dasar untuk membawa perubahan yang menyeluruh, yang membuat persediaan-persediaan untuk melakukan perubahan yang menyeluruh, yang membawa keseluruhan ajaran Islam dan berusaha menegakkan Islam secara keseluruhan pula meskipun ianya tidak berjaya sepenuhnya pada suatu peringkat dan mengalami kesulitan pada suatu peringkat yang lain, ia tetap merupakan amal yang betul dan selaras dengan garis-garis asal ajaran Islam, walau apapun nama yang diberikan kepada pertubuhanpertubuhan tersebut kerana seluruh amal-amal tersebut bertemu kerana suatu fahaman, satu uslub (cara), satu jalan, satu matlamat sekalipun pertubuhan-pertubuhan tersebut berada dalam wilayah yang berlainan dan berjauhan.

Imam Hassan Al-Banna telah menerangkan secara jelas ciri-ciri golongan tersebut. "Saudara-saudara sekalian! Kamu bukanlah sebuah pertubuhan kebajikan, bukanlah sebuah pertubuhan politik, bukanlah satu pertubuhan yang diasaskan dengan tujuan yang terbatas, tetapi kamu adalah satu roh baru yang mengalir di dalam urat nadi umat ini, lalu kamu menghidupkan mereka dengan Al-Quran. Kamu adalah satu cahaya baru yang memancar, yang dapat menghilangkan kegelapan fahaman kebendaan dengan makrifat kepada Allah dan kamu adalah suara-suara lantang yang akan menghidupkan kembali dakwah Rasulullah s.aw".

Sekian. Wallahu ‘alam.

Bab 2: Saya Mesti Meyakini Bahawa Beramal Untuk Islam Adalah Wajib


Sebenarnya beramal untuk Islam dalam erti kata yang sebenar ialah untuk melahirkan individu yang mencerminkan akidah dan akhlak Islam, melainkan masyarakat yang berpegang teguh dengan pemikiran dan cara hidup Islam sebagai syariat perundangan, peraturan dan perlembagaan hidup, serta memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan kebenaran dan keadilan di alam ini. Seluruh amal ini dan lain-lain keperluan untuk amalan-amalan ini serta lain-lain perkara yang berkaitan yang dituntut oleh amal-amal ini adalah satu tuntutan syariat. Kewajipan melaksanakan tidaklah gugur kecuali setelah tertegaknya satu kuasa yang dapat mengendalikan tanggungjawab ini dan memelihara urusan kaum muslimin.

Selagi kekuasaan ini tidak wujud, maka seluruh kecuaian atau kecacatan para petugas amal Islam dan kecuaian orang yang tidak turut serta dalam kerja-kerja ini, menurut pandangan Islam adalah satu dosa yang tidak akan hilang melainkan orang-orang Islam bersegera bangun memikul tanggungjawab melaksanakan kerja-kerja untuk menegakkan Islam.

Di antara bukti-bukti yang menguatkan bahawa beramal untuk Islam adalah wajib dan ianya bersifat wajib taklifi (difardukan), bukannya tanggungjawab yang diperintahkan melakukan secara sukarela, dapat dilihat secara yakin dari beberapa sudut:

Pertama: Wajib Dari Sudut Prinsip (Mabda').

Beramal atau bekerja untuk (menegakkan seluruh ajaran) Islam pada prinsipnya adalah wajib kerana beramal atau bekerja adalah tanggungjawab yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t kepada seluruh umat manusia, didahului oleh para Nabi dan para Rasul kemudian ke atas umat manusia seluruhnya hingga ke hari kiamat kelak.

Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesanpesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah Al-Asr, Ayat: 1 - 3).

Dan firman Allah yang bermaksud: “Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya.” (Surah Al-Maaidah, Ayat: 67).

Dan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.” (Surah Al-Baqarah, Ayat: 159).

Dalam sunnah Rasulullah s.a.w yang mulia terdapat riwayat-riwayat yang mempunyai hubungan secara khusus tentang dakwah kepada kebenaran dan menentang kebatilan. Di antaranya ialah sabda Rasulullah s.a.w: "Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, dia hendaklah mencegahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu (mencegah dengan tangan - kuasa), maka hendaklah dia mengubah dengan menggunakan lidahnya (teguran dan nasihat), maka sekiranya ia tidak mampu juga hendaklah ia mengubah dengan hatinya (iaitu tidak reda dan benci) dan demikian itu adalah selemah-lemah iman. Tidak ada lagi iman selepas tahap itu walaupun sebesar biji sawi". (Hadis riwayat Tirmizi).

Sabda baginda yang lain: "Wahai manusia, sesungguhnya Allah berfirman kepadamu: Perintahlah (manusia) supaya melakukan perkara-perkara yang makruf (yang baik) dan cegahlah mereka dari melakukan perkara-perkara yang mungkar sebelum (tiba suatu waktu di mana) kamu meminta, lalu aku tidak lagi menerimanya dan kamu memohon pertolongan lalu aku tidak menolong kamu lagi". (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Sabda Rasulullah s.a.w lagi: "Apabila engkau melihat umatku takut untuk berkata kepada orang yang melakukan kezaliman: Wahai penzalim! Maka sesungguhnya dia telah mengucapkan selamat tinggal baginya". (Hadis riwayat Hakim).

Kedua: Wajib dari Sudut Hukum.

Beramal untuk Islam adalah wajib dilihat dari sudut hukum kerana tidak berjalannya syariat Allah di atas muka bumi dan penguasaan sistem dan undang-undang ciptaan manusia ke atas masyarakat manusia hari ini mewajibkan umat Islam bekerja untuk menegakkan masyarakat Islam dan mengembalikan cara hidup Islam. Umat Islam juga wajib bekerja supaya manusia tunduk mengabadikan diri kepada Allah di dalam iktikad keyakinan, akhlak dan sistem hidup mereka berdasarkan dalil dari Al-Quran yang menyebut: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (Surah An-Nisa', Ayat: 65).

Dan firman Allah yang bermaksud: “Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikutpengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan).” (Surah Asy-Syura, Ayat: 10).

Begitu juga firman Allah yang bermaksud: “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.” (Surah Al-Maaidah, Ayat: 44).

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Maaidah, Ayat: 45).

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah Al-Maaidah, Ayat: 47).

Apabila menegakkan masyarakat Islam dan melaksanakan hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah itu hukumnya wajib maka kerja-kerja yang membawa kepada kewujudan masyarakat Islam dan terlaksananya hukum Allah turut menjadi wajib berdasarkan kaedah syarak:

Firman Allah yang bermaksud: “Sesuatu perkara yang tidak dapat disempurnakan sesuatu yang wajib melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib".

Sebahagian besar dari negara-negara (umat) Islam, kalau pun tidak dapat dikatakan seluruhnya diperintah oleh sistem-sistem ciptaan manusia yang merupakan campur aduk dari sistem undang-undang Romani, Yunani, Perancis dan sebagainya. Demikian juga sistem ekonomi yang menguasai negara-negara tersebut adalah sistem ekonomi Kapitalisme dan Sosialisme.

Ini adalah penyebab utama yang mendesak umat Islam supaya menyusun gerak-kerja untuk meruntuhkan sistem jahiliah dalam bentuk seperti ini dan kewajipan mengembalikan kehidupan Islam adalah menjadi fardu ain ke atas setiap muslim sehingga kepimpinan dan kekuasaan kembali ke pangkuan Islam.

Selain dari itu masih banyak kewajipan-kewajipan syariah yang perlaksanaan dan amalannya bergantung kepada adanya khalifah atau Imam sedangkan pelantikan Khalifah (Imam) itu sendiri sangat bergantung kepada wujudnya kekuasaan Islam. Oleh itu seluruh undang-undang yang berkaitan dengan sistem-sistem Islam sama ada di dalam bidang kemasyarakatan, ekonomi, politik malah kesemua undang-undang yang berkadengan hukum, kanun keseksaan, perdamai, peperangan, jihad, gencatan senjata, perjanjian damai, muamalat, kemasyarakatan dan ekonomi, semuanya ini dan sebagainya adalah di antara bidang-bidang Syariat Islam yang tidak mungkin terlaksana kecuali melalui sebuah negara yang teguh di atas dasar-dasar Islam.

Ketiga: Wajib Dari Sudut Tuntutan (Darurat).

Beramal dan bekerja untuk Islam juga merupakan satu kewajipan jika dilihat dari sudut tuntutan untuk menghadapi cabaran-cabaran zaman kini dan serangan musuh-musuh Islam. Ianya adalah satu kewajipan kerana dengannya dapat menyekat penularan fahaman kebendaan dan ateis (tidak percayakan tuhan) yang berusaha menggugat kewujudan Islam.

Sekiranya dilihat dengan pemerhatian yang teliti kepada nasib yang dialami oleh negara-negara umat Islam hari ini maka sudah pasti ia menjadi bukti menguatkan lagi tuntutan tersebut adalah tanggungjawab yang wajib di sisi syariat di mana umat Islam tadi seharusnya berdiam diri dan memandang ringan.

Kita dapati banyak negara-negara (Umat Islam) yang mengadu dan merintih dengan penuh penderitaan kerana dikuasai oleh keserakahan orang-orang bukan Islam (kafir) sebagaimana yang dialami oleh rakyat Palestine, Kashmir, Eitrea, Qibrash, Bukhara, Samarkand dan lain-lain.

Manakala beberapa negara lain pula menderita kerana cengkaman kuasa golongan minoriti yang berniat jahat ke atas umat Islam, mereka memerintahkan Umat Islam dengan kekuatan besi dan api. Kita dapati juga beberapa bahagian dari negara Umat Islam yang lain mengadu mengenai penderitaan mereka yang disebabkan oleh kekuasaan parti-parti puak kiri (yang terdiri dari sosialis dan komunis) atau puak kanan (yang berkefahaman kapitalis) dalam negara mereka. Begitu juga keadaan hidup di beberapa tempat yang lain yang berada di dalam suasana pertumpahan darah yang hebat hasil dari perebutan kuasa di antara kekuatan puak kiri dan puak kanan.

Selain dari hal-hal yang tersebut di atas, sebenarnya betapa perlunya amal Islami sekalipun secara darurat, dari menyahut cabaran-cabaran dari dalam yang berupa kuncu-kuncu, tali barut dan penyokong musuh Islam. Firman Allah yang bermaksud: “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata.” (Surah Al-Anfaal, Ayat: 39).

Keempat: Wajib Secara Individu Mahupun Jemaah.

Tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam dari sudut kewajipan syarak (taklifi) adalah satu tanggungjawab ke atas individu (fardi) sama seperti kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab syariat yang lain di mana ganjaran pahala diberikan apabila dilaksanakan tanggungjawab tersebut dan dibalas dengan dosa apabila ia ditinggalkan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan Neraka Saqar itu?” (Surah Al-Muddaaththir, Ayat: 27).

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada

hari kiamat dengan seorang diri.” (Surah Maryam, Ayat: 95).

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu

lakukan adalah untuk diri kamu.” (Surah Al-Israa', Ayat: 7).

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).” (Surah Al-An'aam, Ayat: 164.)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri.” (Surah Al'Ankabuut, Ayat: 6).

Supaya orang lain itu semuanya turut serta dalam kerja-kerjanya membina masyarakat dan memakmurinya iaitu dengan membina kehidupan masyarakat atas dasar kebenaran (Al-Haq) dan memakmurkan dengan kebaikan, maka Islam telah menentukan ke atas setiap orang Islam bertanggungjawab memberikan khidmat dan pengorbanan mereka untuk Islam mengikut batas kemampuan masing-masing, selama mana insan itu berada dalam keadaan baligh, akal yang sihat dan ada kemampuan. Dari pengorbanan seperti ini akan menjadikan masyarakat Islam itu sebagai sel yang hidup dan bernyawa dalam badan. Setiap individu dalam masyarakat ini akan memberikan sesuatu malah mereka berlumba-lumba untuk berkorban.

Dari kenyataan di atas jelaslah bahawa kewajipan beramal dan bekerja untuk menegakkan Islam oleh individu adalah sama seperti kewajipan-kewajipan syarak yang lain iaitu ia adalah satu kewajipan Islam.

Oleh kerana beramal dan bekerja untuk Islam adalah kewajipan individu (fardi) dari sudut ini maka ia juga adalah satu kewajipan secara jama'ie (organisasi) apabila dilihat dari sudut tanggungjawab gerakan dan dari sudut perlaksanaannya. Kenyataan ini dibuktikan oleh realiti-realiti yang berlaku dan keadaan-keadaan yang pada dasarnya tidak dapat dipertikaikan lagi.

Di antara realiti-realiti tersebut ialah:

1. Sebenarnya taklif atau tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam adalah satu tanggungjawab yang sangat berat untuk dipikul oleh orang perseorangan kerana matlamat amal Islami adalah untuk meruntuhkan jahiliah hingga ke akar umbinya lalu di atas runtuhan itulah ditegakkan Islam. Tugas yang berat ini menurut pengorbanan, kemampuan dan kesanggupan yang tidak mampu dilakukan secara perseorangan bahkan tugas ini tidak mampu dipikul sekalipun dengan memerah seluruh tenaga, kegigihan dan kesanggupan menghadapi segala penderitaan. Tanggungjawab ini hanya mampu dipikul oleh gerakan yang tersusun, yang memiliki kadar kemampuan yang setimpal dari sudut kesedaran, penyusunan dan kekuatan dalam menghadapi jahiliah yang wujud.

2. Sesungguhnya usaha kerja Rasulullah s.a.w dalam rangka menghadapi serangan jahiliah dan kemudiannya menegakkan masyarakat Islam serta mengembalikan kehidupan mengikut lunaslunas Islam merupakan dalil dan bukti bekerja secara berjemaah untuk menegakkan Islam adalah wajib. Oleh yang demikian Rasulullah s.a.w tidak menggunakan cara bekerja secara individu di dalam bertindak, malah sejak dari awal-awal lagi baginda begitu mengambil berat kepada usaha-usaha menubuhkan jemaah dengan memilih anasiranasir pembinaannya dangan teliti. Kemudian baginda s.a.w membentuk dan membersihkan mereka sehingga menjadi satu kekuatan dalam proses perubahan yang baginda s.a.w lakukan.

Inilah yang telah dibuktikan oleh perjalanan sirah Rasulullah s.a.w dalam setiap peringkat dan lapangan.

3. Selain dari itu amal dan gerak kerja untuk menegakkan Islam dipenuhi dengan halangan ranjau dan duri, ujian dan cubaan.

Halangan-halangan yang menunggu di jalannya sangatlah banyak. Kuasa-kuasa asing yang saban waktu menunggu kesempatan memukul umatnya juga adalah banyak. Semua cabaran-cabaran ini menuntut kewujudan sebuah tanzim haraki (penyusunan gerakan jemaah) yang menyeluruh dari sudut kualiti dan kuantiti untuk menghadapi segenap peringkat amal, suasana persekitaran serta kemungkinan-kemungkinan yang mendatang.

Dari ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w terdapat banyak dalil-dalil yang secara nyata menunjukkan beramal secara berjemaah yang kemas tersusun untuk menegakkan Islam adalah merupakan satu perkara penting.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah Al-Maaidah, Ayat: 2).

Kelima: Ganjaran Jihad Adalah Untuk Mujahid Itu Sendiri.

1. Sejak awal-awal lagi para petugas yang bekerja untuk Islam mestilah memahami secara mendalam bahawa merekalah yang sebenarnya memerlukan Islam. Sewaktu mereka bekerja, berjihad dan berjuang, bererti mereka bertindak membersihkan diri dan jiwa mereka sendiri di samping menunaikan sebahagian dari hak-hak Allah ke atas mereka supaya mereka memperolehi ganjaran dari sisi Allah di hari kiamat kelak, hari di mana pandangan menjadi tunduk merendah dan hati menjadi bergetar kerana dilanda ketakutan ditimpa azab. Mereka inilah yang beruntung sekiranya mereka mara beramal dan merek yang rugi sekiranya mereka berundur dan berpaling tadah.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.” (Surah Al-Ankabuut, Ayat: 6).

Allah s.w.t juga berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.” (Surah Muhammad, Ayat: 38).

2. Mereka juga mesti memahami bahawa nilai dan harga diri mereka sebenarnya adalah kerana pegangan mereka kepada Islam. Mereka tidak mempunyai apa-apa nilai sekiranya tidak bersama Islam (sama seperti binatang bahkan lebih sesat dari itu). Kemuliaan dan ketinggian mereka yang sebenarnya tidak akan tercapai melainkan dengan mereka menggembleng tenaga dan melibatkan diri di dalam jemaah Islam yang memperjuangkan Islam dan terus kekal dalam jemaah yang berkenaan.

Sesiapa yang mengasingkan diri dia akan keseorangan di dalam azab neraka. Sesiapa yang menyatukan dirinya secara benar dengan kumpulan tersebut bererti dia telah bergabung dengan nasab keturunan yang mulia mengikat diri dengan golongan yang mendapat petunjuk, yang terdiri daripada para Nabi dan para syuhada yang mendapat nikmat di sisi Allah s.w.t.

3. Para petugas amal Islami juga mesti menyedari bahawa terus kekal bersama dengan jemaah adalah syarat bagi mendapat pendirian yang teguh sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: "Sesungguhnya serigala itu hanya akan dapat memakan kambing yang tersisih (dari kumpulannya)".

Masyarakat yang dipenuhi dengan fitnah tidak ubah seperti malam yang gelap-gelita. Manusia tidak mungkin dapat menjalani kehidupan dengan sempurna atau tidak terjejas dengan kesan-kesan kotoran masyarakat tersebut sekiranya tidak menerima peringatan, nasihat dan ingat memperingati.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.” (Surah Az-Zaariyaat, Ayat: 55).

Allah s.w.t berfirman lagi yang bermaksud: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah Al-Asr, Ayat: 1 - 3).

Oleh yang demikian mereka mestilah hidup di bawah satu naungan keluarga yang beriman. Mereka mestilah bersama-sama dengan pasukan Tuhan yang Maha Pengasih dan terus hidup bersama mereka buat selama-lamanya.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.” (Surah Al-Kahfi, Ayat: 28).

4. Para petugas amal Islami juga mestilah benar-benar memahami bahawa mereka beramal dengan bekerja semata-mata kerana Allah dan berjihad pada jalannya. Mereka juga mesti memahami bahawa jalan ini adalah jalan yang paling jauh, penuh dengan kesukaran. Sesungguhnya syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak diingini manakala mereka pula dilingkungi oleh perkara-perkara yang menarik syahwat.

Jalan ini merupakan satu jalan yang tidak sanggup dilalui oleh mereka yang hidup dalam suasana mewah, mereka yang bimbang akan kesempitan rezeki dan kemewahan hidup. Jalan ini juga tidak akan sanggup dilalui oleh orang yang mementingkan kerehatan dan mengikut runtunan nafsu, tidak akan sanggup dilalui oleh orang yang sempit dada dan tidak memiliki kekuatan, tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang tidak sabar menghadapi cemuhan dan cacian, apatah lagi pengorbanan wang ringgit dan harta benda, tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang berpegang dan berkeras dengan pendapat sendiri sahaja sedangkan dia sendiri tidak mengetahui bahawa ia tidak mengerti (kedudukan yang sebenarnya) dan jalan ini juga tidak sanggup dilalui oleh mereka yang tidak bersedia untuk tunduk kepada keputusan jemaah dan tidak sanggup pula beriltizam dengan pandangan-pandangan jemaah.

Sesungguhnya jalan ini adalah jalan pembersihan jiwa, penyucian hati dan pengawalan diri, jalan kerahmatan dan kemuliaan. Jalan kesabaran dan ketetapan, jalan kebebasan dan kehormatan dan jalan kebenaran dan keikhlasan. Sesungguhnya jalan yang mempunyai sifat-sifat seperti ini tidak akan sanggup dilalui melainkan oleh orang-orang mukmin yang hati-hati mereka mempunyai ikatan yang kukuh dengan Allah yang Maha Esa, yang menggantungkan harapan dan pertolongan kepadanya.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Talaaq, Ayat: 126).

Allah s.w.t berfirman lagi yang bermaksud: “Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.” (Surah Al-Fath, Ayat: 10).

Sekian. Wallahu ‘alam.

Saturday, June 13, 2009

Bab 2: Saya Mestilah Muslim Di Sudut Ibadah


Ibadah di dalam Islam merupakan kemuncak bagi sifat kepatuhan dan kerendahan kepada Allah dan ia juga adalah kemuncak betapa ia merasai keagungan Tuhan yang disembah. Ia menjadi anak tangga pertatihan di antara si hamba dengan Tuhannya. Ibadah ini juga memberi kesan yang mendalam di dalam perhubungan manusia dengan makhluk lainnya. Begitu juga dengan ibadah-ibadah dalam rukun Islam seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji serta amalan-amalan lainnya yang dilaksanakan untuk mendapat keredaan Ilahi dan dalam mengamalkan Syariat-Nya adalah termasuk dalam pengertian 'ibadah. Bertitik tolak dari pengertian inilah Islam menetapkan supaya seluruh hidup manusia dipelihara agar menjadi 'ibadah dan taat kepada Allah s.w.t seperti yang dinyatakan oleh Allah: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.” (Surah Al-Zariyat 51: Ayat 56-58)

Firman Allah seterusnya yang bermaksud: “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Surah Al- An'am 6: Ayat 162)

1- Saya mestilah memastikan 'ibadah saya mempunyai hubungan dengan Tuhan yang disembah. Inilah apa yang dikatakan martabat "keihsanan dalam 'ibadah". Rasulullah s.a.w sendiri pernah ditanya (oleh malaikat Jibril) tentang martabat "ihsan" ini, lalu baginda menjawab: "Bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, jika engkau tidak melihatnya (sekalipun) sebenarnya Ia melihat engkau.” (Hadis Muttafaqun 'Alaih).

2- Saya mestilah melakukan 'ibadah dengan penuh khusyuk sehingga saya dapat merasai kelazatan serta kemanisannya malah mendatangkan kekuatan kepada saya untuk berterusan mengerjakannya.

'Aisyah r.a mengatakan: "Adalah Rasulullah s.a.w berbicara dengan kami dan kami juga berbicara dengannya tetapi bila tiba sahaja waktu sembahyang ia seolah-olah tidak mengenali kami dan kami pula tidak mengenalinya." (Hadis diriwayatkan oleh Al-Azdi)

Kekhusyukan inilah yang diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w: "Berapa ramai orang yang mengerjakan sembahyang, habuan yang ia terima hanyalah penat dan lelah.” (Hadis Riwayat Al-Nasa'i)

"Berapa ramai orang yang berpuasa, ia tidak memperolehi apa-apa ganjaran kecuali lapar dan dahaga.” (An-Nasaai dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah)

3-Saya mestilah beribadah dalam keadaan hati saya merasai kehadiran Allah, membuang dan melupakan kesibukan dunia dan hiruk-pikuknya. Beribadat dalam keadaan seperti inilah yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya: "Allah s.w.t tidak memandang kepada sembahyang seorang lelaki yang mengerjakan tanpa kehadiran hati berserta gerak badannya." (Hadith ini diriwayatkan juga oleh Abu Mansur Ad-Dailami dalam Musnad Al-Firdaus daripada Ubayy Ibn. Ka’ab dan sanadnya da’if.)

Berkata 'ulama: "Sembahyang itu adalah urusan akhirat, maka kamu masuk menunaikannya (bererti) kamu telah keluar dari dunia."

Al-Hassan Al-Basri meriwayatkan: "Setiap sembahyang yang tidak disertai kehadiran hati, maka ia adalah lebih hampir kepada seksaan."

4- Saya mesti beribadat dalam keadaan sentiasa ingin menambahnya, tidak merasa cukup dan tidak kenyang. Saya perlu menghampirkan diri kepada Allah dengan amalan-amalan sunat sebagai menyahut seruan Allah, di dalam sebuah hadis qudsi: “Sesiapa yang memusuhi kekasihku (waliKu), maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Tidak ada satu perbuatan mendekatkan diri (taqarrab) kepada Aku oleh hambaKu yang lebih Aku cintai selain daripada kewajipan-kewajipan yang Aku fardukan ke atasnya. Hamba Ku akan terus beramal menghampiri diri kepadaKu dengan melakukan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku sudah mencintainya maka Aku (menjadikan) pendengarannya yang dengannya dia mendengar, penglihatannya yang dengannya dia melihat, tangannya yang dengannya dia memukul dan kakinya yang dengannya dia

berjalan. Jika dia memohon sesuatu dari Aku nescaya Aku berikannya. Dan jika dia memohon perlindungan Aku (dari sesuatu) nescaya Aku akan melindunginya. Aku tidak pernah ragu dari sesuatu yang Aku lakukan seperti Aku ragu (hendak mengambil) nyawa hambaKu yang Mukmin, di mana dia membenci maut sedang Aku tidak menyakitinya." (Hadis oleh Al-Bukhari)

5- Saya mestilah mengambil berat terhadap ibadat qiamullail (sembahyang malam) serta melatih diri melakukannya sehingga ia menjadi satu kebiasaan. Ini adalah kerana qiamullail itu adalah sumber kekuatan yang memantapkan iman. Sungguh benar firman Allah yang bermaksud: “Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya.” (Surah Al-Muzammil 73: Ayat 6)

Allah s.w.t juga menerangkan sifat hamba-hambanya yang mukmin: “17- Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: Masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. 18- Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).” (Surah Al-Zariat 51: Ayat 17-18)

Firman Allah seterusnya: “Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya) dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.” (Surah Al-Sajdah 32: Ayat 16)

Di antara amalan-amalan sunat yang dikerjakan antara lain qiamullail, sembahyang dhuha, sembahyang tarawih, puasa pada hari Isnin dan Khamis, puasa pada Hari Arafah, puasa pada Hari Asyura, puasa enam hari dalam bulan Syawal, tiga hari di setiap pertengahan bulan (13,14 dan 15) dan beriktikaf di masjid.

6- Saya mestilah meluangkan waktu tertentu untuk membaca Al-Quran dengan cara merenungi maksud dan pengajarannya terutama di waktu dhuha kerana Allah berfirman yang bermaksud: “Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).” (Surah Al-Isra' 17: Ayat 78).

Saya mesti membacanya dengan penuh tadabbur, berfikir, merenunginya dengan khusyuk dan sedih kerana sabda Rasulullah s.a.w: "Sesunguhnya Al-Quran diturunkan dalam keadaan dukacita, maka apabila kamu membacanya hendaklah kamu merasakan kedukacitaan tersebut." (Diriwayatkan oleh Abu Ya'la dan Abu Nu'aim).

Demikian juga saya mestilah sentiasa ingat peringatan Allah dalam firmanNya yang bermaksud: “Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah dan (ingatlah).” (Surah Al-Hasyr 59: Ayat 21).

Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidaklah beriman dengan Al-Quran oleh orang yang menghalalkan apa yang diharamkan oleh Al-Quran." (Diriwayatkan oleh Al-Tirmizi). Sabdanya lagi: "Ibadah yang paling utama bagi umatku ialah membaca Al-Quran." (Diriwayatkan oleh Abu Nu'aim di dalam Fadha'ilul-Quran)

Di dalam sebuah hadis dari 'Abdullah bin Mas'ud Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Al-Quran ini adalah hidangan Allah, oleh itu hendaklah kamu menyebutnya sekadar yang terdaya oleh kamu menyebutnya. Sesungguhnya Al-Quran ini adalah tali Allah, cahaya yang terang benderang dan penawar yang berguna. Penjaga kepada siapa yang berpegang kepadanya, jaminan kejayaan bagi yang mengikutinya. Ia tidak salah yang menyebabkan ia tercela, ia tidak bengkok yang menyebabkan ia perlu diperbetulkan, keajaibannya tidak kunjung habis dan ia tidak menjadi cacat sekalipun banyak (kandungannya) ditolak orang. Bacalah Al-Quran kerana Allah akan memberi ganjaran ke atas setiap huruf dari bacaanmu dengan sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan kepadamu Alif, Lam, Mim itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf." (Riwayat Al-Hakim)

Dalam satu wasiat kepada Abu Zar Rasulullah berkata: "Kamu wajib melazimkan dirimu membaca Al-Quran kerana ia adalah cahaya untuk kamu di bumi dan perbendaharaan untuk di langit." (Riwayat Ibnu Hibban)

7-Saya mestilah menjadikan doa sebagai perantaraan dengan Allah di dalam setiap urusan hidup kerana doa adalah otak bagi segala 'ibadah. Untuk itu saya mestilah memilih doa-doa yang ma'thur dari Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya benar firman Allah bila Ia mengatakan: "Mintalah doa kepadaku, nescaya aku akan memperkenankan permintaanmu".

1. Doa ketika hendak tidur.

"Dengan nama-Mu wahai Tuhanku, aku baringkan pinggangku dan kerana Engkau aku mengangkatnya; jika Engkau tahan jiwaku (Kau ambil jiwaku) ampunilah diriku, jika Engkau lepaskan ruhnya, maka peliharalah diriku sebagaimana Kau pelihara hamba-hambaMu yang salih.” (Hadis riwayat Jama'ah).

2. Doa ketika bangun dari tidur.

"Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami setelah kami mati. Dan kepadaNya kami kembali." (Hadis riwayat Bukhari)

3. Doa ketika memakai pakaian dan menanggalnya.

"Ya Allah aku memohon kepadaMu kebaikan pakaian ini dan kebaikan yang ada padanya. Aku berlindung padaMu dari kejelikan pakaian ini dan kejelikan apa yang ada padanya." (Hadis Riwayat Ibnus Sunni)

4. Doa ketika keluar dari rumah dan memasukinya.

"Dengan nama Allah aku bertawakal kepadaNya; tidak ada daya, tidak ada kekuatan kecuali kerana Allah." (Sunan Tirmizi)

5. Doa ketika berjalan ke Masjid.

"Ya Allah, jadikanlah dalam hatiku cahaya, dalam pandanganku cahaya, pada pendengaranku cahaya, sebelah tangan kananku cahaya dan pada sebelah tangan kiriku cahaya, di atasku cahaya, di bawahku cahaya, di mukaku cahaya dan di belakangku cahaya dan jadikanlah bagiku cahaya." (Hadis riwayat Bukhari)

6. Doa ketika memasuki masjid.

"Ya Allah, bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmatmu."

7. Doa ketika keluar dari masjid.

"Ya Allah, aku memohon kepadamu kurniaanMu." (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Nasa'i)

8. Doa ketika hendak makan.

"Ya Allah, berkatilah kami pada apa-apa yang Kamu rezekikan kepada kami dan jauhkanlah kami dari seksa neraka, dengan nama Allah." (Hadis riwayat Ibnu Sunni)

9. Doa setelah selesai makan.

"Segala puji bagi Allah yang telah memberikan makanan kepada kami, memberi minuman kepada kami dan menjadikan kami dari golongan Muslim." (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmizi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)

10. Doa ketika memasuki tandas.

"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari khubuth dan khaba'ith." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

11. Doa ketika keluar tandas.

"Segala puji bagi Allah yang telah memberikan aku mengecap kelazatannya dan menjauhkan aku dari kesakitannya". (Hadis riwayat Ibn Sunni dan Al-Tabarani)

12. Doa sebelum bersetubuh.

"Dengan namaMu, ya Allah jauhkanlah dari kami syaitan dan jauhkan syaitan daripada apa yang Kau kurniakan kepada kami". (Hadis riwayat Bukhari). Jika ditakdirkan bagi mereka memperolehi anak, syaitan tidak akan memudaratkannya selama-lamanya.

13. Doa ketika tidak dapat tidur.

"Ya Allah, sudah terbenam bintang-bintang sudah terkatup banyak mata sedangkan Engkau hidup dan jaga, tidak tidur. Wahai Yang Tegak, Yang Hidup dan Yang Jaga, tenteramkanlah mataku". (Hadith riwayat Ibnus Sunni daripada Zaid Ibn Thabit)

14. Wirid selepas sembahyang.

Sesiapa yang bertasbih kepada Allah (membaca Subhanallah) sesudah setiap sembahyang 33 kali, membaca tahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan membesarkan Allah (Allahuakbar) 33 kali. (Hadith riwayat Muslim daripada Abu Hurairah). Dan digenapkan menjadi seratus dengan membaca: "Tidak ada Tuhan kecuali Allah Yang Maha Esa, yang tidak ada sekutu bagiNya, kepunyaanNya segala kekuatan dan kepunyaanNya segala pujian dan Dia berkuasa atas segala sesuatu". (Hadis riwayat Muslim)

15. Doa ketika selesai majlis.

"Maha suci Engkau ya Allah dengan segala pujiMu aku bersaksi tidak ada Tuhan kecuali Engkau, aku bermohon ampun kepadamu dan kau bertaubat kepadaMU". (Hadith riwayat Muslim daripada Ibn Umar)

16. Doa ketika menaiki kenderaan.

"Segala puji bagi Allah yang menggerakkan bagi kami kenderaan ini, padahal kami tidak sanggup melakukannya, dan sesungguhnya kami semuanya kembali kepada Tuhan kami". (Hadith riwayat Muslim daripada Ibn Umar)

17. Doa ketika bermusafir.

"Ya Allah kerana Engkau aku berusadan kerana Engkau aku berjalan dan kerana Engkau pula aku berpergian. Ya Allah, aku bermohon kepadaMu dalam perjalanan ini kebajikan dan ketakwaan dan berupa amal yang Engkau redai. Ya Allah, ringankanlah bagi kami perjalanan kami ini dan dekatkanlah bagi kami yang jauhnya. Ya Allah, Engkaulah sahabat dalam perjalanan dan Wakil di tengah-tengah keluarga. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari kepayahan perjalanan, dari kesedihan penglihatan, dari kejelekan saat kembali pada harta, keluarga dan anakanak". (Ini sambungan daripada hadith dahulu)

18. Doa ketika hujan turun.

"Ya Allah, turunkanlah hujan yang bermanfaat (dua kali atau tiga kali)". (Hadis riwayat Ibnu Syaibah dari hadis Aisyah).

19. Doa ketika mendengar guruh.

"Ya Allah, jangan Engkau bunuh kami dengan murkaMu dan jangan Engkau binasakan kami dengan siksaMu dan selamatkan kami sebelum itu". (Hadis riwayat Tirmizi, Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, dari hadis 'Abdullah bin 'Umar)

20. Doa ketika melihat anak bulan.

"Allah Maha Besar, ya Allah, muncullah bulan ini bagi kami dengan penuh berkat dan iman, keselamatan dan keIslaman, taufik pada apa-apa yang Engkau cintai dan Engkau redai, ya Tuhanku dan Tuhanmu, Allah". (Hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Hibban daripada Takhah Ibn Ubaidillah dan Tirmizi berkata: Hadith ini Hasan, tetapi bahagian Allahuakbar di sebut oleh ad-Darimi sahaja)

21. Doa kepada pengantin.

"Semoga Allah memberkati engkau dan memberkati atas kau dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan". (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan empat ahli hadis dari Anas dan Abu Hurairah).

22. Doa ketika melihat kanak-kanak.

"Aku bermohon perlindungan untukmu dengan kalimat Allah yang sempurna dari setiap syaitan dan racun, dan dari setiap mata yang membawa kejelikan". (Hadis riwayat Bukhari dari hadis Ibnu 'Abbas)

23. Doa ketika menziarahi orang sakit.

"Ya Allah, hilangkanlah penyakit ini, wahai yang memelihara manusia. Sembuhkanlah, sesungguhnya Engkaulah yang meyembuhkan. Tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan yang diberikan olehMu, kesembuhan yang tidak disertai rasa sakit". (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim daripada ‘Aisyah)

24. Doa ketika dukacita.

"Tidak ada Tuhan yang berhak menyembuhkan melainkan Engkau, sesungguhnya aku termasuk di kalangan orang-orang yang zalim". (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim daripada Usamah Ibn Zaid)

25. Doa takziah kematian.

"Sesungguhnya kepunyaan Allah apa yang Ia ambil dan kepunyaanNya apa yang Ia berikan dan segala sesuatu pada sisiNya sampai waktu yang ditentukan. Hendaklah kamu bersabar dan mengharapkan ganjaran". (Hadis riwayat Bukhari dari hadis Usamah).

26. Doa dalam sembahyang jenazah.

"Ya Allah, maafkanlah dia dan berilah rahmat ke atasnya, selamatkanlah dia dan ampunilah dia, muliakanlah tempatnya, luaskan tempat masuknya dan bersihkanlah dia dengan air salju dan air dingin. Sucikanlah dia dari kesalahan sebagaimana Engkau bersihkan pakaian yang putih dari kotoran, gantikanlah baginya rumah yang lebih baik daripada rumahnya, keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangan yang dimilikinya. Masukkanlah dia ke syurga dan lindungilah dia dari azab kubur dan azab neraka". (Hadith riwayat Muslim daripada ‘Aus Ibn Malik)

Sekian. Wallahu ‘alam.

Rakan-rakan Pembaca Budiman