Showing posts with label Negara. Show all posts
Showing posts with label Negara. Show all posts

Saturday, June 20, 2009

Penyusunan Ekonomi Bernegara Wajib Bersesuaian Dengan Fitrah Kemanusiaan


Nik Mustapha Bin Nik Hassan

Timbalan Ketua Pengarah

02/06/2009 | Berita Harian

Abad Ke Dua Puluh Satu sedang menyaksi satu keadaan yang sangat mencabar kepada keutuhan tamadun manusia. Kemajuan sesuatu bangsa dan negara bergantung rapat dengan keutuhan tamadun tersebut. Tamadun bangsa mesti diasaskan kepada nilai kemanusiaan semulajadi atau menepati fitrah kemanusiaan yang hakiki.

Cara hidup individu, keluarga, negara dan perhubungan di antara negara di pentas antarabangsa jika diasaskan kepada nilai yang bercanggah dengan nilai kemanusiaan, natijahnya pasti akan membawa kepada kemusnahan dan kehancuran kepada umat manusia. Manusia tidak berkemampuan memain peranan Tuhan dalam menentu corak hidup mereka. Penolakan kepada keagungan Petunjuk Illahi dalam membentuk corak hidup, melahirkan fahaman sekular dalam pandangan dan corak hidup manusia. Fahaman sekular jika menjadi panduan dalam menyusun kehidupan manusia akan membawa kepada keruntuhan nilai kemanusiaan.

Di akhir Abad Ke Dua Puluh, kita dapat menyaksi bagaimana blok Komunis di Eropah Timur dan U.S.S.R roboh berkecai setelah berpeluang mengendali beberapa negara selama tujuh dekad. Keruntuhan tersebut meliputi kesemua aspek politik, ekonomi dan kebudayaan. Fahaman Marx dan Hegel jelas gagal membina dan membentuk satu tamadun manusia yang kukuh. Falsafah hidup manusia yang menumpu kepada kepentingan kebendaan (fahaman bahawa kemajuan kebendaan sahaja adalah asas yang menentukan keutuhan sesebuah tamadun) yang melulu dan pendekatan penyusunan ekonomi bernegara yang berasaskan pendekatan collectivism (prinsip pengawalan sosial dan ekonomi negara dipusatkan kepada pemerintah) jelas mencatit satu kegagalan yang ketara. Kedua-dua asas tersebut sangat bertentangan dengan sifat kemanusiaan.

Blok kapitalis juga tidak memperlihatkan satu tamadun yang baik untuk masyarakat manusia menteladani. Walaupun mereka masih mendahului dari segi aspek kemajuan sains dan teknologi, dan ekonomi, keruntuhan akhlak di kalangan rakyat mereka dan pendekatan bernegara berteraskan kepada kebendaan dan individualism (sistem bernegara di mana individu diberi kebebasan yang mutlak untuk menentukan perjalanan ekonomi, politik dan sebagainya) tidak akan dapat mempertahankan kekayaan dan kemajuan ekonomi negara mereka pada masa seterusnya. Eropah berada dalam keadaan kemelut ekonomi yang tidak menentu. Kegelisahan rakyat Eropah jelas dapat kita tontoni. Begitu dengan kehebatan Amerika Syarikat. Kekuatan ekonomi Amerika makin hari makin meleset. Bahkan pada masa kini Amerika Syarikat menghadapi keadaan kemelesatan ekonomi yang tenat. Penindasan satu golongan terhadap golongan yang lain, hasil dari falsafah individualism sudah menjadi nilai hidup.

Pada tahun 2004 seramai 2.5 billion penduduk dunia (ekonomi dunia dipengaruhi oleh sistem kapitalisme) menjalani kehidupan dengan pendapatan kurang U.S$2 dalam satu hari (Shaohua Chen and Martin Ravallion (2007). Keruntuhan institusi kekeluargaan turut menjadi perwujudan (phenomenon) yang sangat membimbangkan. Institusi perkahwinan dianggap lapuk. Bahkan perkahwinan sejenis dibenarkan. Dari perkembangan yang malap ini, tamadun tersebut menanti hari keruntuhan yang sangat hampir. Keruntuhan nilai kemanusiaan tidak akan mampu menerus kecepatan (momentum) kemajuan bahkan kehancuran kehidupan adalah akibat yang terpaksa dihadapi.

Rumusan mudah ialah mana-mana pendekatan penyusunan negara yang berlawanan dengan fitrah kemanusiaan terpaksaan menghadapi natijah yang buruk. Demi kebaikan umat manusia, mana-mana negara wajib mengambil pendekatan yang tepat, iaitu sesuatu pendekatan yang bersesuaian dengan sifat dan tuntutan kemanusiaan yang hakiki. Sifat dan keperluan manusia hanya mampu difahami melalui ajaran Illahi. Kemampuan akal manusia sahaja untuk memahami sifat dan keperluan manusia tidak mungkin akan tepat dengan sepenuhnya.

Dalam keadaan suasana yang begitu tidak menentu, Islam kembali diberi perhatian oleh umat Islam. Dalam arus kebangkitan kefahaman Islam, golongan ilmuan Islam perlu menguasai ilmu al-Quran dan as-Sunnah secara mendalam semoga falsafah hidup Islam dapat digariskan dan sekaligus falsafah tauhid dapat mewarnai dalam kesemua perkara yang hendak disusun dan ditangani dalam menghadapi persoalan semasa dan setempat. Islam perlu dilihat sebagai satu deen yang menekan dan memberi keutamaan kepada penyusunan masyarakat sesebuah negara sehingga wujudnya sebuah tamadun manusia yang mulia. Allah S.W.T. berfirman dengan maksud berikut:

"Demi tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." Al-Anbiya:107

Hasil dari kemampuan menyusun masyarakat berteraskan kepada nilai kemanusiaan sudah pasti kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat manusia akan dicapai.

Dalam era pertembungan tamadun dan budaya pada masa mutakhir ini seperti yang pernah dikemukakan oleh Prof. Samuel Hartington, Islam harus dari segi gagasan ilmu, mampu diutara oleh ahli ilmuan Islam sebagai yang paling hebat, canggih dan sesuai dalam menyusun kesemua perkara kehidupan di peringkat individu, masyarakat dan negara di zaman sekarang dan seterusnya di masa hadapan. Pendekatan dan ramuan Islam dalam kesemua perkara penyusunan dan pengendalian bernegara perlu diketengahkan.

Cabaran kepada ilmuan Islam ini menuntut mereka memperincikan secara syumul dan mendalam pendekatan yang dianjurkan oleh Islam. Persoalan yang perlu dijawab ialah bagaimana dan dengan mengambil perhitungan suasana setempat dan semasa. Masa untuk hanya melaungkan cogan kata umum tentang kehebatan Islam sahaja mungkin tidak sesuai lagi. Perhatian sekarang ialah kepada persoalan bagaimana Islam daripada persoalan apa itu Islam.

Di samping menghayati arus kebangkitan Islam, kawasan Asia Pasifik dijangka akan menjadi kawasan yang paling maju di dunia pada Abad Ke Dua Puluh Satu. Jika pertumbuhan ekonomi pada masa kini di kalangan negara rantau ini dapat dikekal dan diteruskan, pada akhir Abad Dua Puluh Satu, kawasan Asia Pasifik akan dapat menjadi kawasan termaju di dunia.

Dalam menangani perkembangan semasa, sebagai sebuah negara yang didiami oleh majoriti umat Islam di kawasan Asia Pasifik, Malaysia perlu menggubal satu dasar ke arah penyusunan dan pembangunan sistem ekonomi negara yang dapat berperanan secara berkesan dan sesuai dengan suasana semasa dan setempat dalam memajukan negara ke mercu yang tinggi. Kemajuan ekonomi adalah teras penting ke arah kemajuan negara. Dalam era semasa dan seterusnya pada masa hadapan, kekuatan ekonomi akan menjadi penentu kepada kekuatan sesebuah negara dalam arena politik dunia. Survival dan kekuatan sesebuah negara akan berkait rapat dengan pencapaian kejayaan ekonomi. Justeru itu adalah tanggungjawab umat Islam berusaha semoga penyusunan ekonomi negara mengikut Islam dapat dilaksana.

JANGAN GUGAT HAK ISLAM - KP JAKIM


MUTAKHIR ini terdapat cubaan sama ada secara disengajakan atau tidak untuk ‘menggugat’ keistimewaan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia sebagaimana termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Ia dilakukan melalui pelbagai cara. Antaranya penganjuran forum kontroversi ‘Memeluk Islam’ oleh Majlis Peguam, Ogos lalu, penyebaran artikel menghina dan merendah-rendahkan Islam menerusi blog dan juga campur tangan dalam upacara keagamaan Islam.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz di pejabatnya, Ahad lalu bagi mengupas persoalan ini.

UTUSAN: Apabila Islam itu agama rasmi negara, maka apakah hak bagi umat Islam untuk mempertahankannya?

WAN MOHAMAD: Perlembagaan di mana-mana negara di dunia pun dianggap undang-undang dasar tertinggi.

Di dalam Perlembagaan dinyatakan di bawah perkara berikut: Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan: (1) Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Kedudukan Islam memang lebih tinggi daripada agama lain dan tidak ada persamaan dalam perkara ini. Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu adalah ketua bagi agama Islam di negeri-negeri berkaitan.

Jadi, apabila Islam dipilih sebagai agama bagi Persekutuan ia bermakna rakyat dan sistem pemerintahannya mesti seiring. Meletakkan Islam sebagai asas utama pentadbiran negara.

Menurut pakar undang-undang, tidak ada kesalahan yang lebih besar bagi rakyat selain menolak Perlembagaan negara.

Di Malaysia, antara contoh kesalahan ‘dosa besar’ adalah menyentuh atau mempertikai kedudukan raja-raja Melayu.

Apa yang sepatutnya berlaku adalah ketentuan ini yang disokong dan diterima pakai oleh kontrak sosial mesti dijunjung oleh setiap rakyat. Bukan hanya orang Islam atau Melayu sahaja. Ini adalah teras kepada jalinan hubungan antara kepelbagaian etnik dan agama di negara kita.

Justeru, kalau ada pihak yang hendak merungkainya, pasti ada pihak akan tampil mempertahankan Perlembagaan dan hak masing-masing.

Oleh itu, apabila ada yang mempertikai kenapa ada Jakim dan bukannya Jakam (Jabatan Kemajuan Agama-agama Malaysia) dan cadangan ditubuh pelbagai jabatan agama-agama lain, ini pastinya bertentangan dengan semangat Perlembagaan kita.

Sudah pasti, pihak yang paling berhak mempertahankan Islam di Persekutuan adalah Jakim. Saya juga amat yakin banyak pihak bersama Jakim dalam hal ini.

Mengapa hal ini perlu dibendung?

Sejak merdeka bahkan sejak pra merdeka, bumi bertuah ini sudah lama menjadi negara pelindung. Dalam erti kata, menjadi tumpuan rakyat negara lain yang berhijrah ke Persekutuan Tanah Melayu. Mereka datang sama ada untuk bekerja atau menetap di sini.

Dan dengan murah hati, kita (orang Melayu) memberi hak menjadi warganegara kepada mereka.

Selepas merdeka, hal ini makin ketara di mana keadilan ditegakkan kepada semua kaum dan agama. Ini terbukti melalui pelbagai petunjuk baik dalam segi ekonomi mahu pun sosial. Golongan yang asalnya pendatang itu tadi kini dapat hak yang sama sebagai warganegara.

Oleh itu, mereka mesti hormati jaminan hak keistimewaan peribumi iaitu orang Melayu. Mereka perlu menghormati hak asasi manusia dan pada masa yang sama kena hormati hak peribumi dan Islam sebagai agama rasmi.

Apakah boleh saudara tunjukkan jika ada negara lain yang memberi ruang kepada sistem pendidikan yang bukan teras tradisi penduduk tempatan seperti Malaysia. Sebaliknya, kerajaan Malaysia membenarkan penubuhan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan juga Cina.

Sehinggakan orang Islam merasakan nasib sekolah-sekolah agama rakyat seperti diabaikan. Mujurlah, hal ini diatasi melalui penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama oleh Kementerian Pelajaran.

Yang menjadi masalah apabila tuntutan-tuntutan yang dikemukakan bukan berpunca daripada kehilangan hak. Sebaliknya hendak merebut hak orang lain (Islam). Pada masa yang sama nak menggugat kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Islam adalah agama toleransi. Tetapi setakat mana tolak ansur dibenarkan?

Pada asasnya, hubungan Islam dengan agama lain adalah didasari oleh wasatiah atau kesederhanaan. Ini pula perlu ditafsir dengan tepat.

Islam menuntut dalam persoalan akidah tidak boleh paksa pihak lain terima akidah Islam. Ini juga ditegaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)...(al-Baqarah: 256) Sebabnya akidah adalah soal hati yang juga disebut sebagai tunjang keimanan.

Sebab itulah penganut bukan Islam di Malaysia boleh mengamalkan ajaran agama mereka dengan damai.

Tetapi dalam bab kehidupan bernegara, kita semua terikat dengan undang-undang. Bagi orang Islam kita terikat dengan syariat Allah. Orang bukan Islam yang hidup di negara Islam, mereka bebas ada rumah ibadat masing-masing yang dibina mengikut undang-undang.

Dan kita tidak pula mengambil langkah ekstrem seperti membakar atau meroboh rumah ibadat bukan Islam. Pernahkah ia berlaku di Malaysia?

Namun, nasib orang Islam di negara bukan Islam adalah sebaliknya. Masjid Babri di Ayodhya, India yang penuh dengan sejarah misalnya dirobohkan. Begitu juga masjid di Yugoslavia. Perbuatan ini bukan sekadar penghapusan etnik tetapi menolak terus hak orang Islam mempunyai rumah ibadat di negara berkenaan. Bahkan di Eropah hak orang Islam untuk menutup aurat diganggu.

Islam memang mengajar umatnya bersikap moderate tetapi jangan lupa Islam juga mewajibkan kita mempertahankan agama sehingga ke tahap sanggup syahid.

Sebab itu, Jakim tampil membuat laporan polis untuk bendung kegelisahan dan keresahan umat Islam terhadap artikel yang disiarkan dalam blog Malaysia Today. Kita percaya bahawa undang-undang yang sedia ada mampu wujudkan ketenteraman awam.

Malangnya, ada segelintir masyarakat bukan Islam tidak menghargai semua ini. Mungkinkah kelemahan umat Islam masa kini menjadi punca mereka semakin berani mencabar kita?

Semua rakyat khususnya yang bukan Islam patut rasa tenang tinggal di Malaysia kerana mereka hidup dengan aman dan tidak ada suicide bomber.

Selama ini siapakah yang bertanggungjawab mewujudkan suasana sederhana ini di negara kita kalau bukan sikap kerajaan yang amalkan pendekatan wasatiyah tadi.

Toleransi umat Islam jika disalah guna dan dipandang rendah akan sebabkan timbulnya kumpulan militan yang sanggup mempertahankan maruah agama melalui apa juga cara termasuk kekerasan. Terutama apabila mereka fikir agama Islam itu dihina dan dicabar.

Ini yang sepatutnya kita bendung dan kita sudah pun berjaya membendungnya daripada berlaku dalam negara.

Kalau situasi tidak terkawal ia akan merebak daripada pertembungan penganut agama kepada kaum. Sebabnya realiti etnik di Malaysia, penganut agamanya diwakili majoriti sesuatu kaum. Ini berbeza dengan negara lain termasuk di Asia Barat. Di Lebanon atau Syria, mereka semua berbangsa Arab tetapi ramai yang menganut Katholik dan Protestan.

Yang agak pelik, mereka yang mencabar Islam itu ada di antaranya orang Islam sendiri. Mengapa berlaku sedemikian?

Hal ini bukanlah ganjil. Dalam konteks sejarah Islam, ia boleh disifatkan sebagai pengulangan sejarah.

Ia pernah berlaku di dunia Arab, benua Indo-Pakistan hingga lahir ajaran Sikh, Bahai dan Qadiani. Semua ini asalnya diasaskan oleh sama ada orang Islam atau yang ada kaitan dengan Islam.

Di satu pihak lagi, musuh-musuh Islam lebih selesa dan rasa selamat jika memperalatkan orang Islam yang jahil untuk timbulkan keraguan terhadap agama Islam. Ini disebut strategi tashkik atau membangkitkan rasa syak terhadap agama sendiri.

Malangnya, saudara-saudara kita mungkin tidak sedar permainan ini kerana ia mungkin bertopengkan kebebasan dan hak asasi manusia. Sebab itu, pelbagai konvensyen antarabangsa cuba dikenakan ke atas negara Islam supaya kita terikat sebagai penandatangan deklarasi tersebut.

Hal ini pula berjalan serentak dengan kempen melalui media antarabangsa. Isu yang selalu diguna adalah wanita dan kesaksamaan gender. Peluang tashkik ini direbut sepenuhnya apabila terdapat sesetengah negara Islam atau komuniti Islam yang ceduk nilai adat dalam ajaran Islam. Mereka mendakwa, nilai itu adalah ajaran Islam tetapi yang sebenarnya ia lebih untuk memenuhi kehendak golongan tertentu.

Tidak menghargai kebebasan yang dinikmati adalah antara sebab tangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikenakan ke atas beberapa individu. Apakah pandangan Islam terhadap undang-undang seperti ISA?

ISA termasuk kategori undang-undang pencegahan. Mencegah sesuatu mudarat yang dijangkakan adalah menjadi tanggungjawab pemerintah.

Pemerintah perlu bertindak atas dasar memelihara maslahat (kepentingan) ummah. Dalam kaedah fiqh disebut tasorruful imam ala ar-ra’ieyat manutun bil maslahah. Ia bermakna setiap tindakan atau dasar yang diputuskan oleh pemerintah mesti diasaskan menjaga maslahat rakyat.

Dalam menentukan maslahat ini, pemerintah melihat kepada kepentingan hak majoriti rakyat yang perlu diberi keutamaan berbanding hak asasi seorang atau sekelompok rakyat.

Ini bermakna, undang-undang pencegahan memang menjadi tanggungjawab pemerintah dan ia selari dengan tuntutan Islam.

Yang selalu dipertikaikan adalah tahanan tanpa bicara. Kita mempunyai pelbagai undang-undang yang boleh digunakan untuk dakwa seseorang termasuklah Akta Hasutan 1948 dan juga di bawah Kanun Keseksaan.

Kerajaan pun sudah mengambil pendirian mengkaji semula ISA supaya tahanan tanpa bicara itu dilakukan dengan lebih teliti. Ia supaya tidak ada ruang berlaku salah guna.

Apa pula tindakan yang perlu dilakukan oleh umat Islam dalam keadaan ditekan dan diserang sebegini?

Di Malaysia, kita perlu pastikan kesahihan sesuatu berita. Contoh, apabila tersebar berita orang Islam atau institusi Islam dihina, dicemari ia bukan bermakna kita boleh ambil tindakan bersendirian.

Kita hidup dalam masyarakat yang bersistem. Islam di Malaysia ada pelindungnya iaitu raja-raja Melayu yang diperkasa dengan peruntukan undang- undang.

Cara terbaik, bagi ruang kepada sistem perundangan berjalan supaya orang yang menghina Islam diadili mengikut proses undang-undang. Hatta, jika kita terpaksa bangkit mempertahankan hak dan maruah Islam pun perlu melalui undang-undang.

Hanya orang yang tidak sabar sahaja yang tergamak mengambil tindakan di luar batasan jadi ia membawa kepada wujudnya gerakan militan atau subversif.

Pengalaman negara jiran, tertubuhnya gerakan ini kerana mereka rasa sistem undang-undang begini tidak berjalan dan agama tidak mendapat perlindungan pemerintah.

Hal ini tidak boleh dibenarkan wujud di Malaysia sebab ia akan menghancurkan negara, rakyat sama ada yang Islam atau bukan Islam.

Sebab itu kita ingin melihat ruang yang ada digunakan sepenuhnya supaya tidak dijadikan alasan oleh kumpulan ekstrem tadi. Kalau bertindak di luar batasan undang-undang, mereka juga berhak dikenakan tindakan undang- undang.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam pula jangan ‘mengundang’ kumpulan militan Islam Malaysia bertapak di sini. Sebaiknya bagi kepercayaan kepada kerajaan melaksanakan undang-undang yang sebaiknya demi kepentingan rakyat pelbagai kaum.

Jangan cuba bawa kumpulan pelampau luar negara yang mempunyai sejarah pertelingkahan agama ke Malaysia. Jangan juga import masalah ke sini seperti tindakan Hindraf.

Apa komen Datuk tentang sikap segelintir umat Islam yang seolah-olah tidak berasa apa-apa pun apabila agama mereka dihina?

Deria sensitiviti umat Islam semakin lemah. Sampaikan orang hina Nabi Muhammad SAW masih ada yang boleh ketawa.

Apakah sehingga orang lain menghina emak atau ayah kita baru nak merah muka? Hanya anak yang terencat akal tidak ada rasa kasih sayang pada ibu bapa yang merelakan ibu bapanya dihina.

Tetapi saya masih bersangka baik, umat Islam masih sayangkan agama tetapi sikap pasif ini menunjukkan betapa lemahnya pegangan dan iman kita. Jangan tunggu terkena atas batang hidung baru nak bangkit.

Benarkah dakwaan sesetengah pihak yang Jakim seronok atau berasa ‘menang’ dengan penangkapan Raja Petra di bawah ISA?

Jangan ingat kita seronok atau melompat kegembiraan bila Raja Petra ditahan ISA. Sebenarnya kita doakan agar dia cepat dibebaskan dengan syarat dia segera insaf.

Sumber : Utusan Malaysia, Selasa, 16 September 2008

Rakan-rakan Pembaca Budiman