Tuesday, May 24, 2011

Dakwah: Bekal Seoarang Da'i

Oleh : Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin Rahimahullah

Seorang Da’i harus Berilmu tentang Apa-Apa Yang Didakwahkannya

Seorang da’i harus berilmu dan belajar ilmu yang bersumber dari Kitabullah dan sunnah Rasul, kerana selain ilmu agama maka harus dicerna menurut ukuran Al-Qur’an dan As Sunnah. Bila sesuai dengan Al-Qur’an dan As Sunnah maka boleh diterima dan bila tidak sesuai wajib ditolak secara mutlak berdasarkan riwayat dari Ibnu ‘Abbas, beliau berkata:

“Aku khuatir akan kalian ditimpakan batu dari langit. Aku berkata: “Rasulullah bersabda” sementara kalian berkata: “Abu Bakar dan Umar berkata”.

Jika perkataan Abu Bakar dan Umar tidak diterima kerana bertentangan dengan sabda Rasulullah, maka bagaimana dengan perkataan orang yang jauh di bawah mereka baik dari sisi ilmu, ketakwaan dan kedekatan serta kekuasaan mereka dengan Rasulullah? Sungguh, menolak perkataan dan pendapat yang menyelisihi Kitabullah dan sunnah Rasul dari selain mereka lebih utama.

Allah berfirman:
“Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih”. (QS An-Nur: 63).
Imam Ahmad berkata: “Apakah engkau tahu apa fitnah itu? Yang dimaksudkan dengan fitnah adalah kesyirikan. Apabila menolak sebagian perkataan beliau dikhuatirkan akan masuk dalam hatinya suatu fitnah dan penyimpangan sehingga ia akan celaka” Sesungguhnya bekal pertama seorang da’i adalah ilmu yang bersumber dari Kitabullah dan sunnah Rasul-Nya yang sahih.

Adapun dakwah tanpa ilmu bererti berdakwah atas dasar kebodohan. Dan berdakwah atas dasar kebodohan lebih berbahaya, kerana seorang da’i telah memposisikan dirinya sebagai orang yang memberikan bimbingan dan petunjuk bila dia jahil atau bodoh, maka dia akan tersesat dan menyesatkan orang lain, wal ‘iyazu billah.

Kebodohan seperti itu dipanggil jahil murakkab (kebodohanyang sangat berat), dan jahil murakkab lebih berbahaya daripada jahil basith (kebodohan ringan). Jahil basith menghalangi seseorang untuk berbicara dan mungkin jahil basith akan hilang dan sirna melalui proses belajar. Akan tetapi masalah yang besar adalah jahil murakkab, kerana orang yang tertimpa jahil murakkab tidak mahu diam bahkan dia akan terus berbicara meskipun atas dasar kebodohan. Sehingga pada saat itu dia lebih member kerosakan/mudarat daripada menerangi kehidupan.

Wahai saudara-saudaraku…..
Sesungguhnya berdakwah menyeru kepada jalan Allah tanpa ilmu bererti telah menyelisihi jalan hidup Rasul dan jalan hidup para tabi’in. Semaklah firman Allah sebagai bentuk anjuran kepada Nabi Muhammad saw:

“Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang–orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan bashirah”. Mahasuci Allah dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik.” (QS. Yusuf: 108)

Maka beliau berkata: “Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kepada Allah berdasarkan bashirah (ilmu dan yakin)”. Maksudnya yaitu bahwa orang-orang yang mengikuti beliau mengajak kepada Allah berdasarkan bashirah, bukan berdasarkan kebodohan.

Wahai para da’i perhatikan firman Allah: “‘ala bashirah”, maksudnya yaitu bashirah (menguasai ilmu) tentang tiga perkara:

·         Menguasai bahan dakwah
Seorang da’i harus memahami hukum syar’i yang hendak disampaikan, sebab terkadang dia mengajak kepada sesuatu yang dia anggap wajib padahal hakikat hukum tersebut tidak wajib. Maka dia mewajibkan kepada hamba Allah dengan suatu perkara yang tidak wajib. Dan terkadang dia mengajak kepada sesuatu yang dia anggap haram, ternyata dalam ilmu agama sesuatu itu tidak haram bererti dia telah mengharamkan sesuatu yang halal dan boleh dalam ajaran Allah.

·         Menguasai keadaan atau situasi Mad’u (orang yang menjadi objek dan sasaran dakwah). 
Oleh kerana itu, ketika Nabi mengutus Mu’az ke Yaman, beliau berpesan kepadanya:
“Sesungguhnya kamu akan mendatangi suatu kaum ahli kitab”.
Pesan Nabi ini adlah agar Mu’az mengetahui keadaan mereka dan bersiap sedia menghadapi mereka. Jadi, kalian harus mengetahui keadaan mad’u (orang yang menjadi objek dakwah) tersebut baik dari segi ilmu pengetahuan mahupun kemampuannya dalam berdialog sehingga anda dengan mudah dan penuh kesediaan berhadapan, berdiskusi dan berdebat dengan mereka. Sebab apabila anda terlibat dalam perdebatan dengan mereka dan dia berhasil mengalahkan anda maka hal ini sangat berbahaya bagi kebenaran sementara anda yang menjadi penyebabnya. Dan anda jangan mengira bahawa pendukung kebatilan itu selalu kalah dalam berdebat bahkan Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya kamu berselisih di hadapanku, boleh jadi sebahagian kamu lebih mahir dengan hujahnya daripada sebahagian yang lain, maka aku memutuskan hukum yang menguntungkannya sesuai dengan apa yang aku dengar”.

Hal ini menunjukkan bahawa orang yang berselisih terkadang lebih mahir bersilat lidah daripada yang lain, meskipun dia dalam posisi yang salah, sementara hukum berlaku sesuai dengan zahir ucapan. Jadi, seorang da’i harus memahami keadaan orang yang menjadi objek dakwah.

Memahami cara dan kaedah dakwah.
Allah berfirman:
 “Serulah (manusia) kepada jalan Rabbmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik”. (QS. An-Nahl: 125)
Sebahagian orang kadang-kadang ketika mendapati suatu kemungkaran langsung mengingkarinya tidak berfikir akibat buruk yang timbul dari sikap tersebut baik kepada diri sendiri maupun kepada para da’i yang lain.

Oleh kerana itu, wajib bagi seorang da’i memperhatikan dan menganalisa berbagai impak negatif dari setiap tindakan dakwahnya sebelum bergerak. Boleh jadi, pada saat sekarang keadaan jiwa seorang da’i penuh dengan semangat dan api kecemburuan yang menyala-nyala namun semangat dan kecemburuan tersebut padam pada masa yang akan datang bahkan dengan waktu yang tidak lama semangat itu akan luntur.

Oleh sebab itu, saya menganjurkan kepada para da’i agar berdakwah dengan penuh hikmah dan tidak tergesa-gesa. Meskipun sikap seperti agak sedikit lambat tetapi akan membuahkan hasil yang baik di kemudian hari, Insya Allah.

Seiring dengan petunjuk nas-nas syar’i dan akal sihat yang tidak tercemar oleh penyakit syubhah dan syahwat maka seorang da’i harus berbekal dengan ilmu yang benar yang bersumber dari Kitabullah dan sunnah Rasul-Nya. Bagaimana anda boleh berdakwah dan mengajak kepada agama Allah sementara anda tidak mengetahui jalan menuju agama dan syariat-Nya? Apakah anda layak menjadi seorang da’i?

Jadi, apabila seseorang belum mempunyai ilmu, maka yang lebih utama belajar terlebih dahulu dan kemudian setelah cukup ilmu boleh mula berdakwah. Ada seseorang yang berkata: “Apakah perkataanmu ini bertentangan dengan sabda Nabi: “Sampaikan dariku walaupun satu ayat?” Maka jawabnya adalah: Tidak, kerana Rasul bersabda: (Sampaikan dariku), kalau begitu, apa yang kita sampaikan harus berasal dari Rasulullah walau hanya sedikit, inilah yang kami maksudkan. Ketika kami berkata “Sesungguhnya seorang da’i memerlukan ilmu” bukan bererti harus mempunyai ilmu yang banyak dan luas, akan tetapi kami berkata “Janganlah berdakwah kecuali dengan ilmu dan jangan berbicara tentang sesuatu yang tidak diketahui”.

Seorang da’i Mestilah Berakhlak Dengan Akhlak Yang Mulia
Hendaknya seorang da’i berakhlak dengan akhlak yang mulia, sehingga pengaruh ilmu itu ternampak dan tercermin pada perangai, aqidah, ibadah dan dalam semua tingkah lakunya. Dan perilaku seorang da’i boleh menjadi contoh dan teladan bagi orang lain. Jika perilaku dan perangai seorang da’i berlawanan dengan nilai akhlak yang mulia maka dakwahnya akan gagal dan kalaupun berhasil, hasilnya hanya kecil.

Jadi, wajib bagi seorang da’i untuk berakhlak mulia dan menghiasi dirinya dengan cahaya ibadah, muamalah atau perilaku terpuji sehingga dakwahnya diterima dan dia tidak termasuk ke dalam golongan orang yang pertama kali dibakar dengan api neraka.

Wahai saudaraku para da’i……..

Apabila kita memperhatikan secara saksama maka sering kita temui beberapa da’i yang mengajak orang lain kepada kebaikan namun dia melupakan dirinya sendiri.

Tidak ragu lagi, bahawa ini merupakan satu kesalahan besar kecuali ada suatu pertimbangan yang lebih maslahah atau untuk merubah keadaan kepada keadaan yang lebih baik. Sebab sesuatu yang utama kadang-kadang menjadi sesuatu yang kurang utama untuk dilaksanakan dan sesuatu yang kurang utama lebih diutamakan/dikedepankan kerana ada beberapa pertimbangan dan maslahah. Oleh sebab itu, Rasul pernah menyeru kepada beberapa nilai dan ajaran mulia akan tetapi suatu ketika baginda sibuk mengerjakan sesuatu yang lebih penting. Maka terkadang baginda berpuasa hingga dikatakan bahawa baginda tidak pernah berbuka, dan terkadang baginda berbuka hingga dikatakan bahawa baginda tidak pernah berpuasa.

Wahai saudara-saudaraku …

Saya berharap hendaknya setiap da`i selalu menghiasi dirinya dengan akhlak mulia dan akhlak yang patut dimiliki oleh setiap da`i, sehingga perkataan dan perbuatannya lebih layak dan pantas untuk diterima.

Seorang Da’i Harus Bersabar Dalam Dakwahnya
Seorang da’i harus bersabar dalam berdakwah dan bersabar dalam menghadapi rintangan dan gangguan dakwah serta bersabar terhadap tentangan dakwah.

Seorang da’i harus bersabar dalam dakwah bererti dia terus menekuni dakwah dan tidak bosan bahkan dia harus terus menerus berdakwah mengajak manusia kepada jalan Allah sesuai dengan kemampuannya dan selalu melibatkan diri dalam berbagai aktiviti dakwah yang lebih bermanfaat dan lebih menepati tujuan atau mengena. Seorang da’i harus bersabar dalam menekuni dakwah dan tidak boleh bosan dalam menyampaikan dakwah. Sebab apabila seorang da’i ditimpa kebosanan, maka dia akan merasa lelah kemudian meninggalkan dakwah, akan tetapi apabila dia tetap beristiqamah dalam berdakwah maka dia akan meraih pahala orang-orang yang bersabar dan mendapatkan hasil yang memuaskan. Renungkanlah firman Allah yang ditujukan kepada Nabi-Nya:

“Itu adalah di antara berita-berita penting tentang yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad), tidak pernah kamu mengetahuinya dan tidak (pula) kaummu sebelum ini. Maka bersabarlah, sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa” (QS. Huud: 49).

Seorang da’i harus bersabar dalam menghadapi rintangan dakwah dari para penentang dan musuh dakwah, kerana setiap orang yang berdakwah mengajak kepada Allah pasti mendapat tentangan sebagaimana firman Allah:

“Dan seperti itulah telah Kami adakan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari orang-orang yang berdosa. Dan cukuplah Rabbmu menjadi pemberi petunjuk dan penolong”. (QS. Al-Furqan: 31).

Jadi, setiap dakwah pasti mendapat tentangan dan rintangan dari para penentang, pendebat ataupun dari para penyebar syubhah, akan tetapi seorang da’i wajib untuk bersabar menghadapi orang-orang yang menentang dakwah, meskipun dakwah tersebut dituduh sebagai dakwah sesat dan batil, padahal dakwah tersebut sesuai dengan petunjuk Kitabullah dan tuntutan sunnah Rasulullah maka seorang da’i harus bersabar dalam berdakwah.

Itu bukan bermaksud seorang da’i harus berterusan mempertahankan kebatilan apabila telah nampak kebenaran. Sesungguhnya orang-orang yang tetap berterusan mempertahankan kebatilan padahal telah nampak kebenaran kepadanya maka ia menyerupai orang yang disebutkan dalam firman Allah:
“Mereka membantahmu tentang kebenaran sesudah nyata (kebenaran itu)” (QS. Al-Anfal: 6).
Membantah kebenaran setelah datang penjelasan dan hujah merupakan sifat yang tercela. Allah berfirman tentang orang-orang yang mempunyai sifat demikian:‏ 

“Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin. Kami biarkan ia berleluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu, dan Kami masukkan ia ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali” (QS. An-Nisa: 115)

Wahai para da’i, apabila ada suatu kritikan yang membangun dan bagus maka anda harus menerima dengan lapang dada namun jika hanya sekedar tuduhan batil jangan sampai melemahkan semangatmu dan mengendurkan langkahmu dalam berdakwah.

Demikian pula seorang da’i harus sabar terhadap rintangan dan gangguan dakwah kerana seorang da’i pasti menghadapi hal-hal yang menyakitkan hati baik berupa perkataan atau perbuatan. Inilah para-para rasul, salawat dan salam semoga tetap tercurah atas mereka, mereka disakiti dengan perkataan dan perbuatan sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah:

“Demikianlah tidak seorang rasul pun yang datang kepada orang-orang yang sebelum mereka, melainkan mereka mengatakan: “Ia adalah tukang sihir atau orang gila”. (QS. Adz-Dzariyat: 52)

Bagaimana pendapatmu tentang seorang yang mendapat wahyu dari Rabbnya lalu diejek dan dikatakan bahawa “sesungguhnya kamu adalah tukang sihir atau orang gila”?. Tidak ragu lagi bahawa beliau merasa disakiti/dihina, namun para rasul tetap bersabar dalam menghadapi ejekan dan hinaan yang menyakitkan hati baik berupa perkataan mahupun perbuatan.

Perhatikanlah Rasul pertama, Nuh ketika kaumnya melihat beliau sedang membuat kapal, mereka mengolok-olok dan mengejek-ejek baginda, maka baginda berkata kepada mereka:

“Jika kamu mengejek kami, maka sesungguhnya kami (pun) mengejekmu sebagaimana kamu sekalian mengejek (kami). Kelak kamu akan mengetahui siapa yang akan ditimpa oleh azab yang menghinakannya dan yang akan ditimpa azab yang kekal” (QS. Hud: 38-39).

Dan mereka tidak puas dengan hanya mengejek dan menghina dengan perkataan dan olokan belaka bahkan mereka mengancam untuk membunuh baginda sebagaimana firman Allah:

“Mereka berkata: “Sungguh jika kamu tidak (mahu) berhenti wahai Nuh, nescaya benar-benar kamu akan termasuk orang-orang yang dirajam” (QS. Asy-Syu’ara: 116).

Maksudnya, baginda akan mengalami seperti orang-orang yang dibunuh dengan cara dirajam dengan batu. Maka beliau diancam dengan pembunuhan, iaitu dengan ancaman bahawa “Kami telah merajam orang selainmu secara terang-terangan”, dalam menunjukkan kekuatan mereka atau show off power, sementara mereka benar-benar telah merajam orang lain, dan kamu wahai Nuh termasuk di antara mereka. Akan tetapi hal itu tidak menngurangkan atau menyurutkan semangat nabi Nuh dalam berdakwah, bahkan beliau terus berdakwah sampai Allah memenangkan beliau atas kaumnya.

Begitu juga dakwah nabi Ibrahim telah disambut oleh kaumnya dengan penolakan, bahkan mereka menciptakan pendapat gila dan sesat tentang dakwah beliau di kalangan umat manusia.‏ 

“Mereka berkata: ‘(Kalau demikian) bawalah dia dengan cara yang dapat dilihat orang banyak, agar mereka menyaksikan’” (QS. Al-Anbiya’: 61)

Kemudian mereka mengancam akan membakar beliau:

“Mereka berkata: ‘Bakarlah dia dan bantulah tuhan-tuhan kamu, jika kamu benar-benar hendak bertindak’” (QS. Al-Anbiya’: 68)

Mereka menyalakan api yang sangat besar dan dahsyat kemudian mereka melempar beliau dengan manjaniq (alat pelempar batu, seperti meriam pada zaman ini) ke arah api. Mereka melempar dengan alat itu kerana sangat jauhnya tempat api dari mereka dan disebabkan sangat dahsyatnya panas api tersebut, tetapi Allah Rabbul ‘Izzah wal Jalal (Yang Maha Perkasa dan Mulia) berfirman:

“Kami berkata: ‘Wahai api, menjadi dinginlah, dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim’” (QS. Al-Anbiya: 69)

Sehingga api itu menjadi dingin dan menjadi keselamatan bagi beliau dan akhir yang baik berpihak pada Ibrahim.

“Mereka hendak merancang jahat terhadap Ibrahim, maka kami menjadikan mereka itu orang-orang yang paling rugi“ (QS. Al-Anbiya: 70).

Begitu juga dengan nabi Musa yang mendapat ancaman dari Fir’aun akan dibunuh.

“Biarkanlah aku membunuh Musa dan hendaklah dia memohon kepada Rabbnya, kerana sesungguh-nya aku kuathir dia akan menukar agamamu atau menimbulkan kerosakan di muka bumi”. (QS. Ghafir: 26).

Nabi Musa diancam dengan pembunuhan, namun keberuntungan berakhir di pihak baginda ‘alaihi shalatu wa salam.

“Dan Fir’aun beserta kaumnya dikepung oleh azab yang amat buruk” (QS. Ghafir: 45)

Demikian pula dengan nabi Isa, beliau disakiti bahkan orang Yahudi menuduh beliau sebagai anak zina. Dan mereka menyangka telah membunuh dan menyalib beliau, tetapi Allah berfirman:

“Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keraguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikuti persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahawa yang mereka bunuh itu adalah Isa. Tetapi (yang sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya. Dan adalah Allah Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana” (QS. An-Nisa: 157-158).

Sehingga beliau selamat dari perancangan keji mereka.

Begitu juga dengan penutup dan imam para nabi-nabi serta sayyid Bani Adam, Muhammad saw, Allah berfirman tentang beliau:

“Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya”. (QS. Al-Anfal: 30).

“Mereka berkata, “Hai orang yang diturunkan Al-Qur’an kepadanya, sesungguhnya kamu benar-benar orang yang gila.” (QS. Al-Hijr: 6).

“Dan mereka berkata: “Apakah sesungguhnya kami harus meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana seorang penyair gila?” (QS. Ash-Shaffat: 36)

Baginda mendapat tentangan dan siksaan yang menyakitkan dari mereka baik berupa perkataan mahupun perbuatan, seperti yang telah diketahui oleh para ulama ahli sejarah, beliau tetap bersabar, maka kesudahan yang baik berpihak pada baginda.

Jadi, setiap da’i pasti akan menghadapi rintangan dalam berdakwah akan tetapi dia harus tetap bersabar. Seperti firman Allah kepada Rasul-Nya:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Qur’an kepadamu (hai Muhammad) dengan beransur-ansur”. (QS. Al-Insan: 23).

Berdasarkan ayat di atas, menurut fahaman kita seharusnya perintah untuk bersyukur namun ternyata Allah berfirman kepada beliau:

“Maka bersabarlah kamu untuk (melaksanakan) ketetapan Rabbmu” (QS. Al-Insan: 24)

Demikian itu sebagai isyarat bahawa setiap orang yang mengamalkan ajaran Al-Qur’an mesti ditimpa kesukaran yang memerlukan kesabaran yang lebih.

Maka wajib bagi setiap seorang da’i tetap bersabar dan terus berdakwah sampai datangnya kemenangan. Tidak harus kemenangan itu datang ketika ia masih hidup, namun suatu yang terpenting adalah panji dakwah tetap berkibar di tengah umat manusia dalam keadaan murni (putih bersih) dan diikuti. Dan sasaran utama dakwah bukanlah jumlah orang yang sudah mengikuti dakwah namun yang terpenting bagaimana panji dakwah tetap berkibar dan suara dakwah terus bergema meskipun dia telah tiada, sehinggga dia seakan-akan masih tetap hidup walaupun dia sudah tiada.

Allah berfirman:

“Apakah orang yang sudah mati, kemudian dia kami hidupkan dan kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya” (QS. Al-An’am: 122).

Pada hakikatnya hidup dan tidaknya seorang da’i bukan bergantung pada bersatunya ruh dan jasad belaka tetapi seorang da’i dinyatakan hidup secara hakiki bila pendapat dan kebaikannya tetap ada dan lestari di tengah-tengah umat manusia.

Renungkanlah kisah Abu Sufyan bersama Heraklius. Pada tahun ke tujuh hijrah, Heraklius mendengar bahawa telah muncul seorang Nabi maka dia memanggil Abu Sufyan, lalu dia bertanya kepadanya tentang kenabian, keperibadian, nasab, ajaran dakwah dan tentang para sahabat beliau. Ketika Abu Sufyan telah menjawab semua pertanyaan maka Heraklius berkata kepadanya: “Jika apa yang kamu katakan benar, maka dia akan menguasai wilayahku hingga bumi yang ada di bawah kedua kakiku ini”. Subhanallah, siapa yang mengira bahwa raja dari sebuah imperium (menurut istilah mereka) akan melontarkan ucapan seperti itu tentang Nabi Muhammad, padahal pada saat itu beliau belum membebaskan jazirah Arab dari perbudakan syaitan dan hawa nafsu. Siapa yang mengira bahwa seorang kaisar akan mengatakan perkataan seperti di atas?. Oleh karena itu, ketika Abu Sufyan keluar, dia berkata kepada kaumnya:

لَقَدْ أَمِرَ أَمْرُ اْبنِ أَبِيْ كَبْشَةٍ إِنَّهُ لَيَخَافُهُ مَلِكُ بَنِيْ اْلأَصْفَرِ
“Sungguh urusan Ibnu Abi Kabsyah telah menjadi besar, Raja Bani Al-Ashfar (bangsa berkulit putih) telah gentar kepada-nya”.

“Amira“ maksudnya adalah “azuma” (besar) seperti dalam firman Allah:
لَقَدْ جِئْتَ شَيْئًا إِمْرًا
“Sungguh telah datang kepadamu sesuatu yang besar”.

Dan ternyata Nabi benar-benar telah mampu menakluki semua wilayah dan kekuasaan Heraklius dengan cahaya dakwah bukan dengan kebesaran peribadi baginda, kerana dakwah beliau datang di muka bumi untuk menebarkan dakwah Islam dan membinasakan berhala serta kesyirikan dan para pendukungnya.

Begitu juga para Khulafa’ur Rasyidin setelah Nabi Muhammad menakluki semua wilayah dan kekuasaan Hiraklius dengan dakwah dan syariat beliau.

Jika demikian, maka wajib bagi setiap da’i untuk bersabar sebab kesudahan yang baik pasti berpihak pada mereka dengan syarat mereka jujur bersama Allah baik ketika masih hidup atau sesudah mati.

“Musa berkata kepada kaumnya: “Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah. Sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah, dipusakakannya kepada siapa yang dikehendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa” (QS. Al-A’raf: 128).

Dan Allah berfirman:
“Sesungguhnya barangsiapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik.” (QS. Yusuf: 90).

Wallahu a’lam.

Rakan-rakan Pembaca Budiman