Monday, June 15, 2009

Tajwid Al-Quran: Pengenalan


Allah Ta’ala berfirman :
“Maka bacalah Al-Qur’an dengan tartil (yang sebaik-baiknya).”

(QS. Al-Muzammil : 4)

Rasulullah pernah bersabda, maksudnya:

Bacalah olehmu Al-Qur’an, maka sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat/pertolongan ahli-ahli Al-Qur’an (yang membaca dan mengamalkannya).” (HR. Muslim)

Sabda Rasulullah lagi bermaksud :

“Orang yang paling baik di antara kamu ialah orang yang belajar Al-Qur’an dan mengajarkannya kepada orang lain.” (HR. Bukhari)

Sebelum mula mempelajari Ilmu Tajwid sebaiknya kita mengetahui terlebih dahulu bahawa setiap ilmu ada sepuluh asas yg menjadi dasar pemikiran kita. Berikut dikemukakan 10 asas Ilmu Tajwid.

1. Pengertian Tajwid menurut bahasa : Memperelokkan sesuatu.

Menurut istilah Ilmu Tajwid : Melafazkan setiap huruf dari makhrajnya yang betul serta memenuhi hak-hak setiap huruf.

2. Hukum mempelajari Ilmu Tajwid adalah Fardhu Kifayah dan mengamalkannya yakni membaca Al-Quran dengan bertajwid adalah Fardhu Ain bagi setiap muslimin dan muslimat yang mukallaf.

3. Tumpuan perbincangannya : Pada kalimah-kalimah Al-Quran.

4. Kelebihannya : Ia adalah semulia-mulia ilmu kerana ia berkait secara langsung dengan kitab Allah Al-Quran.

5. Penyusunnya : Imam-Imam Qiraat.

6. Faedahnya : Mencapai kejayaan dan kebahagiaan serta mendapat rahmat dan keredhaan Allah didunia dan akhirat. Insya-Allah.

7. Dalilnya : Dari Kitab Al-Quran dan Hadis Nabi ( S.A.W )

8. Nama Ilmu : Ilmu Tajwid

9. Masalah yg diperbincangkan : Mengenai keadah-kaedah dan cara-cara bacaannya secara keseluruhan yg memberi pengertian hokum-hukum cabang.

10. Matlamatnya : Memelihara lidah daripada kesalahan membaca ayat-ayat suci Al-Quran pada ketika membacanya. Membaca sejajar dengan penurunannya yg sebenar dari Allah ( S.W.T )

Tingkatan Bacaan Al Quran

Terdapat 4 tingkatan atau martabat bacaan Al-Quran iaitu bacaan dari segi cepat atau perlahan.

1. At-Tartil : Bacaannya yang perlahan-perlahan, tenang dan melafazkan setiap huruf daripada makhrajnya yang tepat serta menurut hukum-hukum bacaan Tajwid dengan sempurna, merenung maknanya, hukum dan pengajaran daripada ayat.

2. Bacaannya seperti Tartil cuma lebih lambat dan perlahan, seperti membetulkan bacaan huruf daripada makhrajnya, menepatkan kadar bacaan mad dan dengung.

3. Al-Hadar: Bacaan yang cepat serta memelihara hukum-hukum bacaan Tajwid.

4. At-Tadwir: Bacaan yang pertengahan antara tingkatan bacaan Tartil dan Hadar, serta memelihara hukum-hukum Tajwid.

Perhatian :

* Tingkatan bacaan Tartil ini biasanya bagi mereka yang sudah mengenal makhraj-makhraj huruf, sifat-sifat huruf dan hukum-hukum Tajwid. Tingkatan bacaan ini adalah lebih baik dan lebih diutamakan.

* Tingkatan bacaan Tahqiq ini biasanya bagi mereka yang baru belajar membaca Al-Quran supaya dapat melatih lidah menyebut huruf dan sifat huruf dengan tepat dan betul.

* Tingkatan bacaan Hadar pula biasanya bagi mereka yang telah menghafal Al-Quran, supaya mereka dapat mengulang bacaannya dalam masa yang singkat.

* Tingkatan terakhir pula ialah Tadwir yakni pertengahan antara Tartil dan Hadar

Waqaf ( وقف ).

Dari sudut bahasa: Berhenti / menahan.

Dari sudut istilah tajwid: Menghentikan seketika bacaan secara memutuskan suara di akhir perkataan untuk bernafas dengan niat ingin menyambungkan kembali bacaan.

Jenis-jenis waqaf

1. Waqaf Lazim ( الوقف اللازم ) / Waqaf Tam ( الوقف التام ).

Menghentikan bacaan pada rangkai kata yang sempurna maknanya serta lafaz (dari segi i'rab) dan maksudnya tidak tergantung dengan kata-kata berikutnya. Waqaf ini bertanda: ( م )

2. Waqaf Ja'iz (Berhenti Harus) الوقف الجائز . Bacaan diharuskan berhenti atau sambung.

Kedudukan hukum bahagian ini kadangkala sama (berhenti atau sambung), kadangkala sambung lebih baik dari berhenti dan kadangkala berhenti lebih baik dari sambung (iaitu menghentikan bacaan pada rangkai kata yang tidak merosakkan maknanya).

3. Waqaf Muraqabah (Berhenti Pemerhatian) وقف المراقبة . Ia juga dinamakan Waqaf Ta'anuq (Berhenti Berikat) iaitu memberhentikan bacaan pada salah satu dari dua tempat Waqaf yang berdekatan tanpa Waqaf pada kedua-duanya.

4. Waqaf Mamnu' (Berhenti Tertegah) الوقف الممنوع . Menghentikan bacaan pada rangkai kata yang tidak sempurna maknanya kerana makna dan lafaznya masih tergantung dengan kata-kata yang berikutnya dan ia ditegah berhenti. Tanda Waqaf tersebut ialah:( لا ).

5. Saktah Latifah (Berhenti baik / Elok) السكتة اللطيفة . Menghentikan seketika bacaan tanpa bernafas sekadar dua harakat. Tandanya ialah: ( س ).

Jenis-jenis Hamzah

1. Hamzah Qat'ie ( همزة القطع ).

Hamzah ini tetap disebut pada permulaan bacaan, pada ketika bacaan sambung dan pada tulisan. Hamzah ini dinamakan dengan Hamzah Qat'ie ialah kerana ia memutuskan beberapa huruf dari huruf yang lain ketika membacanya. Hamzah Qat'ie terletak pada awal kalimah, pada pertengahan kalimah atau pada akhir kalimah.Ia juga terletak pada kata nama (isim), kata kerja (fe'el) dan sendi nama (harf). Hukumnya ialah ia perlu disebut ketika membacanya.

2. Hamzah Wasal ( همزة الوصل ).

Ia disebut pada permulaan bacaan dan digugurkan sebutannya ketika dibaca secara sambung dengan huruf sebelumnya. Ia dinamakan demikian kerana disambung dengan huruf yang bertanda Sukun pada awal perkataan. Tanda Hamzah Wasal ialah terdapat huruf Sad di atas huruf Alif.

Sekian. Wallahu ‘alam.

No comments:

Rakan-rakan Pembaca Budiman