Showing posts with label Muslim. Show all posts
Showing posts with label Muslim. Show all posts

Monday, June 22, 2009

Bersatu Syarat Islam Gemilang


Wawancara di ruangan Bicara Agama Utusan Malaysia

Mukadimah

Dari Thauban ia berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Hampir seluruh umat manusia bersatu menghancurkan kamu seperti orang yang sedang lapar mengerumuni makanan. Mereka bertanya: Apakah kita sedikit pada masa itu wahai Rasulullah? Jawab Baginda: Malah kamu ramai, tetapi kamu laksana buih air bah. Dalam pada itu hati mereka tidak ada rasa segan terhadap kamu dan dalam hati kamu sendiri tumbuh penyakit wahan. Apa yang dimaksudkan dengan penyakit wahan itu wahai Rasulullah? Maksudnya ialah di dalam hati kamu bertakhta perasaan cinta dunia dan takut mati”. (Riwayat Abu Daud).

Demikianlah gambaran yang berlaku pada umat Islam hari ini. Bilangan Muslim di seluruh dunia yang melebihi 1 bilion ternyata tidak menggentarkan musuh waimma Israel yang kecil itu.

Contoh terbaru adalah kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin di Genting Gaza. Walaupun, rejim zionis itu dikelilingi oleh negara-negara Islam Arab, rakyat Palestin terus dizalimi tanpa pembelaan.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, SAHARUDIN ABDULLAH menemu bual Pensyarah Institut Kefahaman dan Pemikiran Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Prof. Madya Dr. Nik Mohd. Rosdi Nik Ahmad bagi mengupas isu ini.

Apakah hikmah Nabi Muhammad SAW diutus di kalangan umat Arab?

NIK ROSDI: Rasulullah adalah keturunan Nabi Ibrahim iaitu antara nabi yang bukan dalam kalangan Bani Israel. Memanglah kebanyakan nabi yang diutuskan Allah adalah dari kalangan Bani Israel.

Semasa baginda diutuskan ke muka bumi, masyarakat Arab dari segi tamadunnya adalah lebih menonjol berbanding Bani Israel. Akhirnya, mereka seolah-olah dikongkong oleh bangsa lain. Bani Israel juga hidup nomad.

Mereka juga adalah digelar bangsa kibti Firaun yang dianggap hamba atau buruh kasar. Sebab itu Firaun mengejar Nabi Musa dan Bani Israel yang keluar dari Mesir ke Laut Merah yang akhirnya menyaksikan kematian Firaun ditelan air laut.

Sebab utamanya, kerana Firaun bimbang kerja-kerja membangunkan Mesir akan terbantut jika Bani Israel tidak ada.

Pada masa yang sama, ada banyak masalah yang melanda bangsa Arab semasa zaman jahiliah. Mereka terkenal sebagai bangsa yang amat taksub kepada perkauman atau assabiah. Mereka juga suka bergaduh sesama sendiri. Pendek kata, apa yang berlaku pada Bani Israel seolah-olah ada pada bangsa Arab.

Dengan itulah, Allah mengutuskan baginda untuk menyelesaikan segala masalah. Perutusan Rasulullah SAW ke muka bumi ini seperti kita semua sedia maklum adalah sebagai rahmat ke atas sekelian alam. Ini dijelaskan menerusi firman Allah, “Dan tidak kami (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam.” (al-Anbiya’: 107)

Bangsa Arab ini selain mempunyai kiblat dan kitab yang satu juga berbahasa yang sama. Yang peliknya, mereka tidak juga boleh bersatu menentang zionis. Di mana silapnya?

NIK ROSDI: Orang Arab ini dulunya memang suka bergaduh. Sehinggakan nabi pun dibunuh. Contohnya, Nabi Zakaria yang disembelih oleh mereka.

Nabi Muhammad SAW telah diingatkan tentang hal itu semasa baginda diutus oleh Allah. Sebab itu antara tindakan awal baginda selepas berhijrah adalah mempersaudarakan puak Muhajirin dan Ansar. Kemudian menghubungkan puak yang bertelagah di Madinah iaitu suku Bani Nadhir, Qainuqa’ dan Khuraizah.

Selepas itu, baginda membentuk Sahifah Madinah (Perlembagaan Madinah) sebagai undang-undang yang diterima pakai di kalangan penduduk di sana.

Membentuk perpaduan ini amat penting dalam sesebuah masyarakat dan negara. Ia adalah kunci kepada kekuatan sesebuah bangsa dan negara.

Ini dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (Islam), janganlah kamu berpecah belah dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran semasa jahiliah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu...” (ali-‘Imran: 103)

Sepatutnya orang Arab lebih memahami hal ini. Namun mereka nampaknya tidak membaca al-Quran dan tidak ambil manfaat daripada kitab suci itu. Ini juga menunjukkan kesan penjajahan Barat yang sangat mendalam kepada orang Arab.

Dalam kes di Palestin, difahamkan ada di kalangan anggota Fatah yang memberi maklumat lokasi pejuang Hamas kepada puak zionis. Apakah jenis orang Islam begini?

NIK ROSDI: Dalam Islam ada golongan yang munafik. Mereka ini tidak senang hati dengan Islam. Sentiasa mencari jalan memusnahkan orang Islam.

Di Palestin, Hamas adalah lebih dekat dengan Islam manakala Fatah pula bersekongkol dengan Amerika Syarikat (AS). Jadi musuh menggunakan Fatah untuk menjatuhkan Palestin.

Pertelingkahan Fatah dan Hamas adalah punca krisis di Palestin. Barangkali mereka lupa kepada firman Allah yang bermaksud: “Dan taatlah kepada Allah dan Rasulnya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (al-Anfaal: 46)

Inilah yang berlaku di kebanyakan negara kuasa besar. Mereka gunakan golongan munafik untuk menjatuhkan Islam. Contohnya, di Afghanistan. Apabila menghadapi serangan Rusia, puak Islam yang bertelagah bersatu tetapi apabila Rusia balik mereka bergaduh semula.

Kemudiannya, muncul kumpulan Taliban yang menghadapi saingan daripada Pakatan Utara. Akhirnya, AS gunakan Pakatan Utara untuk menjatuhkan Afghanistan.

Islam menetapkan ketaatan kepada Allah dan rasul itu sebagai mutlak. Walhal ketaatan kepada pemimpin itu selagi mana mereka mentaati Allah dan Rasul-Nya.

Janji Israel memang tidak boleh dipercayai. Justeru apakah persiapan yang perlu ada di kalangan negara Islam bagi menghadapi puak zionis ini?

NIK ROSDI: Sifat orang Yahudi ini telah dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”... (al-Baqarah: 120)

Apa yang malangnya, itulah tabiat umat Islam. Mereka suka menjadikan Yahudi dan Nasrani sebagai kawan sebaliknya Muslim itu sebagai lawan.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kamu pasti akan mengikut jejak langkah orang-orang yang sebelum kamu – sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan jika mereka memasuki ke dalam lubang dhab (sejenis biawak di padang pasir), pasti kamu akan mengikut mereka. Kami (para sahabat) bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah Yahudi dan Nasrani (yang engkau maksudkan)? Jawab baginda SAW: Maka siapakah lagi (kalau bukan mereka)?” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Untuk itu, kita tidak ada jalan lain selain kembali bersatu mengukuhkan perpaduan. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) perlu memainkan peranan penting dalam dalam hal ini.

Kita perlu mencontohi tindakan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW selepas hijrah baginda ke Madinah.

Seterusnya, golongan ulama dan umarak (pemerintah) perlu digabung jalinkan. Sebabnya kedua-dua pihak mempunyai pengaruh dalam masyarakat.

Membiarkan perpecahan antara kedua-duanya adalah antara faktor kejatuhan tamadun Yunani Greek. Ia berlaku apabila pemerintah memberi keutamaan kepada golongan Solon dan mengabaikan golongan Socrates (ahli falsafah). Akhirnya puak Socrates bangun memberontak dan membawa kepada tamatnya era kegemilangan tamadun Yunani.

Amir Syakib Arsalan dalam bukunya Mengapa Bukan Islam alami kemajuan dan kenapa Umat Islam alami kemunduran antara lain menjelaskan umat Islam tidak pandai membangunkan potensi yang ada seperti minyak untuk kemajuan umat.

Yang kedua, umat Islam cintakan permusuhan. Apabila hadapi musuh (bukan Islam) mereka bersatu tetapi selepas itu mereka kembali bertelagah.

Saturday, June 20, 2009

Taksub Yang Dicemuh


Berpegang dengan kebenaran serta berusaha keras mempertahankannya merupakan sifat yang terpuji. Sifat ini ditunjukkan oleh para Nabi 'alaihimussalam dan tokoh-tokoh pejuang Islam sebagaimana yang dicatit di dalam lembaran sejarah.

Adapun berpegang dengan kebatilan serta berusaha mempertahankannya tanpa dalil yang kukuh apatah lagi bertentangan dengan kebenaran, maka ini yang dinamakan taksub atau fanatik dan ia merupakan sifat yang tercela. Sifat ini juga mengundang dosa sekiranya terus dipertahankan tanpa memperdulikan kewujudan kebenaran.

Menurut Kamus Dewan, fanatik membawa maksud: Orang yang keterlaluan pada sesuatu pegangan atau pendirian (biasanya berkaitan dengan agama).[1]

Pada saya, definisi ini terlalu umum. Saya menambah: Tanpa dalil dan secara membuta tuli.

Taksub/fanatik biasanya berkait rapat dengan sikap taqlid. Sememangnya taksub merupakan sifat yang dicemuh kerana ia boleh membutakan mata hati. Kerana itu, al 'Allamah al Muhaddith Sayyid Muhammad Zaki Ibrahim radhiyallahu 'anhu pernah menegaskan:

Semoga Allah melaknat sikap taksub kerana dengan sikap ini, ada sebahagian orang yang sanggup mengubah maksub sebenar ayat ini[2] dengan menjadikan golongan yang membina masjid di sisi gua tempat Ashabul Kahfi disemadikan sebagai musyrik pelampau![3]

Dalam entri kali ini, saya menyenaraikan beberapa contoh sikap taksub yang sepatutnya dijauhi oleh kita semua. Saya turut sertakan jawapan balas terhadap dakwaan-dakwaan yang timbul berpunca daripada sikap taksub ini agar kita semua jelas dengan permasalahan sebenar. Sesungguhnya taufiq dan hidayah itu datang dari Allah Ta'ala jua.

1) Sebahagian ulama' qiraat mendakwa bahawa di Syurga kelak, al Quran akan dibaca menurut riwayat Warasy. Dengan erti kata lain, bacaan riwayat lain seolah-olah tidak benar kerana ianya tidak dibaca di Syurga kelak.[4]

Kami mengatakan: Dakwaan ini tidak berdalil. Tidak terdapat dalil sama ada daripada hadith yang sohih mahupun dho'if sekalipun yang menyokong dakwaan ini. Kita sedia maklum bahawa kesemua jenis qiraat al Quran yang dibaca sejak daripada zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sehingga sekarang merupakan bacaan yang diriwayatkan secara mutawatir daripada Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Mengapa hanya riwayat Warasy sahaja yang dibaca di Syurga kelak? Mengapa tidak semua riwayat dibaca sekali di Syurga? Atau penghuni Syurga yang membaca riwayat-riwayat tertentu ketika mereka di dunia dahulu, membacanya kembali di Syurga? Pelik, hanya riwayat Warasy sahaja yang dipilih. Ini tidak lain dan tidak bukan berpunca daripada sikap taksub terhadap riwayat Warasy dengan anggapan bahawa ia adalah bacaan terbaik. Ini dakwaan kosong! Jika begitu, maka umat Islam yang berada di Morocco, Algeria dan negara-negara Afrika beruntung kerana mereka membaca al Quran dengan riwayat Warasy. Manakala umat Islam di negara lain pula kurang beruntung kerana umat Islam di Tunis dan Libya membaca al Quran dengan riwayat Qalun. Yaman pula dengan riwayat Nafi'. Sudan dengan riwayat Abu 'Amru. Manakala baki negara-negara umat Islam yang lain membaca al Quran dengan riwayat Hafs. Persoalannya, adakah begitu? Jawapannya, sudah pasti tidak sama sekali!

2) Sebahagian ulama' Hanafiyyah memfatwakan bahawa jika seseorang yang bermazhab Hanafi berkahwin dengan seseorang yang bermazhab Syafi'i, maka perkahwinannya tidak sah kerana iman orang yang bermazhab Syafi'i diragui! Ini disebabkan golongan Syafi'iyyah mengharuskan kita mengucapkan begini, "Saya mukmin, insya Allah." Maka justeru itu, iman mereka ini diragui![5]

Kami mengatakan: Subhanallah! Disebabkan terlalu taksub kepada mazhab Hanafiyyah, sanggup mereka memfatwakan sebegini. Sedangkan perkahwinan ini berlaku di antara dua orang Muslim, cuma berlainan mazhab. Bagi menjawab dakwaan bahawa iman golongan Syafi'iyyah diragui kerana mereka mengharuskan kita untuk menyebut, "Kami mukmin, insya Allah.", kami menyatakan: Kalimah 'insya Allah' disebut dalam pernyataan ini bukan membawa maksud ragu-ragu adakah kita beriman atau tidak. Tetapi ianya disebut atas dasar tabarruk (mengambil berkat) dan untuk merealisasikan perintah Allah Ta'ala mafhumnya:

“Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) mengatakan, "Saya akan melakukannya esok." (tetapi ucapkan sekali) sekiranya dikehendaki Allah (iaitu ucapan insya Allah)..” [al Kahfi: 23 & 24]

Ayat ini menunjukkan bahawa kita dituntut mengucapkan 'insya Allah' ketika berhasrat ingin melakukan sesuatu walaupun kita yakin mampu untuk melakukannya. Selain ianya sebagai tuntutan, ia juga berupa zikir agar kita sentiasa mengingati Allah Ta'ala dalam setiap ucapan dan perbuatan supaya ianya membuahkan keberkatan. Kerana itu Allah Ta'ala berfirman dalam ayat yang sama selepas itu:

“Dan ingatilah Tuhan-mu ketika engkau lupa serta ucapkanlah (doa), "Semoga Tuhan-ku memberiku petunjuk ke arah yang lebih terang daripada ini.” [al Kahfi: 24]

Bahkan Sunnah juga menyokong kenyataan ini. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Sayyiduna Abu Hurairah radhiyyallahu 'anhu bahawa pada suatu hari Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menziarahi tanah perkuburan bersama para sahabat lalu Baginda mengucapkan, "Selamat sejahtera buat kamu wahai penghuni negeri kaum Mukminin! Insya Allah, kami akan menyusuli kamu kelak.."

Prof. Dr. Musa Syahin ketika mengulas hadith ini menyatakan:

Kalimah 'insya Allah' di sini diucapkan bukan disebabkan keraguan kerana kematian itu bukan perkara yang diragui. Bahkan kalimah ini diucapkan sebagai tabarruk (mengambil berkat) serta bertujuan untuk merealisasikan firman Allah Ta'ala mafhumnya:

“Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) mengatakan, "Saya akan melakukannya esok." (tetapi ucapkan sekali) sekiranya dikehendaki Allah (iaitu ucapan insya Allah)..” [al Kahfi: 23 & 24][6]

Lihat bagaimana Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mengucapkan kalimah 'insya Allah' dalam menyebut kematian sedangkan kematian itu adalah perkara yang diyakini berlaku bahkan lebih diyakini daripada keimanan seseorang. Adakah kita boleh menjamin bahawa kita akan terus beriman dan mati dalam keadaan beriman? Mengapa kita begitu berani mempertikaikan keimanan saudara seislam, sedangkan kita sendiri belum pasti akan terus beriman. Kemudian zahir satu lagi jawapan lain buat saya iaitu: Golongan Syafi'iyyah mengharuskan perkara ini sebagai doa dan harapan agar diizinkan oleh Allah Ta'ala untuk terus hidup dan mati dalam keadaan beriman. Wallahu 'alam. Semoga kita semua dimatikan dalam iman. Amin..

3) Dakwaan sebahagian golongan Hanafiyyah bahawa apabila Nabi 'Isa 'alaihissalam turun kelak, Baginda akan menganut mazhab Hanafiyyah. Begitu juga Imam al Mahdi 'alaihissalam. Apabila muncul kelak, beliau akan berpegang dengan mazhab Hanafiyyah.

Kami menyatakan: Inna lillah wainna ilaihi roji'un (Kita adalah milik Allah dan kepada-Nya jua kita akan kembali)! Dakwaan apakah ini?! Sehingga membabitkan seorang Nabi Allah dan seorang bakal mujtahid.

Adapun Nabi 'Isa Ruhullah 'alaihissalam, apabila turun kelak maka Baginda akan melaksanakan syariat Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam bahkan pangkat Kenabian dan Kerasulan Baginda masih kekal. Maka bagaimana seorang Nabi dan Rasul mengikut mana-mana mazhab? Sekali lagi: Dakwaan apakah ini??

Manakala Imam al Mahdi 'alaihissalam pula, beliau dikurniakan oleh Allah Ta'ala dengan tiga darjat iaitu darjat Khalifah, Mujaddid dan Mujtahid. Sebagaimana yang tercatat di dalam ilmu Usul Fiqh, seseorang yang telah mencapai darjat ijtihad maka tidak harus baginya untuk bertaqlid bahkan wajib baginya beramal dengan ijtihadnya sehingga zahir dalil sohih yang bertentangan dengan ijtihadnya maka ketika itu wajib pula baginya mengikut dalil sohih tersebut. Bukan mengikut mana-mana mazhab! Sila fahami betul-betul!

4) Dakwaan sebahagian golongan Syafi'iyyah bahawa Imam Abu Hanifah radhiyyallahu 'anhu wafat sebelum kelahiran Imam Muhammad bin Idris al Syafi'i disebabkan tokoh tersebut tidak berani berdepan dengan Imam Syafi'i.

Kami menyatakan: Adakah kematian itu terletak di tangan Imam Abu Hanifah sehingga beliau mampu untuk menentukan tarikh kewafatannya? Sedangkan urusan hidup dan mati terletak di tangan Allah Ta'ala. Kemudian, apakah munasabahnya beliau perlu merasa gentar untuk berhadapan dengan Imam Syafi'i? Sedangkan beliau sendiri tidak tahu bahawa Imam Syafi'i akan lahir selepas kewafatannya. Jika beliau mengetahuinya sekalipun melalui firasat yang dikurniakan Allah Ta'ala buat beliau, untuk apa beliau merasa gentar? Logiknya, beliau pasti bergembira kerana akan munculnya seorang tokoh yang akan meneruskan perjuangan beliau menegakkan Islam. Imam Syafi'i sendiri memandang tinggi kedudukan Imam Abu Hanifah bahkan masyhur di sisi golongan Syafi'iyyah bahawa apabila Imam Syafi'i menyebut nama Imam Abu Hanifah, beliau tidak menyebutnya secara terang tetapi dengan berkias kerana memuliakan nama yang agung ini! Allahu Akbar! Alangkah tingginya adabmu wahai Imam!

5) Berkata sebahagian ulama': Tidak boleh bertaqlid pada mazhab selain mazhab yang empat walaupun mazhab tersebut bertepatan dengan pendapat sahabat, hadith sohih dan ayat suci al Quran! Sesiapa yang keluar daripada mazhab yang empat, maka dia adalah sesat lagi menyesatkan bahkan boleh membawa kepada kekufuran kerana berpegang kepada zahir al Quran dan Sunnah adalah daripada asas kufur!![7]

Kami menyatakan: Subhanallah!! Ini kes berat. Ketika menukilkan dakwaan ini, saya menukilkannya dengan perasaan kesal..

Kami menjawab secara umum: Yang benar di sisi golongan muhaqqiqin, bermazhab itu bukan suatu kewajipan. Inilah pegangan majoriti ulama' muhaqqiqin seperti al Hafiz al 'Iraqi, Imam Nawawi dan selain mereka. Lagi pun, jika kita mewajibkan umat Islam supaya berpegang dengan salah satu mazhab bererti kita telah mewajibkan mereka dengan perkara yang tiada dalil. Kita juga telah menyempitkan mereka daripada keluasan Islam. Sedangkan Islam adalah agama rahmat dan mudah. Kebenaran itu pula berada pada sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh Allah Ta'ala walaupun pada mazhab selain mazhab yang empat selagimana kebenaran itu berpaksikan al Quran dan Sunnah. Jika kita mengimbau kembali sejarah perundangan Islam, kita akan dapati bahawa mazhab itu tidak terbatas pada yang empat sahaja bahkan kita boleh katakan banyak mazhab telah tumbuh. Bermula dengan mazhab Zaidiyyah, Ja'afariyyah, Jaririyyah, Zohiriyyah, Auza'iyyah, Ibadhiyyah, Abu Thur, Abu 'Ubaid al Qosim bin Salam dan banyak lagi. Bila kita melakukan kajian perbandingan mazhab, kadangkala ternyata pendapat yang benar itu bersama mazhab selain mazhab yang empat. Ini hakikat yang perlu diterima. Namun apakan daya, mata hati yang buta kerana ditimpa penyakit 'katarak taksub' sukar melihat kebenaran..

Kemudian bagaimana pernyataan yang menyebut: Tidak boleh bertaqlid pada mazhab selain mazhab yang empat walaupun mazhab tersebut bertepatan dengan pendapat sahabat, hadith sohih dan ayat suci al Quran! Ini boleh diterima?? Seolah-olah pendapat mazhab yang empat lebih tinggi daripada al Quran, Sunnah dan pendapat sahabat yang lebih mengenali sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam!

Kemudian dihukumkan pula sebagai sesat lagi menyesatkan bahkan kufur! Allah Akbar! Ya Allah! Adakah sebegini sempit agama-Mu?! Agama-Mu tidak sempit, tetapi disempitkan oleh hamba-hamba-Mu yang taksub..

6) Dakwaan sebahagian pengamal tariqat Tijaniyyah yang jahil bahawa tariqat mereka adalah yang terbaik berbanding tariqat yang lain bahkan sesiapa yang memasuki tariqat selain tariqat Tijaniyyah, maka dia akan mati dalam Su'ul Khatimah (mati dalam kufur)!![8] Mereka juga mendakwa bahawa selawat al Fatih yang menjadi amalan tariqat ini lebih afdhal (mulia) daripada al Quran.

Kami menyatakan: Allah.. Allah.. Ini antara punca mengapa tariqat tasawuf ditohmah, dibenci dan dimusuhi. Sedangkan tariqat tasawuf tidak bersalah sama sekali. Pengamalnya yang jahil sepatutnya dipersalahkan. Dakwaan bahawa tariqat Tijaniyyah lebih baik daripada tariqat yang lain adalah dakwaan kosong tanpa dalil. Kemudian sesiapa yang tidak memasuki tariqat ini, akan mati dalam keadaan buruk. Adakah golongan ini menerima wahyu? Kami tidak menyalahkan pengasas tariqat ini iaitu Syeikh Ahmad al Tijani kerana kami yakin beliau adalah wali yang sejati. Beliau mengasaskan tariqat ini di atas paksi al Quran dan Sunnah. Namun para pengikut beliau yang taksub, telah menyimpang daripada dasar yang telah beliau tetapkan.

Adakah mereka menerima wahyu bahawa selawat al Fatih lebih mulia daripada al Quran? Saya tanpa ragu-ragu menyatakan, ini adalah kalam kufur! Astaghfirullahal 'azim (saya memohon keampunan Allah).

Kesimpulan.

Al Quran dan Sunnah adalah sumber perundangan yang sejati. Kebenaran sentiasa bersama al Quran dan Sunnah. Selagi mana kita berpegang dengan al Quran dan Sunnah, maka selagi itu kita akan sentiasa berada di atas jalan kebenaran. Ijtihad-ijtihad para ulama' itu boleh jadi benar dan boleh jadi salah. Namun kita menghormati ijtihad-ijtihad mereka lebih-lebih lagi mereka ini dijanjikan pahala walaupun ijtihad mereka tersalah. Cuma kita dituntut untuk menurut ijtihad yang bersesuaian dengan al Quran dan Sunnah. Adapun ijtihad mereka yang salah, kita kritik dengan kritikan yang membina dan secara beradab. Diingatkan juga, bukan sebarangan orang boleh mengkritik ijtihad mereka. Hanya golongan mujtahid sahaja yang boleh mengkritiknya disertai dengan adab yang tinggi. Bukan sewenang-wenangnya oleh golongan jahil yang kononnya mendakwa sebagai mujtahid tapi masih lagi bertaqlid pada pendapat yang telah nyata kebatilannya! Semoga Allah Ta'ala sentiasa memimpin kita ke arah kebenaran. Amin. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam.

Nota: Buat pengetahuan sidang pembaca, dakwaan-dakwaan yang dinyatakan di sini dikemukakan oleh ulama'. Namun sebagai beradab dengan mereka, saya tidak menyebut nama mereka. Bukan peribadi yang kita perlu kritik kerana mereka adalah golongan yang berperibadi mulia, tetapi pendapat mereka yang perlu kita perhatikan. Benarlah, kesempurnaan itu hanya milik Allah Ta'ala dan sifat maksum itu hanya dikhususkan oleh Allah buat para Nabi dan Rasul-Nya sahaja.

Bibliografi:

- Khawatir Diniyyah, al Hafiz Sayyid Abdullah Siddiq al Ghumari, bahagian pertama, cetakan ketiga 2004 (1425), terbitan Maktabah al Qohirah, Mesir.

- Khawatir Diniyyah, al Hafiz Sayyid Abdullah Siddiq al Ghumari, bahagian kedua, cetakan pertama 1998 (1419), terbitan Maktabah al Qohirah, Mesir.

- Fiqh al Sunnah, al 'Allamah Sayyid Sabiq, jilid pertama, cetakan pertama 2003 (1423), terbitan al Fath lil 'Ilam al 'Arabi, Mesir.

- Fathul Mun'im Syarh Sohih Muslim, Prof. Dr. Musa Syahin Lasyin, jilid kedua, cetakan pertama 2002 (1423), terbitan Dar al Syuruq, Mesir.

- Kamus Dewan, edisi keempat 2005, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

[1] Kamus Dewan, halaman 406, perkataan: fanatik.

[2] Ayat yang dimaksudkan ialah ayat 21 daripada surah al Kahfi yang menyebut mafhumnya:

Berkata pula golongan yang menguasai mereka, "Kami akan membina masjid di sisi gua mereka (tempat mereka disemadikan)."

[3] Al Ifham wal Iqham, halaman 71 pada nota kaki.

[4] Khawatir Diniyyah, halaman 18, bahagian kedua.

[5] Fiqhus Sunnah, halaman 15, jilid pertama.

[6] Fathul Mun'im Syarh Sohih Muslim, halaman 148, jilid kedua.

[7] Khawatir Diniyyah, halaman 123, bahagian pertama.

[8] Khawatir Diniyyah, halaman 22, bahagian kedua.

Oleh: Humair

TUNAS BANGSA BERAKHLAK AL QURAN


Ucapan YB Timbalan Menteri

Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunai Darussalam

Teks Ucaptama Seminar Kefahaman Islam, Tunas Bangsa Berakhlak Al Quran, Pada hari Selasa, 19 Safar 1429H / 26 Februari 2008M

1.Pendahuluan: Tunas Bangsa

Perkataan tunas bermakna tumbuhan muda yang baru timbul (dari tunggul, ketiak daun, buku batang, batang kayu yang ditebang dan sebagainya).

Sementara bangsa memberikan pengertian tentang: (a) kesatuan orang atau kumpulan manusia yang bersamaan asal keturunan, adat, bahasa dan sejarahnya; (b) kumpulan manusia yang menjadi rakyat sesebuah negara dalam satu ikatan ketatanegaraan dan berpemerintahan sendiri; dan (c) pengertian yang kedua itu menepati istilah antropologi yang mendefinisikan bangsa itu suatu kumpulan manusia yang biasanya terikat kerana kesatuan bahasa dan kebudayaan dalam erti umum dan yang biasanya menempati wilayah tertentu di muka bumi.

Dalam konteks tema Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini Tunas Bangsa itu dikatakan bukan menurut takrif harfiah (literal) tetapi merujuk kepada dua perlambangan (simbolisme) berikut:

Pertama: Mana-mana upaya manusia dalam lingkungan masyarakatnya, melalui keringat, tenaga dan pemikirannya, bermula dari yang sekecil-kecilnya (bertumbuh) sehinggalah upaya itu berkembang tegak membesar (batang, akar, dahan, ranting dan sebagainya) yang dapat menyumbang kepada kemajuan bangsa.

Kedua: Tunas juga ditakrifkan sebagai singkatan dua perkataan iaitu tunak dan nasional yang secara perlambangan bermaksud taat setia kepada bangsa.

Oleh kerana itu kita berkesimpulan bahawa Tunas Bangsa adalah sekaligus bermakna anak-anak bangsa yang merupakan zuriat atau keturunan dan generasi penerus. Mereka dengan segala potensinya adalah harapan masa depan bangsa.

Perkataan tunas yang bermakna tumbuhan muda yang baru timbul itu mengingatkan kita tentang lafaz firman Allah dalam Surah Aali Imran ayat 37:

Terjemahannya: “Lalu Tuhannya menerima Maryam itu dengan penerimaan yang baik serta menumbuhkannya dengan pertumbuhan yang baik.”

Firman Allah berkenaan itu adalah dalam konteks seorang anak perempuan yang baru sahaja dilahirkan oleh isteri Nabi Imran (Hannah). Semasa mengandungnya dia bernazar jika anaknya itu anak lelaki untuk sepenuhnya menjadi khadam Baitul Maqdis. Apabila ternyata ianya anak perempuan dia seperti terkilan tidak dapat memenuhi nazarnya itu lalu dia mengadu kepada Allah yang dia hanya melahirkan seorang anak perempuan, bukan lelaki sedang Allah mengetahui anak yang dilahirkannya itu bukanlah lelaki seperti perempuan, dan dinamakannya anak itu dengan nama Maryam serta dipohonkannya kepada Allah supaya melindunginya dan anak-anaknya dari syaitan yang direjam. Lalu Allah menerima Maryam itu dengan penerimaan yang baik serta menumbuhkannya dengan pertumbuhan yang baik.

Oleh yang demikian lafaz نباتا حسنا (pertumbuhan yang baik) itu dalam konteks Tunas Bangsa ialah anak-anak yang menjadi harapan masa depan bangsa hendaklah menjadi zuriat, keturunan dan generasi yang baik. Makna zuriat, keturunan dan generasi yang baik di sini tentulah bermaksud Tunas Bangsa yang mempunyai watak, sikap, perangai, tingkah laku, pemikiran yang Islami.

Dengan pengertian itu maka dalam menetapkan tema Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1429H ini kita fokuskan kepada kepentingan akhlak mulia dengan mengambil kira dua keterangan daripada sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Tiada suatu yang lebih berat dalam timbangan (pada hari akhirat) selain dari akhlak yang mulia.” (Riwayat Abu Daud).

Dan Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Imam Ahmad dan Al Baihaqi)

Lalu kita menyebut Tunas Bangsa Berakhlak Al Quran sebagai tema yang memfokus kepada kepentingan akhlak mulia. Menerusinya kita berhasrat supaya zuriat, keturunan dan generasi penerus yang kita lambangkan sebagai Tunas Bangsa dalam setiap zamannya dan dengan segala potensinya sebagai harapan bangsa itu akan berakhlak mulia iaitu bebudi pekerti yang sempurna sebagai hamba Allah dan warganegara yang baik sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam.

2.Akhlak Al Quran

Ada pun yang kita maksudkan dengan Akhlaq Al Quran ialah merujuk kepada keterangan daripada Sayidatina Aisyah radhiallahu anha mengenai akhlak Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Hadith riwayat Imam Muslim menyebutkan bahawa seorang sahabat bernama Saad bin Hisyam mengatakan bahawa beliau ada menanyakan kepada Sayidatina Aisyah tentang akhlak Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:

Maksudnya: “Aku telah bertanya kepada Aisyah ummul mukminin radhiallahu anha, aku berkata kepadanya:Ya Ummul Mukminin ceritakanlah kepadaku mengenai akhlak Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Beliau berkata: Adakah kamu membaca al Quran?. Aku menjawab: Ya. Aisyah radhiallahu anha kemudian berkata: Akhlak baginda adalah al Quran.” (Riwayat Imam Muslim)

Maksud keterangan riwayat ini ialah al Quran mengandungi ajaran-ajaran di mana sekiranya ia diamalkan, manusia akan memperolehi semulia-mulia akhlak Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang telah diutuskan Allah Subhanahu Wataala dengan al Quran yang mulia bagi menyempurnakan akhlak manusia. Sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Imam Ahmad dan Al Baihaqi)

Keterangan lain ialah riwayat Yakub bin Sufyan daripada Abu Darda radhiallahu anhu katanya: Aku telah bertanya kepada Aisyah radhiallahu anha mengenai akhlak Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, di mana beliau menjawab: Akhlak Rasulullah adalah al Quran. Baginda akan gembira dengan apa yang diredhai al Quran dan marah dengan apa yang dimarahi oleh al Quran. Iaitu Rasulullah sallallahu alaihi wasallam akan redha dengan setiap perbuatan yang dilakukan bertepatan dengan ajaran al Quran. Sebaliknya murka terhadap apa jua perbuatan yang melanggari ajaran al Quran walau sekecil manapun.

Dan keterangan seterusnya tentang maksud Akhlak Al Quran itu ialah daripada seorang ulama, Ibnu Atsir dalam kitabnya An-Nihayah. Beliau menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan Akhlak al Quran ialah bahawa Rasulullah itu selalu berpegang pada adab, perintah-perintah, larangan-larangan dan ketentuan-ketentuan yang terkandung dalam al Quran. Oleh itu keperibadian Rasulullah sallallahu alaihi wasallam adalah manifestasi dan realisasi dari ajaran-ajaran al Quran.

Sementara ahli tafsir, An-Nasaie dalam kitab tafsirnya ada memetik keterangan tentang akhlak Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang ada kaitannya dengan sembilan ayat di permulaan Surah Al Mukminun, bahawa sayidatina Aisyah radhiallahu anha menjawab pertanyaan beberapa orang sahabat:

Maksudnya: “Kami telah bertanya kepada Aisyah radhiallahu anhu: Ya Ummul Mukminin, bagaimanakah akhlak Rasulullah sallallahu alaihi wasallam?. Sayidatina Aisyah berkata: Akhlak baginda sallallahu alaihi wasallam adalah al Quran.” Lalu beliau membaca awal surah al Mukminun hingga ayat ke sembilan:

Tafsirnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.” (Al Muminun: 1 - 9)

Aisyah radhiallahu anha berkata: “Maka beginilah akhlak Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.” (Riwayat An Nasaie dalam tafsirnya)

Maka kesimpulan dari semua keterangan di atas ialah maksud Akhlak Al Quran itu ialah Akhlak Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang luar biasa hebatnya. Baginda bukan manusia biasa. Kerana itu manusia biasa lainnya tidak dapat mengumpul ke dalam dirinya semua sifat-sifat Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

Dalam pada itu kita adalah dianjurkan untuk bercontoh tauladan semampu-mampu kita supaya kita menjadi orang Islam yang baik pada pandangan Allah Subhanahu Wataala dan pada pandangan RasulNya yang akan memungkinkan kita menjadi idola umat manusia sejagat.

Dalam konteks Tunas Bangsa, kita memikul tanggungjawab berat untuk mewujudkan iklim yang sesuai dan usaha serta cara yang tepat untuk memastikan bahawa setiap Tunas Bangsa akan tumbuh subur dan mekar.

3.Mencorak Tunas Bangsa

Dengan pengertian bahawa Tunas Bangsa itu ialah zuriat, keturunan dan generasi penerus yang menjadi harapan bangsa, kita dapat pula menghubungkannya dengan beberapa keterangan dari firman Allah tentang kepentingan untuk memastikan mereka itu merupakan zurriatan thaibatan, bukan zurriatan dhafaa yakni keturunan dan generasi yang baik, sihat dan kuat, bukan yang lemah, sakit dan jahat.

Firman Allah Subhanahu Wataala yang tafsirnya: “Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, dia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang dia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).” (Al-Baqarah: 266)

Firman Allah Taala yang tafsirnya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik.(Aali Imran: 38)

Firman Allah Taala yang tafsirnya: “Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).” (An-Nisa: 9)

Sedemikian itu yang diharap dan dicita-citakan oleh setiap zuriat, keturunan dan generasi yang awal terhadap zuriat, keturunan dan generasi yang penerus mereka dalam sepanjang sejarah kemanusiaan.

Dan dalam bahagian lain tentang harapan dan cita-cita yang dipertaruhkan kepada generasi penerus yang merupakan zuriat dan keturunan penjamin kesinambungan umat atau bangsa beriman kepada ugama Allah dan kerana itu mereka itu perlu ditawiz atau dilindungi dan dihindari dari syaitan. Firman Allah Taala, tafsirnya:

“Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al Baqaraah:128)

Firman Allah Taala, tafsirnya: “Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki) dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan dan bahawasanya aku telah menamakannya Mariam dan aku perlindungkan dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan).” (Aali Imran:36)

Itulah harapan yang dipertaruhkan dan dicita-citakan supaya generasi penerus, zuriat keturunan yang akan menyambung kesinambungan umat atau bangsa yang beriman. Tetapi tidaklah setakat itu tanpa usaha yang berterusan supaya Tunas Bangsa itu dapat berkembang dalam iklim yang sihat. Maka itu namanya usaha mencorakkan mereka.

Dalam hubungan ini kita mengambil ingatan dari pesanan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dengan sabdanya yang bermaksud:

“Setiap anak dilahirkan atas fitrah (suci murni), maka kedua ibu bapanyalah yang mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Imam Al-Bukhari)

4.Sasaran Pendidikan Akhlak Al Quran

Asuhan menerusi pendidikan formal dan bukan formal adalah usaha yang berkesan dalam mencorakkan generasi penerus dan zuriat keturunan yang akan menjamin kesinambungan umat atau bangsa beriman.

Dalam konteks ini kita ingin menyatakan bahawa sasaran ke arah itu mestilah jelas dan tepat. Ini mengingatkan kita kepada rangkaian Wasiat atau Pesanan Luqman iaitu seorang yang menurut jumhur ulama adalah seorang yang bijaksana bertaraf wali dan bukannya seorang nabi. Dia disebut juga dengan panggilan Luqman Al Hakim yang merujuk kepada kebijaksanaannya. Dan Allah Subhanahu Wataala menyebutkan bahawa Luqman itu dikurniakannya Al Hikmah iaitu beberapa kebijaksanaan yang diwasiatkannya kepada anaknya.

Firman Allah Taala, tafsirnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Luqman:12)

Adapun wasiat atau pesan Luqman kepada anaknya itu terkandung dalam firman Allah ayat 13, 14, 15, 16, 17, 18, dan 19 Surah Luqman dan mengandungi enam perkara iaitu: tidak menyekutukan Allah dan menjauhi perbuatan syirik; berbuat baik kepada kedua ibu bapa sebagai membalas jasa pengorbanan mereka; sedar dan percaya bahawa Allah Maha Tahu segenap perkara dan hal serta menguasainya; hendaklah mengerjakan sembahyang, melakukan perkara yang baik dan menjauhi perkara mungkar (jahat) serta tabah sabar menempuh cabaran atau cubaan; tidak bersikap sombong dan angkuh; dan yang akhir ialah hendaklah bersikap dan berpenampilan sederhana:

1. Tidak Menyekutukan Allah Dan Menjauhi Perbuatan Syirik.

Tafsirnya: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” (Luqman:13)

2. Berbuat Baik Kepada Kedua Ibu Bapa Sebagai Membalas Jasa Pengorbanan Mereka.

Tafsirnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Luqman:14)

“Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau dengan fikiran sihatmu tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.” (Luqman:15)

3. Sedar Dan Percaya Bahawa Allah Maha Tahu Segenap Perkara Dan Hal Serta Menguasainya.

Tafsirnya: “(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.” (Luqman:16)

4. Hendaklah Mengerjakan Sembahyang, Melakukan Perkara Yang Baik Dan Menjauhi Perkara Mungkar (Jahat) Serta Tabah Sabar Menempuh Cabaran Atau Cubaan.

Tafsirnya: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” (Luqman:17)

5. Tidak Bersikap Sombong Dan Angkuh.

Tafsirnya: “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.” (Luqman:18)

6. Hendaklah Bersikap Dan Berpenampilan Sederhana.

Tafsirnya: “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. (Luqman:19)

Kesemua hikmah atau kebijaksanaan yang diwasiatkan oleh Luqman itu merangkumi ajaran tentang akhlak mulia dan sempurna yang dikurniakan Allah kepadanya untuk diwasiatkan kepada anaknya. Maka ianya adalah Akhlak Al Quran. Dan kita berpendapat ianya adalah sasaran yang tepat bagi asuhan dan pendidikan formal dan non formal. Dengan itu kita dapat pula mengatakan apa jua sasaran yang terpesong daripadanya akan menjadikan asuhan dan pendidikan kepada anak-anak, zuriat keturunan dan generasi penerus tidaklah menepati harapan serta cita-cita kita untuk melahir dan mempastikan mereka itu menjadi anak-anak, generasi dan zuriat keturunan umat atau bangsa yang beriman kepada Allah.

Kita ingin pula menegaskan bahawa pendidikan dengan sasaran Akhlak Al Quran itu tidak akan menjadikan kita dan generasi penerus kita ditimpa derita sangsara, Allah Subhanahu Wataala menegaskan dan sekaligus memberi jaminan dengan firmanNya.

Tafsirnya: “Taa Haa (1) Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan (2) Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah (3).” (Thaha:1-3)

Pendidikan dan asuhan yang sasarannya Akhlak Al Quran adalah menepati pegangan teguh kepada ugama Allah. Dan Allah menjamin itulah As-siratul Mustaqim. Firman Allah ayat 101 Surah Aali Imran:

Tafsirnya: “Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad sallallahu alaihi wasallam)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya dia telah beroleh petunjuk hidayat ke jalan yang betul (lurus).”

Dan ayat 153 Surah Al Anaam yang tafsirnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.”

Kita percaya sasaran ini terkandung dalam Sistem Pendidikan Nasional (SPN) yang kita cuba perkukuhkan dengan Sistem Pelajaran Ugama. Kita bertekad akan menjayakannya.

5.Cabaran Yang Dihadapi Oleh Tunas Bangsa

Dalam konteks cabaran yang dihadapi oleh Tunas Bangsa kita rujuk kepada satu titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam acara Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara ke-4 tahun 2007:

“Kita memang menyedari bahawa belia-belia, tidak terkecuali juga belia Islam, sedang berhadapan dengan cabaran-cabaran getir. Mereka adalah sedang diasak oleh cabaran-cabaran yang boleh mencairkan iman, yang datangnya dari pelbagai penjuru. Ada yang menyusup secara senyap-senyap melalui bahan-bahan bacaan dan ada juga secara lebih terbuka melalui fesyen-fesyen pakaian, melalui seni-seni drama, nyanyian dan tarian.

Ini semua memerlukan utap keimanan, di samping kematangan cara berfikir dan cara bertindak belia-belia itu.

Beta adalah menginginkan satu masyarakat belia yang konsisten kepada amalan-amalan berugama, kepada budi pekerti yang mulia, serta sentiasa memahami akan harga diri mereka selaku aset negara.”

Para belia perlu mesra dengan ugama dan kaya dengan unsur-unsur budaya yang sihat.

Kerana itu menjadi tanggungjawab semua pihak : ibu bapa, pendidik, pekerja sosial, pendakwah, perancang program belia dan lain-lain, mereka itu mestilah berganding bahu, dengan satu tujuan, membina belia yang sihat, yang taat lagi beriman.

Inilah calak Belia Aset Negara untuk Brunei semoga Allah meluruskannya.

Kita akan sentiasa berbangga mempunyai belia-belia yang seperti itu, kerana merekalah harapan dan mereka juga merupakan bunga-bunga bangsa yang sedang kembang mekar mengharumi ibu pertiwi.

Dalam titah itu Baginda bukan sahaja mengariskan cabaran-cabaran yang Baginda sifatkan getir, tetapi juga memesankan semua pihak, ibu bapa, pendidik, pekerja sosial, pendakwah, perancang program belia dan lain-lain untuk berganding bahu, dengan satu tujuan, membina belia yang sihat, yang taat lagi beriman.

Dan Baginda menegaskan bahawa belia yang sihat, yang taat lagi beriman itu adalah Calak Belia Aset Negara Untuk Brunei.

Seterusnya generasi penerus, zuriat keturunan kita yang kita harapkan ingin pastikan sihat, taat lagi beriman itu adalah akan juga merupakan belia yang terjumlah dalam tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naunganNya pada hari akhirat, iaitu sebagaimana keterangan dari sebuah hadith Rasululllah sallallahu alaihi wassalam yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Abu Hurairah radhiallahu anhu:

Maksudnya: “Nabi sallallahu alaihi wasallam telah bersabda: Ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya. Hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan Allah. Golongan tersebut ialah pemimpin yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah semasa hidupnya, seseorang yang hatinya sentiasa berpaut pada masjid-masjid iaitu sangat mencintainya dan selalu mendirikan sembahyang berjemaah, dua orang yang saling mengasihi kerana Allah iaitu keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diundang oleh seorang perempuan yang mempunyai kedudukan dan rupa paras yang elok untuk melakukan kejahatan tetapi dia berkata: Aku takut kepada Allah!, seorang yang memberi sedekah tetapi dia merahsiakannya seolah-olah tangan kanan tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kirinya dan seseorang yang mengingati Allah di waktu sunyi sehingga mengalirkan air mata dari kedua matanya.” (Riwayat Imam Muslim)

6.Penutup

Banyak sudah disebut-sebut mengenai masalah sosial yang melibatkan belia dan remaja. Mereka adalah Tunas Bangsa.

Betapa pun muram dan suramnya pengkisahan dari angka-angka statistik berkaitan kes-kes penyalahgunaan dadah terkawal, sumbang mahram, perceraian dalam usia muda, penderaan dan sebagainya namun pada hemat saya kita tidak patut melihat ke jurusan gelap sahaja.

Banyak lagi kejayaan dan kecemerlangan belia dan remaja yang layak disebut-sebut dan diketengahkan, seperti dalam pelajaran dan penyertaan mereka dalam kegiatan-kegiatan keugamaan, kebajikan, kemasyarakatan dan sukan. Mereka sedang dalam semaian untuk menjadi anak bangsa yang kita namakan Tunas Bangsa yang akan mewarisi masa depan tanah air dengan segala potensi masing-masing. Ada yang akan layu longlai dalam semaian itu. Ada pula yang akan subur bugar. Itu sudah lumrah alam. Dan itu merupakan dinamisme masyarakat dan bangsa yang berkembang.

Dalam apa jua kemungkinannya semuanya banyak bergantung kepada iklim yang sesuai bagi pertumbuhan tunas bangsa yang sihat, yang taat lagi beriman yang setentunya kita usahakan sebagai wawasan kebangsaan dalam semua aspeknya bagi menjunjung titah Raja dan Walil Amri kita dalam bernegarakan Brunei Darussalam yang tercinta ini.

Selaras dengan itu maka saya akhiri ucaptama ini dengan memetik firman Allah yang menyebutkan sebahagian doa nabi Ibrahim alaihissalam ketika baginda dan anaknya Ismail selesai mempertinggikan asas Baitullah (Kaabah).

Tafsirnya: “Wahai Tuhan kami, Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al Baqaraah:128)

Sekian.

Rakan-rakan Pembaca Budiman