Pengertian Qiraat al-Quran
Secara etimologi, perkataan qiraat ( قراءة ) adalah dalam bentuk masdar dari perkataan ( قرأ ) yang bermaksud bacaan. Sedangkan menurut terminologi, terdapat berbagai pendapat para ulama tentang pengertian makna qiraat ini. Menurut Al-Dimyathi sebagaimana dipetik oleh Dr. Abdul Hadi al-Fadli bahawasanya qiraat adalah: “Suatu ilmu untuk mengetahui cara pengucapan lafaz-lafaz al-Quran, baik yang disepakati maupun yang diikhtilafkan oleh para ahli qiraat, seperti hazf (membuang huruf), isbat (menetapkan huruf), wasal (menyambung huruf), ibdal (menggantikan huruf atau lafaz tertentu) dan lain-lain yang didapat melalui deria pendengaran.”
Sedangkan menurut Imam Shihabuddin al-Qushthal, qiraat adalah “Suatu ilmu untuk mengetahui kesepakatan serta perbezaan para ahli qiraat, seperti yang bersangkutan dengan aspek bahasa, i’rab, isbat, fasal dan lain-lain yang diperolehi dengan cara periwayatan.” Dari definisi-definisi di atas, nampak bahawa qiraat al-Quran berasal dari Nabi Muhammad SAW, melalui al-sima’ ( السماع ) dan an-naql ( النقل ). Berdasarkan huraian di atas pula dapat disimpulkan bahawa:
· Yang dimaksudkan qiraat dalam perbahasan ini, iaitu cara pengucapan lafaz-lafaz al-Quran sebagaimana yang di ucapkan Nabi saw atau sebagaimana yang di ucapkan para sahabat di hadapan Nabi lalu beliau mentaqrirkannya.
· Qiraat al-Quran diperolehi berdasarkan periwayatan Nabi saw, baik secara fi’liyah maupun taqririyah.
· Qiraat al-Quran tersebut adakalanya memiliki satu versi qiraat dan adakalanya memiliki beberapa versi. Selain itu ada beberapa ulama yang mengaitkan definisi qiraat dengan mazhab atau imam qiraat tertentu. Muhammad Ali ash-Shobuni contohnya, mengemukakan definisi sebagai berikut: “Qiraat merupakan suatu mazhab tertentu dalam cara pengucapan al-Quran, dianuti oleh salah satu imam qiraat yang berbeza dengan mazhab yang lain, berdasarkan sanad-sanadnya yang bersambung sampai kepada Nabi saw.” Sehubungan dengan ini, terdapat beberapa istilah tertentu dalam menisbatkan suatu Qiraat al-Quran kepada salah seorang imam qiraat dan kepada orang-orang sesudahnya. Istilah tersebut antara lain adalah sebagai berikut:
1. القرأة : Apabila Qiraat al-Quran dinisbatkan kepada salah seorang imam qiraat tertentu seperti qiraat Nabi umpamanya.
2. الرواية : Apabila Qiraat al-Quran dinisbatkan kepada salah seorang perawi qiraat dari imamnya.
3. الطريق : Apabila Qiraat al-Quran dinisbatkan kepada salah seorang pembaca al quran berdasarkan pilihannya terhadap versi qiraat tertentu.
Latar Belakang Timbulnya Perbezaan Qiraat
Mengenai hal ini, terjadi perbezaan pula dari para ulama tentang apa sebenarnya yang menyebabkan perbezaan tersebut. Berikut adalah pendapat-pendapat para ulama:
1. Sebagaimana ulama berpendapat bahwa perbeaan Qiraat al-Quran disebabkan kerana perbezaan qiraat Nabi saw, ertinya dalam menyampaikan dan mengajarkan al-Quran, baginda membacakannya dalam berbagai versi qiraat. Contoh: Nabi pernah membaca ayat 76 surat ar-Rahman dengan qiraat yang berbeza. Ayat tersebut berbunyi: مُتَّكِئِيْنَ عَلَى رَفْرَفٍ خُضْرٍ وَ عَبْقَرِيٍّ حِسَاٍن .Lafaz ( رَفْرَفٍ ) juga pernah dibaca Nabi dengan lafaz ( رَفَارَفٍ ), demikian pula dengan lafaz ( عَبْقَرِيٍّ ) pernah dibaca (عَبَاقَرِيٍّ ), sehingga menjadi:مُتَّكِئِيْنَ عَلَى رَفَارَفٍ خُضْرٍ وَعَبَاقَرِيٍّ حِسَانٍ
2. Pendapat lain mengatakan: Perbezaan pendapat disebabkan adanya taqrir Nabi saw terhadap berbagai qiraat yang berlaku dikalangan kaum muslimin pada saat itu. Sebagai contoh: ( حَتَّى حِيْنَ ) dibaca ( حَتَّى عِيْنَ ), atau ( تَعْلَمْ ) dibaca ( تِعْلَمْ ).
3. Suatu pendapat mengatakan, perbezaan qiraat disebabkan kerana perbezaannya qiraat yang diturunkan oleh Allah swt kepada Nabi saw melalui perantaraan malaikat Jibril as.
4. Jumhur ulama ahli qiraat berpendapat bahawa perbezaan qiraat adalah disebabkan dengan adanya riwayat para sahabat Nabi saw berbagai versi qiraat yang ada.
5. Sebahagian ulama berpendapat, perbezaan qiraat disebabkan adanya perbezaan dialek bahasa di kalangan bangsa Arab pada masa turunnya al-Quran.
6. Perbezaan qiraat merupakan hasil ijtihad atau rekaan para imam qiraat. Baihaqi menjelaskan bahawa mengikuti orang-orang sebelum kita dalam hal-hal qiraat merupakan sunnah, tidak boleh menyalahi mushaf dan tidak pula menyalahi qiraat yang mashur meskipun tidak berlaku dalam bahasa arab.
Tingkatan Qiraat
Dari huraian di atas dapat diketahui bahwa qiraat bukanlah merupakan hasil ijtihad para ulama, karena ia bersumber dari Nabi saw. Namun untuk membezakan mana qiraat yang berasal dari Nabi saw dan mana yang bukan, maka para ulama menetapkan pedoman atau syarat-syarat tertentu. Ada 3 syarat bagi qiraat al-Quran untuk digolongkan sebagai qiraat sahih, iaitu: (1). صحة السند , harus memiliki sanad yang sahih. (2). مطابقة الرسم , harus sesuai dengan rasm mushaf salah satu mushaf Usmani. Dan (3). موافقة العربية , harus sesuai dengan kaedah Bahasa Arab. Jika salah satu dari syarat ini tidak terpenuhi, maka qiraat itu dinamakan qiraat yang lemah, syadz atau bathil. Berdasarkan kuantiti sanad dalam periwayatan qiraat tersebut dari Nabi saw, maka para ulama mengklasifikasikan qiraat al-Quran kepada beberapa tingkatan. Sebahagian ulama membahagi qiraat kepada 6 tingkatan, iaitu seperti berikut:
1. المتواتر : Qiraat yang dinukilkan oleh sejumlah besar periwayat yang tidak mungkin bersepakat untuk berdusta.
2. المشهور : Qiraat yang sahih sanadnya tetapi tidak mencapai darjat mutawatir dan sesuai dengan kaedah Bahasa Arab juga rasm Usmani.
3. الآحد : Qiraat yang sahih sanadnya tetapi menyalahi rasm Usmani ataupun kaedah Bahasa Arab (qiraat ini tidak termasuk qiraat yang diamalkan).
4. الشاذ : Qiraat yang tidak sahih sanadnya, seperti qiraat مَلَكَ يَوْمَ الدِّيْنِ , versi lain qiraat yang terdapat dalam firman Allah, berikut: مَالِكِ يَوْمِ الدِّيْنِ (الفاتحة:4)
5. الموضوع : Qiraat yang tidak ada asalnya.
6. المدرج : Qiraat yang berfungsi sebagai tafsir atau penjelas terhadap suatu ayat al-Quran.
Jenis-jenis Qiraat
Yang dimaksudkan dengan jenis-jenis qiraat disini iaitu ragam qiraat yang dapat diterima sebagai qiraat al-Quran. Dan hal ini banyak berkait dengan qiraat sab’ah dan qiraat syazzat.
a. Qiraat Sab’ah
Iaitu tujuh versi qiraat yang diisbatkan kepada para imam qiraat yang berjumlah tujuh orang, iaitu: Ibn Amir, Ibn Katsir, Ashm, Abu Amr, Hamzah, Nafi dan al-Kisai. Qiraat ini dikenali di dunia Islam pada akhir abad ke-2 hijrah, dan di bukukan pada akhir abad ke-3 hijrah di Baghdad, oleh seorang ahli qiraat bernama Ibn Mujahid Ahmad Ibn Musa Ibn Abbas. Contoh qiraat sab’ah yang tidak mempengaruhi makna, adalah: وَقُوْلُوْا لِلنَّاسِ حُسْنًا {البقرة : 83} . Ibn Katsir, Abu Amr, Nafi, Ashm dan Ibn Amir membaca حُسْبًا , sementara Hamzah dan al-Kisai membaca حَسَنًا .Contoh qiraat sab’ah yang mempengaruhi makna, adalah: وَمَا رَبُّكَ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُوْنَ {الأنعام : 132 } Ibn Amir membaca تَعْمَلُوْنَ , sementara yang lainnya membaca يَعْمَلُوْنَ .
b. Qiraat Syazzat
Iaitu qiraat yang sanadnya sahih, sesuai dengan kaedah Bahasa Arab, akan tetapi menyalahi rasm Usmani. Dengan demikian qiraat ini dapat diterima kewujudannya, akan tetapi para ulama sepakat tidak mengakui kegunaannya, dengan kata lain qiraat ini dimaksudkan sebagai penjelasan terhadap qiraat yang terkenal diakui kegunaannya. Beberapa contoh qiraat syazzat adalah:
· Qiraat Aisyah dan Hafsah
· Qiraat Ibn Mas’ud
· Qiraat Ubay Ibn Ka’ab
· Qiraat Sa’ad Ibn Abi Waqas
· Qiraat Ibn Abbas
· Qiraat Jabir
Kelebihan Mempelajari Qiraat
Dengan berbagai variasi qiraat, maka banyak sekali manfaat atau faedah mempelajari qiraat, diantaranya:
1. Menunjukkan betapa terpelihara dan terjaganya kitab Allah dari perubahan dan penyimpangan.
2. Meringankan umat Islam dan memudahkan mereka untuk membaca al-Quran
3. Bukti kemukjizatan al-Quran dari segi kepadatan makna, kerana setiap qiraat menunjukkan sesuatu hukum syara’ tertentu tanpa perlu pengulangan lafaz.
4. Penjelasan terhadap apa yang mungkin masih global dalam qiraat lain.
5. Memperbanyakkan pahala.
Pengaruh Perbezaan Qiraat Terhadap Istinbat Hukum
Sebelum masuk kepada pengaruh perbezaan qiraat terhadap istinbat hukum, perkataan istinbat ( إستنباط ) adalah dari Bahasa Arab yang akar katanya al-nabth ( النبط ) bererti air yang pertama kali keluar atau tampak pada saat seseorang menggali telaga.
Adapun istinbat menurut bahasa bererti: “Mengeluarkan air dari mata air (dalam tanah)”, kerana itu, secara umumnya kata istinbat ini dipergunakan dalam erti istikhraj ( استخراج ), mengeluarkan. Sedangkan menurut istilah, yang dimaksudkan dengan istinbat ialah: إستخراج المعانى من النصوص بفرط الذهب وقوة الفريحة “Mengeluarkan kandungan hukum dari nas-nas yang ada (al-Quran dan al-Sunnah), dengan ketajaman nalar serta kemampuan yang optimal.”
Dari definisi di atas, dapat difahami bahawa, kepentingan istinbat iaitu: Upaya melahirkan ketentuan-ketentuan hukum yang terdapat baik dalam al-Quran maupun dari al-Sunnah. Mengenai objek atau sasarannya iaitu dalil-dalil syar’i baik berupa nas maupun bukan nas, namun hal ini masih berasaskan kepada nas.
Adapun perbezaan qiraat al-Quran yang khusus menyangkut ayat-ayat hukum dan berpengaruh terhadap istinbat hukum, dapat dikemukakan dalam contoh berikut: Firman Allah SAWT:يَاأَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا اِذَا قُمْتُمْ اِلَى الصَّلاَةِ قَاغْسِلُوْا وُجُوْهَكُمْ وَاَيْدِيَكُمْ اِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوْابِرُءُ وْسِكُمْ وَاَرْجُلَكُمْ اِلَى الْكَعْبَيْنِ { المائدة : 6 } “Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai kedua mata kaki.” (QS. al-Maidah/5: 6)
Ayat ini menjelaskan, bahwa seseorang yang hendak mendirikan solat, diwajibkan berwuduk. Caranya adalah seperti yang disebutkan dalam firman Allah di atas. Sementara itu, para ulama berbeza pendapat tentang apakah dalam berwuduk, kedua kaki ( وارجلكم ) wajib dicuci atau hanya wajib disapu dengan air.
Hal ini adalah kerana adanya dua versi qiraat yang bersangkut dalam hal ini. Ibn Katsir, Hamzah dan Abu Amr membaca وَاَرْجُلِكُمْ . Nafi, Ibn Amir dan al-Kisai membaca وَاَرْجُلَكُمْ Sementara Ashm riwayat Syu’bah membaca وَاَرْجُلِكُمْ , sedangkan Ashm riwayat Hafsah membaca وَاَرْجُلَكُمْ .
Qiraat وَاَرْجُلَكُمْ menurut zahirnya menunjukkan bahawa kedua kaki wajib dicuci, yang dalam hal ini ma’thuf kepada قَاغْسِلُوْا وُجُوْهَكُمْ. Sementara qiraat وَاَرْجُلِكُمْ menurut zahirnya menunjukkan bahawa kedua kaki hanya wajib disapu dengan air, yang dalam hal ini ma’thuf kepada وَامْسَحُوْابِرُءُ وْسِكُمْ . Jumhur ulama lebih cenderung memilih qiraat وَاَرْجُلَكُم , mereka memberikan argumentasi sebagai berikut: (a). Menunjukkan betapa terpelihara dan terjaganya kitab Allah dari perubahan dan penyimpangan. (b). Dalam ayat tersebut Allah membataskan kaki sampai mata kaki, sebagaimana halnya membatasi tangan sampai dengan siku. Hal ini menunjukkan bahwa dalam berwuduk, kedua kaki wajib dicuci sebagaimana diwajibkannya mencuci kedua tangan.
Selain itu jumhur berupaya menta’wilkan qiraat وَاَرْجُلِكُمْ sebagai berikut:
a. Qiraat وَاَرْجُلِكُمْ kedudukannya ma’thuf kepada kata وَاَيْدِيَكُمْ , akan tetapi kata وَاَرْجُلِكُمْ dibaca majrur disebabkan karena berdekatan dengan رُءُوْسِكُمْ yang juga majrur.
b. Lafaz اَرْجُلِكُمْ dalam ayat tersebut dibaca majrur, semata-mata kerana ma’thuf kepada lafaz وَاَرْجُلِكُمْ yang majrur. Akan tetapi ma’thufnya hanya dari segi lafaz bukan dari segi makna.
Sementara itu, sebahagian ulama dari kalangan Syi’ah Immamiyyah lebih cenderung memilih qiraat وَاَرْجُلِكُمْ . Sedangkan ulama az-Zahir berpendapat bahawa dalam berwuduk diwajibkan menggabungkan antara mengusap dan mencuci dua kaki, dengan alasan mengamalkan ketentuan hukum yang tedapat dalam dua versi qiraat tersebut. Menurut Ibn Jabir at-Thabari berpendapat bahawa seseorang yang berwuduk, boleh memilih antara mencuci kaki dan mengusapnya (dengan air).
Dari huraian di atas nampak jelas bahawa perbezaan qiraat dapat menimbulkan perbezaan istinbat hukum. Qiraat وارجلكم dipahami oleh jumhur ulama dengan menghasilkan ketentuan hukum, bahwa dalam berwuduk diwajibkan mencuci kedua kaki, sementara qiraat وَاَرْجُلِكُمْ difahami oleh sebahagian ulama dengan menghasilkan ketentuan hukum bahwa dalam berwuduk tidak diwajibkan mencuci kedua kaki, akan tetapi diwajibkan mengusapnya. Sementara ulama lainnya membolehkan untuk memilih salah satu dari kedua ketentuan hukum tersebut. Dan ada pula yang mewajibkan untuk menggabungkan kedua ketentuan hukum tersebut.
Rujukan
ABIDIN S., Zainal, Drs., Seluk Belok al-Quran, Jakarta: Rineka Cipta, 1992
HASANUDDIN AF, Anatomi Quran; Perbezaan Qiraat dan Pengaruhnya Terhadap Istinbat Hukum dalam al-Quran, Jakarta: Raja Grafindo Persada, 1995
ISMAIL, Sya’ban Muhammad, Dr., Mengenal Qiraat al-Quran, Semarang: Bina Utama, 1993
MUDZAKKIR AS, Drs., Studi Ilmu-ilmu al-Quran, Jakarta: Lintera Antar Nusa, 1994
Diadaptasi dan diubah dari http://ridwan202.wordpress.com/2007/11/23/34/
1 comment:
salam...trima kasih atas perkongsian ilmu ini...mohon utk di ambil utk rujukan...
Post a Comment