Namun satu penemuan di Sungai Batu di Lembah Bujang, berikutan kajian yang bermula sejak 2009 di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Lencongan Merbok seluas empat kilometer persegi, akan mengubah tanggapan mengenai tamadun awal itu.
Proses eskavasi oleh USM yang masuk fasa keempat pada tahun ini berjaya membuktikan kepada dunia bahawa tapak Sungai Batu adalah tamadun tertua di Asia Tenggara.
Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) USM Prof Madya Dr Mokhtar Saidin berkata sehingga akhir tahun lepas pihaknya telah membuka 29 tapak daripada 97 buah tapak keseluruhan yang dikenalpasti mempunyai artifak sejarah yang penting bagi menjalankan eskavasi di situ.
"Kita dah dapat bukti sampai ke peringkat usia 50 tahun sebelum masihi mungkin akan ada yang lebih tua tidak tahulah bila kita buka lagi tahun ini. Jadi tapak Sungai Batu buat masa sekarang berdasarkan tarikh yang ada adalah tamadun tertua di Asia Tenggara," katanya.
Mokhtar berkata pihaknya menjumpai tapak menunjukkan kesan wujud aktiviti melebur besi dan pelabuhan yang membuktikan masyarakat ketika itu telah mengalami tranformasi ekonomi kerana sudah mula menjalankan aktiviti perdagangan.
"Apa yang kita jumpa di situ adalah tempat peleburan besi, kita ada bukti jeti tepi sungai macam ada pelabuhan, kita juga ada jumpa bangunan ritual, bangunan ibadat cuma kita tidak tahu lagi sekarang ini ia mewakili ibadat apa. Itu semua tidak tahu lagi," katanya.
Beliau berkata pelbagai persoalan masih tidak terjawab seperti tapak kubur dan perumahan masyarakat pada waktu itu belum dijumpai dan ia memerlukan proses eskavasi secara berterusan.
Mokhtar berkata Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) mempunyai perancangan untuk membangunkan kawasan Sungai Batu itu sebagai Taman Warisan Arkeologi Lembah Bujang supaya khazanah sejarah negara dapat dipelihara sebaik mungkin.
Beliau berkata bagaimanapun untuk mewujudkan taman warisan itu ia perlu mengikut kepada aktiviti penyelidikan yang berterusan kerana banyak data belum lengkap sepenuhnya yang perlu dirungkai dari masa ke masa menerusi eskavasi.
Mokhtar berkata untuk permulaan KPKK akan mewujudkan galeri terlebih dahulu yang dijangka siap pertengahan tahun depan.
"Kita dah mula perbincangan dan ada peruntukan daripada kementerian (KPKK) RM20 juta menerusi Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) iaitu separuh untuk pembelian tanah dan selebihnya akan dinaikkan galeri mungkin pertengahan atau hujung tahun depan siap.
"Sekarang sudah dalam proses buat mesyuarat, tender dan sebagainya... ini dalam untuk buat galeri dan taman warisan untuk keseluruhan ada fasa-fasa, jadi fasa satu kita akan membangunkan galeri kemudian akan lebih luaslah," katanya.
Apabila disoal berkenaan mendapatkan pengiktirafan Unesco, Mokhtar berkata pihaknya belum membuat perbincangan secara terperinci dengan KPKK kerana untuk dicalonkan menjadi tapak warisan dunia yang diiktiraf Unesco ia memerlukan kajian yang lebih mendalam.
Beliau berkata elemen penting yang diperlukan dalam pengiktirafan itu ialah bukti saintifik yang boleh mendapat pengiktirafan dunia.
"Kementerian memang ada perancangan tetapi kita belum bawa bincang dengan detail sebab untuk dicalonkan jadi warisan dunia ia perlukan data lengkap jadi kajian kena dijalankan dengan terperinci dulu tak boleh dicalon macam itu sahaja.
"Ada bukti saintifik dunia iktiraf baru boleh dicalonkan... masih banyak data belum lengkap di Lembah Bujang ini yang perlukan penyelidikan baru boleh dapat pencalonan," katanya.
Kini terdapat lebih 100 orang terlibat dalam proses eskavasi di Sungai Batu itu yang membabitkan pakar arkeologi dari USM serta pelajar siswazah dan doktor falsafah (Phd) USM selain penduduk kampung berdekatan di situ.
"Staf dari USM ada 20 pelajar siswazah dan Phd USM ada lebih kurang 20 orang juga dan kita juga gunakan khidmat penduduk kampung seramai 100 orang," kata Mokhtar.
Kesan positif daripada penemuan artifak bersejarah oleh sekumpulan pakar arkeologi USM itu secara langsung bakal menjadikan ia produk pelancongan yang bernilai kepada Merbok.
Bagaimanapun, Mokhtar berkata untuk ke arah itu, pelbagai pihak perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi membangunkan Sungai Batu itu sebagai kawasan pelancongan terkemuka.
"Semua orang kena ada penglibatan bukan USM research sahaja tetapi kerajaan negeri, persekutuan dan orang setempat juga penting," katanya.
Beliau berkata Sungai Batu mempunyai potensi untuk menjadi satu produk pelancongan yang berharga namun agensi yang terlibat perlu mengetahui cara yang betul untuk membangunkan kawasan itu mengikut peredaran zaman.
"Sudah pasti menjadi satu produk pelancongan tetapi kena tahu cara nak bangunkan sebab ia bukti penting jadi kita tidak mahu ia jadi muzium biasa. Ia kena mengikut peredaran zaman di mana sekarang ini ia kena memerlukan data yang lebih interaktif.
"Kalau kita tengok saja tak ada penjelasan yang interaktif, tak ada knowledge... kena tahu bagaimana penyampaian kita buat dari tapak yang mati kaku itu nak bawa ia life supaya orang faham jadi itu suatu cabaran kepada agensi membangunkan kawasan itu supaya ia hidup...antara penyelidikan, antara panorama, antara isi-isi yang boleh dibangunkan kena penerangan yang betul," katanya.
Tinjauan Bernama di tapak eskavasi Sungai Batu itu mendapati ada sungai berdekatan tapak penemuan jeti yang dipanggil Sungai Kuno serta terusan paya yang sedang dibuka untuk penyelidikan.
Selain itu terdapat tapak yang telah dibuka menunjukkan kesan runtuhan bangunan yang belum dikenalpasti kegunaan bangunan itu kerana masih dalam proses kajian.
Pada 10 Mei lepas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mengisytiharkan 154 butiran sebagai Warisan Kebangsaan Negara, yang termasuk Tapak Arkeologi Sungai Batu yang dikategorikan sebagai Warisan Ketara, selain Bukit Bunuh, Lenggong dan Gua Batu Tambun, kedua-duanya di Perak.
Rais dalam satu lawatannya ke Kedah tidak lama dulu berkata Sungai Batu, yang disahkan sebagai penempatan tamadun seawal abad pertama, akan dibangunkan menjadi pusat pameran tamadun manusia yang diktiraf oleh Unesco.
Beliau berkata kementerian akan membawa wakil Unesco untuk memberi penilaian baru terhadap penemuan artifak di Sungai Batu yang telah diradiokarbon dan disahkan di Amerika Syarikat, Jepun dan Korea bertarikh abad pertama atau tarikh 101.
"Ini adalah fakta sejarah arkeologi bahawa tamadun pertama wujud di Lembah Bujang, lebih tua dari Manusia Perak yang ditemui di Lenggong dan mendapat pengiktirafan Unesco sebagai warisan dunia. Saya telah dua kali bentangkan laporan tamadun Sungai Batu kepada kabinet kerana mahu penemuan bersejarah ini tidak dipandang ringan.
"Selain Unesco, kementerian juga akan meminta pakar-pakar antarabangsa membuat pembentangan dari sudut sejarah sementara USM meneruskan kajian di tapak penemuan artifaks di Sungai Batu," katanya.
Rais berharap budaya Langkasuka kurun pertama yang ditemui di Sungai Batu akan popular dan menjadi tumpuan hasil pembangunan yang bakal dilaksanakan. -- Bernama
1 comment:
Salam, apa juga bentuk kajian - telah dan sedang dibuat di seluruh Nusa Serantau - dahulunya dikenali sebagai NUSA KANCANA (kini Malaysia), NUSANTARA (kini Sumatera dan semua pulau di sekitarnya), NUSA KAMBANGAN (kini Pulau Jawa dan pulau-pulau disekitarnya), NUSA ANTARA (kini Sulawesi, Kalimantan dll), NUSA TANGGARA (kini Ambon, Meluku, Florest dll) dan NUSA RANTANG (kini Selatan Siam, Selatan Filipina, Funan, Kambodia dan Campa) rata-rata menetapkan agama awal yang dianut oleh setiap kerajaan awal dan rakyat jelata di seluruh Nusaserantau di waktu itu adalah AGAMA HINDU!!!. Sama sekali boleh disangkal sebagai SALAH! KARUT! MERAPU!. Sebenarnya agama yang dianut oleh kebanyakkan kerajaan awal Nusaserantau adalah agama AJARAN IBRAHIM, agama yang mengESA dan menTAUHIDkan Maha Pencipta, tidak menyembah patung dan berhala, malah mengamalkan upacara korban sempena gantian korban Ismail putera Ibrahim AS. Peninggalan dan penemuan candi-candi - dianggap candi hindu dan buddha itu yang pastinya adalah rumah-rumah ibadat Ajaran Ibrahim, kecuali candi-candi yang terdapat patung buddha atau berhala. Bangsa Mala yang menerima Ajaran Ibrahim di waktu itu dikenali sebagai bangsa MALAI-UR sempena nama kerajaan asal Nabi Ibrahim AS. Ajaran Ibrahim dikembangkan di Selatan India dan Campa menerusi jalan Sutera oleh 6 putera Ibrahim bersama Qethura dan Raja Agung Iskandar Zulkarnaen. Kerajaan-kerajaan Ajaran Ibrahim yang kemudiannya dikenali sebagai Barahama atau Brahma juga disebut Brahmim akhirnya menjadi Kerajaan DARATAN dan MIRIRIM teramat besar di zamannya di bawah pemerintahan generasi penerus Srivijaya, Sanjaya, Darmasaraya dll dicelah-celah kepesatan kerajaan-kerajaan hindu dan buddha yang terdapat di seluruh Nusaserantau di waktu itu.
Post a Comment