Showing posts with label Rasul. Show all posts
Showing posts with label Rasul. Show all posts

Thursday, July 2, 2009

KETINGGIAN AKHLAK ASAS KETEGUHAN IMAN


( 7 APRIL 2006M / 8 RABIULAWWAL 1427H )
http://www.islam.gov.my/khutbahjakim

اَلْحَمْدُ ِللهِ الْعَلِيِّ الْكَبِيْرِ، اَللَّطِيْفِ الْخَبِيْرِ، الْقَائِمِ عَلَى كُلِّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ وَالْمَجَازِى لَهَا بِمَا عَمِلَتْ، وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ أَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَالأَمْرُ تَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعَالَمِيْنَ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ بَعَثَهُ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيْرًا وَدَاعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيْرًا. اَللَّهُمَّصَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ، أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah s.w.t dengan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Dan ketahuilah bahawa orang-orang yang bertakwa itu, pasti mendapat kemenangan di dunia dan juga di akhirat .

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah

Islam telah mengingatkan kepada umatnya mengenai pentingnya memelihara akhlak dan mengamalkan nilai-nilai mulia dalam kehidupan seharian kita dan sebagai hamba yang taat kepada perintah Allah s.w.t., sama sekali kita tidak dibenarkan melakukan sebarang kemungkaran, kemaksiatan, kekejian dan seumpamanya kerana ia merupakan satu tegahan yang nyata. Oleh itu, membar Jumaat pada hari ini akan memperkatakan ketinggian akhlak asas keteguhan iman .

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah

Alhamdullilah, pada tanggal 11 April 2006 bersamaan dengan 12 Rabiulawwal yang akan datang, kita akan menyambut hari bersejarah memperingati lahirnya junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Semua umat Islam diseluruh dunia mengakui dan mempercayai bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah utusan Allah s.w.t. yang diutuskan untuk membawa kerahmatan kepada seluruh umat di dunia sehingga akhir zaman. Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam Al-Quran surah al-Anbiyaa’ ayat 107 iaitu :


Maksudnya : " Dan tidaklah kami mengutuskan engkau( wahai Muhammad) melainkan menjadi rahmat bagi sekalian alam " .

Bahkan keimanan kepada Baginda adalah termasuk dalam kesempurnaan rukun iman .

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah

Mengapa Rasulullah s.a.w dipilh oleh Allah s.w.t. untuk membawa misi kesejahteraan ini kepada semua umat di dunia ? dan bagaimana baginda berjaya di dalam misi ini ? .

Salah satu kunci kejayaan Rasulullah s.a.w dalam menyampaikan risalah dakwah ialah dengan memiliki ketinggian akhlak dan mengamalkan dalam kehidupan Baginda seperti hubungan dengan keluarga, jiran tetangga, sahabat handai, bahkan dengan kaum kafir juga Baginda sering menunjukkan akhlak mulia ini . Ummul Mu’minin Saidatina Aisyah r.a. pernah ditanya, mengenai akhlak Baginda s.a.w, maka Saidatina Aisyah menjawab dengan katanya : ßóÇäó ÎõáõõÞõåõ ÇáúÞõÑúÁóÇä Maksudnya : ( akhlak Baginda adalah Al-Quran ) . Gambaran ketinggian akhlak Baginda s.a.w. juga dirakamkan oleh Allah s.w.t di dalam surah Al-Qalam ayat 4 yang berbunyi :


Maksudnya : " Dan bahawa sesungguhnya engkau ( wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia ” .

Para ulama menyatakan bahawa Baginda tercipta di dalam keaslian fitrahnya melalui tarbiah Ilahaiyat. Dan ini adalah anugerah Allah s.w.t. ke atas kekasihnya Rasul utusan terakhir junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Keistimewaan yang tiada taranya menjadikan Baginda dipilh dan dilantik oleh Allah s.w.t. sebagai penghulu kepada sekalian Nabi dan Rasul . Dan kita umat Islam turut menumpang keistimewaan Baginda, kerana Allah menjadikan umat Muhammad sebagai umat terbaik diantara umat Nabi dan Rasul terdahulu .

Saudara Kaum Muslimim Yang Dirahmati Allah Sekalian

Akhlak dan sirah perjalanan yang ditunjukkan oleh Rasul s.a.w adalah sebagai contoh teladan yang dapat mendidik diri dan peribadi Muslim agar sentiasa beriman dan bertakwa, Ini kerana setiap perkataan, perbuatan, pengakuan dan tingkah laku Baginda mengandungi hikmat dan sebagai huraian kepada prinsip-prinsip yang terkandung didalam Al-Quran . maka sudah tentu, setiap perkataan dan tindakan kita yang berpandukan akhlak dan sirah perjalanan Baginda, tidak akan terpesong atau tersasar dari landasan agama dan tuntutan syariat .

Sejarah mencatatkan bahawa akhlak Rasulullah s.a.w adalah modal utama yang dapat menarik minat golongan bukan Islam kepada Islam . contohnya, Kesah tauladan seorang Badawi membuang air kecil di dalam masjid, melihat kejadian ini maka para sahabat yang berada di situ, naik berang dan hendak memukul Badawi tadi . Bagaimanapun tindakan mereka dihalang oleh Rasulullah s.a.w, sebaliknya Baginda membiarkan Badawi itu selesai membuang air kecil . kemudian Baginda meminta sebekas air lalu disiramkan ditempat kencing tersebut . Rasulullah s.a.w bertanya kepada para sahabat, apakah yang akan terjadi jika mereka mengejar dan memukul Badawi itu semasa sedang membuang air kecil . maka jawab sahabat, seluruh kawasan masjid akan terkena najis air kencingnya . kisah ini menjadikan Badawi yang menyaksikan tindakan Rasulullah itu, merasa kagum dengan ketinggian akhlak Baginda, lalu beliau pun menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam .

Saudara-Saudara Yang Dirahmati Allah Sekalian

Suasana masyarakat kita pada hari ini berhadapan krisis nilai, begitu banyak budaya luar dan fahaman atau idealogi yang tidak sehat, telah mempengaruhi cara kehidupan seperti percakapan, gaya berpakaian dan pergaulan, dan apa yang lebih membimbangkan terdapat segelintir masyarakat yang mula terpengaruh dan terjebak dengan aliran Islam liberal, dan lebih dasyat lagi pengaruh Black Metal, dan sebagainya yang mencemarkan nama baik serta identiti umat Islam, dan ini membawa gambaran negatif kepada imej Islam .

Anasir-anasir yang tidak sehat ini dengan mudah menyelinap masuk serta menjajah pemikiran, seterusnya mempengaruhi kehidupan kita, sekiranya benteng iman kita tipis, cetek pengetahuan tentang Agama, meremehkan nasihat para ulama mengabaikan suruhan agama dan tidak berpegang dengan tuntutan syariat . Mereka yang diresapi dengan fahaman atau aliran yang merbahaya ini, akan mudah meminggirkan akhlak dan nilai-nilai murni sebagaimana yang dituntut oleh Allah dan RasulNya. Ingatlah, bahawa Islam sentiasa diperhatikan, dan kelemahan-kelemahan serta kecelaruan yang sedang dialami oleh umat Islam akan dijadikan sebagai asas dan modal untuk musuh-musuh Islam membina seribu satu alasan untuk memburuk-burukkan Islam. Tidak mustahil mereka akan memperalatkan saudara-saudara kita sendiri seperti yang pernah berlaku di abad lalu, khususnya ketika negara-negara umat Islam dijajah oleh kuasa penjajah .

Sidang Jumaat Yang Berbahagia

Ini semua menandakan Islam sedang diuji . Dan ia merupakan satu peringatan kepada kita . Cara terbaik malah wajib dilakukan oleh kita ialah kembali mencontohi akhlak Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Adalah wajar bagi kita memperingati kelahiran Baginda s.a.w sebagai tanda rasa kecintaan terhadap perjuangan Baginda. Dengan sentiasa mengingati Rasulullah s.a.w khususnya sejarah kelahiran Baginda setiap tahun sekaligus akan memberikan kita kekuatan, pengajaran dan pendidikan yang tidak secara langsung kepada masyarakat kita terutama sekali generasi muda yang bakal memimpin negara yang kini sedang berhadapan dengan zaman canggih, teknologi cyber dan penuh dengan godaan dan ancaman aqidah songsang .

Bersempena dengan sambutan memperingati kelahiran junjungan besar Baginda s.a.w, eloklah kita menanam keazaman untuk mencontohi akhlak dan sirah perjalanan hidup Baginda Rasulullah s.a.w . Mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang terbaik dan terbilang. Di antara akhlak Baginda Rasulullah s.a.w yang perlu dicontohi :

  1. Baginda sentiasa memberi salam kepada sesiapa yang ditemui .

  1. Baginda sangat menghormati orang-orang tua, mengasihani orang-orang muda dan kanak-kanak .

  1. Baginda bercakap dengan lemah lembut dan sentiasa menumpukan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya .

  1. Baginda tidak pernah menghina orang miskin dan tidak merasa terhina bergaul dengan Mereka .

  1. Baginda sentiasa membantu orang lain, walaupun Baginda sendiri dalam kesusahan .

  1. Baginda sangat berlemah lembut dengan isteri, anak-anak dan ahli keluarganya .

  1. Baginda tersangat sabar dan tabah apabila mengahadapi setiap cabaran dan kesusahan .

Bersamalah kita menyambut dan meraikan tarikh bersejarah ini dengan mengadakan ceramah-ceramah agama dan majlis-majlis ilmu serta program-program kemasyarakatan samada diperingkat kampong, daerah, negeri ataupun kebangsaan. Sesungguhnya tradisi ini, telah lama kita lakukan sebagai rasa tanda kasih dan sayang kepada Baginda Rasulullah s.a.w. yang telah banyak berjasa kepada kita semua .

Sidang Jumaat Yang Berbahagia

Oleh itu, dikesempatan ini marilah sama-sama kita mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w dan mengamalkannya, kita juga dituntut melakukan muhasabah diri dan mengambil iktibar untuk dihayati . Dan dalam masa yang sama, tanya diri kita, apakah dengan setiap kali meraikan sambutan Maulidurasul, roh kehidupan, akhlak dan perjuangan Rasulullah s.a.w telah kita hayati dan perjuangkan? atau apakah sebaliknya kita telah hanyut oleh arus kehidupan duniawi sehingga mengabaikan nilai agama Amat rugi sekali sekiranya kita mengamalkan cara hidup yang bertentangan dengan amalan dan ajaran Islam yang dibawa Rasulullah s.a.w .


( surah Al-Ahzab : 21 )

Maksudnya : " Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan ( keredaan ) Allah dan ( balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak ( dalam masa susah dan senang )” .


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَات وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُوا اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

Keperibadian akhlak Rasulullah SAW Al-Amin

"DEMI sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)". (al-Ahzab: 21)

Adalah Rasulullah SAW merupakan seorang yang banyak merendahkan diri dan berdoa ke hadhrat Allah SWT agar menganugerahkan baginda dengan kebaikan adab dan kemuliaan budi pekerti/akhlak. Antara doa baginda yang bermaksud :-

‘Ya Allah Ya Tuhanku, perbaikkanlah kejadianku dan akhlakku’

Maka Allah SWT menganugerahkan baginda Al –Qur’anul Karim yang mengandungi pengajaran mengenai adab dan kesopanan. Aisyah r.a. pernah menyamakan akhlak Rasulullah SAW dengan Al-Qur’an (Riwayat Muslim – Saad Hisham)

Mafhum Firman Allah SWT:-

‘Dan Engkau (Wahai Muhammad) sesungguhnya mempunyai akhlak yang tinggi’ (Surah Al-Qalam : 4)

Rasulullah SAW adalah manusia yang :-

  • paling penyabar, paling berani, paling adil dan paling menjaga diri.
  • Tiada sekali-kali tangan baginda menyetuh tangan wanita yang tidak dimilikinya selaku sahaya atau ikatan perkahwinan atau wanita itu muhrimnya.
  • Mengasihi umat dan menyayangi ahli bait dan sahabatnya.
  • Adalah baginda manusia yang pemurah hati, suka bersedekah apa yang ada pada dirinya, makanannya hanyalah tamar dan syair. Selebihnya adalah untuk jalan fiisabilillah
  • Menampal sandalnya, kainnya dan mengurus kepentingan keluarganya.
  • Sangat pemalu – tidak tetap pandangannya pada muka seseorang
  • Suka memperkenankan undangan sahaya dan orang merdeka
  • Menerima hadiah walaupun seteguk air/sepaha arnab dan membalas hadiah berkenaan.
  • Tidak memakan harta sedekah
  • Tidak sombong
  • Memarahi dan melaksanakan kewajipannya atas dasar kebenaran
  • Tidak pernah meminta pertolongan orang musrik
  • Suka berpuasa – mengikat batu pada perutnya apabila lapar – jika makan tidak pernah kenyang
  • Paling beradab dalam makan – Antaranya - makan tanpa bersandar dan tanpa meja – saputangannya adalah kedua telapak kakinya.
  • Lebih mengutamakan orang lain daripada diri baginda sendiri.
  • Tawaddhak dan Tenang
  • Tidak terganggu dengan urusan dunia
  • Menyukai jubah bulu/syamlah
  • Bercincin perak di jari manis kanan dan kiri
  • Mengunjungi orang sakit
  • Berkenderaan kaldai dan unta
  • Menyukai bau-bauan
  • Duduk dan makan bersama orang-orang miskin
  • Berbuat baik dengan kaum bangsawan
  • Memuliakan orang-orang berakhlak
  • Bergurau/tersenyum dan tidak mengatakan kecuali yang benar.
  • Tidak takut kepada raja kerana kerajaannya
  • Ummi dan hafiz/paling fasih/merdu bacaan Al-Qur’an/Lughah Arab
  • Tidak pernah mencaci, memaki hamun, mengutuk, memfitnah, mengumpat, menganiaya, hasad dengki, tamak haloba dll.
  • Tidak memukul kecuali di atas jalan Allah SWT, Tidak berdendam, Tidak memutuskan silaturrahim
  • Paling kuat ibadatnya, paling berilmu/arif, paling banyak taubat dan syukurnya dll.
  • Memuliakan tetamu dan jiran tetangga
  • Berkinayah/berdiam diri dengan tampak tanda tidak menggemari perkara yang tidak disukainya (makruh contohnya)
  • Pembela wanita
  • Suka menasihati
  • Dan banyak lagi.

Maksud Sabda Rasulullah SAW :-

  1. ‘Demi Allah yang nyawaku dalam kekuatanNya! Tiada masuk syurga kecuali orang yang berakhlak mulia/baik"
  2. ‘Bahawa Allah mengelilingkan Agama Islam dengan akhlak/budi pekerti yang mulia dan amal perbuatan yang baik’

Mafhum Firman Allah SWT :

  1. ‘Sesungguhnya Allah memerintahkan supaya dijalankan keadilan dan berbuat kebaikan’ (Surah An-Nahl :90)
  2. ‘Maka dengan rahmat Allah, engkau (Muhammad) berlemah-lembut dengan mereka dan sekiranya engkau berkasar dan bengis/pemarah, tentulah mereka akan melarikan diri dari kelilng mu’

Maksud Sabda Rasulullah SAW:-

‘Aku mewasiatkan engkau supaya bertaqwa kepada Allah, bercakap benar, menepati janji, menunaikan amanah, meninggalkan perbuatan khianat, menjaga jiran tetangga, mengasihani anak yatim, lemah lembut perkataan, memberi salam, bagu amal perbuatan, pendek angan-angan, harus kuat keimanan, memahami Al-Qur’an, mencintai akhirat, merasa gusar mengenai hisab amalan dan merendahkan diri. Dan aku melarang engkau, memaki hakim atau mendustakan orang yang benar atau mentaati orang yang berdosa atau mendurhakai imam yang adil atau merosakkan muka bumi. Dan aku mewasiatkan engkau agar bertaqwa kepada Allah pada setiap batu, kayu dan tanah. Dan engkau datangkan taubat bagi setiap dosa. Taubat rahsia dengan rahsia dan yang terang dengan terang.’

Ali r.a. berkata :

‘Alangkah hairannya orang muslim! Datang kepadanya saudaranya muslim yang memerlukan. Lalu ia melihat dirinya tidak berhak membuat kebajikan kepada saudaranya itu. Sekiranya ia tidak mengharapkan pahala dan tidak takut kepada siksaan, sesungguhnya, sepatutlah ia bersegera kepada akhlak yang mulia kerana akhlak yang mulia itu adalah di antara penunjuk kepada jalan bebas/pelepasan (dari dosa umpamanya)

Antara doa baginda yang masyhur (mengenai peradaban/akhlak mulia) :-

‘Ya Allah Ya Tuhanku, Perlihatkanlah kepadaku kebenaran itu kebenaran, lalu aku mengikutinya. Perlihatkanlah kepadaku kemungkaran dan anugerahilah aku menjauhkan diri daripadanya. Lindungilah aku daripada apa-apa yang meragukan lalu aku mengikuti hawa nafsuku, tanpa petunjuk dari Engkau. Jadikanlah hawa nafsuku patuh mentaatiMu. Ambillah kerelaan diri Engkau dari diriku kepada keafiatan. Dan tunjukkanlah aku kebenaran yang aku perselisihkan padanya, dengan keizinan Engkau. Sesungguhnya Engkau menunjukkan (jalan) siapa yang Engkau kehendaki atas jalan yang lurus’

Adab Makan (Kembali ke atas)

  • Rasulullah SAW menyukai dlafaf – makanan yang banyak tangan memakannya
  • Membaca doa yang bermaksud :- ‘Dengan nama Allah, Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah hidangan ini nikmat yang disyukuri yang sampai nikmat syurga ke atas nya.’
  • Makan cara hamba - semasa duduk makan, baginda merapatkan antara kedua lututnya dan antara kedua tapak kakinya – tapak kaki kanan di atas tapak kaki kiri.
  • Tidak memakan makanan yang sangat panas kerana tiada barakah diumpamakan memakan api.
  • Tidak memakan dengan dua anak jari kerana demikian adalah cara makan syaitan.
  • Menyukai kueh faludzaj – ramuan – minyak samin, madu lebah, tepung gandum.
  • Menyukai roti syair, mentimun dan ruthab (kurma yang belum kering) di cecah dengan garam.
  • Menyukai anggur dan semangka dimakan bersama roti dan gula atau ruthab.
  • Memakan ruthab dengan tangan kanan dan biji di tangan kiri baginda diberi makan kepada kambing yang lalu lalang di tempat baginda makan.
  • Memakan anggur dengan memegang tangkainya sehingga air anggur kelihatang pada janggutnya seperti benang mutiara.
  • Menyukai susu dengan tamar (al-athyabin – dua yang terbaik)
  • Menggemari daging – penghulu makanan di dunia dan di akhirat – khasiat menguatkan pendengaran.
  • Menyukai roti bekuah dengan daging dan buah labu dan bersabda bahawa labu itu adalah pohon Nabi Allah Yunus a.s. Pernah menyarankan Aisyah ra memasak gulai dengan membanyakkan labu – akan menguatkan hati orang yang berduka
  • Menyukai daging burung (tetapi tidak pula ikut menangkap burung berkenaan)
  • Tidak menundukkan kepala semasa memakan daging burung tetapi mengangkatkan daging ke mulutnya dan menggigitnya.
  • Menyukai roti dengan minyak samin.
  • Menggemari daging kambing – bahagian lengan dan bahu
  • Kurma madinah (al-ajwah – berasal dari syurga) – penawar racun dan sihir - adalah antara yang paling digemari di kalangan tamar.
  • Sayur-sayuran yang digemari baginda pula ialah al-handaba, al-badzaruj dan al-hamqa’/ar-rajlah.
  • Tidak menggemari bahagian daging spt. buah pinggang, zakar dan biji zakar, ghudad, darah, hempedu dll.
  • Tidak menggemari bawang putih, bawang merah dan daun bawang prei (al-kurrats)
  • Tidak pernah mencela makanan – kalau disukai, dimakan – kalau tidak disukai, ditinggalkan.
  • Tidak menggemari dhab.
  • Suka menghabiskan sisa makanan dengan anak jarinya – makanan yang penghabisan banyak barakahnya.
  • Menjilat sisa makanan pada anak jari – yang tidak diketahui makanan mana yang paling berkat. Tidak menyapu dengan sapu tangan.
  • Selesai makan – dibaca ‘Segala puji-pujian bagi Allah. Ya Allah Ya Tuhanku, bagiMu segala pujian. Engkau anugerahkan makanan, maka Engkau anugerahkan kekenyangan. Engkau anugerahkan kepuasan (kehilangan haus). Bagi Engkau segala pujian yang tidak dimungkiri keutamaannya, yang tidak ditinggalkan dan yang diperlukan kepadanya’
  • Membasuh tangan dan menyapu lebihan air ke muka. Minum dengan tiga kali teguk dan dibaca sebelum setiap teguk : Bismillah - dan selepas setiap teguk : Alhamdulliah.
  • Minum senafas dan tidak bernafas dalam bekas minuman yang diminum melainkan semasa menghisap.
  • Memberikan lebihan air kepada orang yang lebih mulia kedudukannya samada di kiri atau di kanan baginda dan bersabda kepada orang yang tidak mendapat air bahawa sunat mengutamakan (orang yang lebih mulia kedudukannya)
  • Tidak menggemari air susu dan madu dibawa bersama kerana tidak melambangkan tawaddak.
  • Pemalu dalam perihal makan – tidak meminta kepada keluarga baginda makanan/minum – tetapi kalau diberi, baginda makan atau minum. Kadangkala bangun sendiri untuk mendapatkan makanan/minuman.

Adab Berpakaian (Kembali ke atas)

  • Kain sarung/selindang/penutup badan/ baju kemeja (qamish)/jubah.
  • Menyukai warna hijau dan putih.
  • Qaba’ (baju luar) dari kain sundusin.
  • Pakaian yang tinggi di atas kedua tapak kakinya, kadangkala setengah betis, kemeja terikat dengan kancing baju – kadangkala baginda membuka kancing itu semasa solatnya. Kadangkala mengerjakan solat dengan berselimut yang dicelup kumkuma.
  • Kadangkala memakai kain sehelai/sarung – yang tiada kain lain di atasnya – kadangkala diikatkan kedua hujungnya di antara kedua bahunya. Kadangkala mengimami solat jenazah atau mengerjakan solat di rumah (umpamanya solat malam) dengan cara yang demikian
  • Memakai kain bertampal – pakaian cara hamba.
  • Mempunyai dua helai pakaian khusus untuk solat Jumaat.
  • Mempunyai pakaian hitam tetapi disedekahkan kepada orang – maksud riwayat Ummu Salmah r.a. – terserlah ketampanan/keputihan kulit baginda apabila memakai pakaian hitam.
  • Kadangkala mengerjakan solat memakai syamlah – kain bulu hitam.
  • Memakai cincin. Kadangkala baginda keluar dan pada cincinnya terdapat benang terikat untuk mengingatkan baginda terhadap sesuatu. Baginda chapkan surat-surat yang dikirim dengan cincinnya supaya penerima surat berkenaan mengenali baginda.
  • Memakai qalansuah (kupiah); dengan atau tanpa serban
  • Mempunyai serban as-sahab – awan. Diberikan kepada Sayyidina Ali r.a.
  • Semasa memakai pakaian baginda berdoa (maksudnya) :- "Segala puji-pujian bagi Allah yang menganugerahkan kpdaku pakaian di mana dengan pakaian ini akau menutup auratku dan aku memperelokkan diriku pada manusia.
  • Memakai dengan memulakan sebelah kanan dan membuka pakaian dengan memulakan sebelah kirinya.
  • Menyedekahkan pakaian lamanya kepada orang miskin – maksud sabda Baginda - diberikan kerana Allah dan dianugerahkan kebajikan selagi pakaian berkenaan menutup aurat sipenerima samada hidup atau mati.
  • Mempunyai tikar tidur dari kulit yang sudah disamak – diisikan kulit kayu kurma yang halus. Panjang lebih kurang dua hasta. Lebar lebih kurang sehasta sejengkal.
  • Mempunyai baju ‘aba-ah (baju terbuka depannya, dipakai di atas baju lain) yang dibentangkan/dilipat dua lapis untuk baginda setiap kali berpindah tempat duduk.
  • Nama bendera : Al-‘Uqab.
  • Nama pedang perang : Zulfaqar. Lain-lain pedang : Ak-Mikhzam, Ar-Rasub, Al-Qadlib – tangkai pedang dihiasi perak. Tali pedang dari kulit yang disamak. Tiga helai tali dari perak.
  • Nama busur baginda ialah Al-Katum, tempat pananannya bernama Al-Kafur.
  • Nama untanya : Al-‘Udl-ba, Nama kudanya : Al-Duldul, Nama kaldainya : Ya’fur. Nama kambingnya: ‘Ainah.
  • Mempunyai tempat bersuci/berwuduk dan minum dari tembikar. Ramai anak-anak kecil mendapat barakah dari tempat ini.

Sifat Pemaaf/Kemampuan Membalas Rasulullah SAW (Kembali ke atas)

  • Tidak lekas marah, pemaaf (walaupun dicaci, ditohmah, dimaki dll)
  • Adil dalam pembahagian harta rampasan
  • Tidak memarahi orang yang cuba membunuhnya malah menasihati pula. Cubaan pembunuhan ini berlaku dalam pelbagai cara, antaranya tikam-curi semasa perang, menghempap batu semasa baginda berjalan dan diberikan racun dalam daging kambing oleh perempuan Yahudi. (Baginda melarang sahabatnya membunuh perempuan berkenaan)

Pernah disihir oleh lelaki Yahudi dan atas bantuan Jibril a.s. , sihir berjaya dipulihkan dari ladang Zarwan. Tidak pernah baginda mengungkit kembali perkara berkenaan walaupun di hadapan Yahudi berkenaan.

Pernah baginda dihunuskan pedang dan ditanya "Siapakah yang mencegah engkau dariku?" dan baginda menjawab "Allah". Maka jatuhlah pedang tersebut dan baginda mengambilnya dan bersabda "Siapakah yang mencegah engkau dariku?" Lelaki itu menjawab "Adalah engkau hendaknya sebaik-baik orang yang mengambil kebajikan" Baginda menjawab "Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan Melainkan Allah dan aku adalah Rasulullah" Lelaki itu menjawab "Tidak, hanya aku tidak akan memerangimu. Aku tidak akan bersamamu dan aku tidak akan bersama kaum yang memerangimu" Lantas Baginda melepaskan lelaki berkenaan dan mendekati sahabat-sahabatnya dan bersabda : "Aku datang kepada kamu dari orang yang terbaik antara manusia"

Perkara-Perkara yang tidak digemari Rasulullah SAW (Kembali ke atas)

  • Seorang laki-laki masuk ke tempat baginda SAW dengan memakai kain yang berwarna kuning (pekat spt. warna api). Apabila lelaki berkenaan beredar dari situ, baginda mengatakan kepada sahabatnya menyuruh lelaki berkenaan tidak lagi memakai pakaian berwarna sedemikian.
  • Seorang Arab Badwi telah membuang air kecil dalam masjid di hadapan baginda SAW. Para sahabat cuba mencegah tetapi baginda bersabda: "Jangan kamu putuskan air kecilnya dan baginda bersabda kepada sahabatnya bahawa perkara ini tidak harus berlaku di dalam masjid.
  • Dll.

Kemurahan Hati Rasulullah SAW (Kembali ke atas)

Sayyidina Ali r.a. berkata : "Adalah Nabi SAW manusia yang bermurah tangan, manusia yang berlapang dada, manusia yang sangat benar pembicaraan, manusia yang sangat menepati janji, manusia yang teramat lemah-lembut kelakuan dan manusia yang sangat memuliakan kekeluargaan. Barangsiapa melihat Nabi SAW dengan tiba-tiba, nescaya takut kepadanya. Dan barangsiapa bercampur-baur dengan Nabi SAW dengan mengenalnya, nescaya mencintainya. Orang yang menyifatkan Nabi SAW berkata : "Tidak pernah aku melihat sebelumnnya dan sesudahnya orang seperti Nabi SAW"

Seorang lelaki telah meminta sesuatu dari baginda dan diberikan seekor kambing dan lelaki itu kemudiannya mengajak semua rakan-rakan dari kaumnya memeluk Islam.

Baginda tidak pernah berkata "tidak" apabila diminta sesuatu. Baginda tidak takut kepada kemiskinan.

Baginda diberikan 90,000 dirham dan dibahagi-bahagikannya sehingga habis.

Pernah baginda diminta sesuatu dan baginda tiada apa-apa tetapi demi memenuhi kehendak si peminta, Baginda SAW menyuruhnya membeli secara berhutang atas nama baginda dan baginda berjanji untuk melunaskannya.

Keberanian Rasulullah SAW (Kembali ke atas)

Sayyidina Ali r.a. berkata "Sesungguhnya engkau melihat aku pada hari Perang Badar. Kami berlindung dengan Nabi SAW dan baginda yang paling terdekat kepada musuh dari kami. Dan baginda pada hari itu di antara manusia yang sangat perkasa"

‘Imran bin Husain berkata : "Tiada Rasulullah SAW menemui suatu kumpulan tentera, melainkan beliaulah orang yang pertama memukulnya"

Para sahabat berkata bahawa Nabi SAW sangat kuat pukulannya. Tatkala baginda dikepung oleh kamu musyrik, baginda turun dari kudanya lantas berkata "Aku ini Nabi, tidak dusta. Aku ini Putera Abdul Mutalib"

Maka tiada seorangpun yang dilihat pada hari itu yang lebih berani dari Nabi SAW.

Kerendahan diri Rasulullah SAW (Kembali ke atas)

Baginda SAW tidak pernah menghampakan jemputan sesiapa jua samada orang sakit, menghantar jenazah atau makan bersama-sama dengan hamba/sahaya. Baginda berpakaian ringkas. Baginda membenci perbuatan orang berdiri hormat apabila baginda lalu.

Baginda suka memberikan salam kepada anak-anak kecil/muda. Seorang lelaki yang gementar melihat wajah baginda terus ditenteramkan oleh baginda dengan bersabda "Permudahkan (urusan) mu, aku bukannya raja. Aku hanya putera, seorang perempuan Quraisy, yang memakan daging kering"

Baginda sentiasa duduk bersama-sama dengan sahabatnya dan tidak pernah membeza-bezakan sesiapapun di antara sahabatnya walaupun baru dikenalinya. Baginda SAW begitu gemar berbual-bual mengenai pelbagai sabjek dari perkara-perkara bersabit akhirat hinggalah dunia. Kadangkala baginda hanya tersenyum apabila para sahabatnya membaca syair atau bergurau tetapi segera melarang jika berlaku perkara-perkara haram.

Adab makan baginda juga jelas menunjukkan rasa kerendahan dirinya. Tidak suka bersandar walaupun pernah disuruh Sayyidina Ali r.a. dan tidak pernah bermeja ketika makan – makan cara hamba/sahaya.

Rupa Paras/Sifat Tubuh Rasulullah SAW (Kembali ke atas)

  • Baginda SAW tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah, namun apabila berjalan bersama para sahabat, baginda SAW kelihatan lebih tinggi dari mereka. Tetapi apabila baginda berjalan sendirian, baginda nampak sederhana ketinggiannya. Baginda SAW pernah bersabda bahawa orang yang bertubuh sedang dikurniakan banyak kebajikan.
  • Warna kulit baginda adalah azharul-laun – putih gemilang bercahaya - tidak bercampur dengan kuning, merah dan lain-lain.
  • Keringat baginda seperti mutiara dan berbau lebih harum dari kasturi.
  • Berambut ikal yang tidak terlalu lurus dan tidak terlalu keriting. Apabila baginda menyikat rambut, jadilan seakan-akan jalinan pasir. Rambutnya mencecah bahu.
  • Uban pada kepala dan janggutnya masing-masing berjumlah 17 helai.
  • Wajah baginda adalah wajah yang tercantik malah lebih cantik dan kacak daripada Nabi Allah Yusof a.s. dan disamakan dengan bulan purnama.
  • Dahi baginda SAW luas, dan kedua bulu keningnya melengkung (ada yang menyatakan kedua-dua keningnya bersambung) Ruang putih (ablaj) yang kecil di tengah-tengah keningnya seolah-olah perak yang putih bersih.
  • Kedua matanya adalah lapang, sangat hitam mata hitamnya. Bulu matanya tebal.
  • Berhidung mancung.
  • Giginya jarang tersusun dengan baik. Baginda tenang dan bercahaya di wajahnya apabila ketawa atau tersenyum.
  • Kedua pipinya adalah menurun, tidak meninggi, tidak bermuka panjang, tidak bermuka bulat. Dipenuhi dengan janggut dan tidak bermisai.
  • Lehernya adalah yang terbaik dari semua hamba Allah SWT. Tidak dapat dikatakan panjang atau pendek. Gambarannya seolah-olah cerek perak yang bercampur emas yang berkilauan dalam keputihan perak dan kemerahan emas.
  • Berdada lebar/agak sasa – seperti cermin ratanya – seperti bulan putihnya. Tidak berbulu dada kecuali pada sedikit bulu lurus antara dada dan pusat baginda.
  • Kedua bahu baginda besar/agak sasa dan terdapat cap kenabian* di antaranya. (Tanda hitam bercampur kuning sedikit)
  • Tangan baginda besar/agak sasa dan anak-anak jarinya seolah-olah ranting-ranting perak. Tapak tangan baginda lebih lembut dari sutera dan berbau harum. Apabila tangannya diletakkan di atas kepada anak-anak kecil, nescaya dikenali anak-anak kecil berkenaan bahawa itu adalah baginda SAW menerusi keharuman tangannya.
  • Kakinya juga besar/agak sasa.
  • Tubuh baginda sederhana besar dan seolah-olah tidak dimamah usia dari baginda muda sehinggalah akhir hayatnya.
  • Baginda berjalan seolah-olah menuruni batu besar, melangkah condong dan al-huwaina – berdekatan langkah kaki tanpa berlenggang. Baginda bersabda bahawa rupa paras/bentuk tubuh/budi pekerti/akhlak baginda adalah menyamai Nabi Allah Adam a.s. dan Nabi Allah Ibrahim a.s.

Gelaran-gelaran Rasulullah SAW

  • Muhammad, Ahmad, Al-Mahi, Al-‘Aqib, Al-Hasyir, Rasulurrahmah, Raluluttaubah, Rasulumalahim, Al-Muqaffi, Qutsam
  • Selain itu Mustaffa dan kebanyakan nama surah-surah dalam Al-Qur’an seperti Toha, Yasin dll.

Mukjizat Rasulullah SAW (Kembali ke atas)

  • Al-Qur’an yang diturunkan kepada baginda yang ummi tanpa tandingan atau tiruan dari mana-mana pihak sekalipun dan kesempurnaan/rahmat bagi seluruh alam dan makhluk.
  • Memecahkan dan mencantumkan bulan.
  • Membahagikan makanan yang sedikit kepada jumlah manusia yang sangat ramai di mana semuanya berasa kenyang. (semasa perang dll)
  • Mengeluarkan air dari jari-jarinya untuk menghilangkan haus para tentera Islam (hissi)
  • Mengeluarkan air dari matair Tabuk dan Al-Hudaibiah – yang dapat diminum kira-kira 1500 orang tentera Islam.
  • Melemparkan tanah ke arah musuh dan buta mata musuh.
  • Meramalkan kekuatan syiar Islam selepas kewafatan baginda
  • Meramalkan pembunuhan ‘Ammar bin Yasir yang membawa perdamaian dua golongan besar kaum muslimin oleh Al-Hasan
  • Menerangkan bagaimana seorang lelaki yang berjihad akan menjadi penduduk neraka. Benarlah ramalan baginda kerana lelaki berkenaan kemudiannya telah membunuh diri.
  • Melepaskan kuda Saraqah bin Malik yang terbenam.
  • Meramalkan pembunuhan As-Aswad Al-‘Ansi yang mendakwa dirinya nabi.
  • Nabi SAW keluar di hadapan 100 orang Quraisy tanpa dilihat oleh mereka.
  • Seekor unta datang mengadu masalah dengan Nabi SAW dengan penuh merendah diri disaksikan oleh para sahabat baginda.
  • Dua pohon kayu yang bercantum dan berpisah atas perintah baginda.
  • Arbad bin Qais and ‘Amir bin Ath-Tufail bin Malik, dua orang perkasa yang ditugaskan membunuh baginda SAW sebaliknya mati rentung dipanah petir.
  • Ketinggiannya sedang apabila berjalan bersendirian tetapi lebih tinggi apabila berjalan dengan para sahabatnya.
  • Pernah cuba diracun dan disihir tetapi dapat dipatahkan.
  • Menyapu kambing sehingga banyak susu dapat dikeluarkan.
  • Memerintahkan pengisar di rumah Sayyidatina Fatimah r.a. berjalan dengan sendiri.
  • Mengubati penyakit mata dan lain-lain penyakit para sahabat dengan meludah, menggosok, mendoakan dll.
  • Makanan bertasbih di hadapan baginda SAW
  • Al-Barsya yang menolak pinangan Nabi SAW ke atas Ummu Syubaib dengan alasan anaknya berpenyakit sopak benar-benar dijangkiti sopak.
  • dll.
Sumber: http://www.geocities.com/pgssajkm/adabrasul.htm

Saturday, June 20, 2009

Kenali kekasih kita Rasulullah Al-Amin saw dan orang-orang sekeliling baginda


Sempena ketibaan bulan Rabi'ul Awwal yang mulia ini, saya ingin mengajak sidang pembaca untuk mengimbau sejenak nostalgia bersama Nabi kita, Sayyiduna Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Bulan ini adalah bulan yang dimuliakan dengan keputeraan Baginda ke dunia ini. Membawa rahmat, keberkatan, hidayah dan kebahagiaan buat kita semua. Maka sudah menjadi suatu kewajipan untuk kita mensyukuri nikmat perutusan Baginda. Tanpa Baginda, maka sudah pasti kita tidak akan dapat mengecapi nikmat Iman dan Islam pada hari ini. Oleh kerana itu, Baginda wajib dicintai. Cinta kepada Baginda adalah suatu kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah Ta'ala kerana mencintai Baginda membawa erti cintakan Allah Ta'ala. Namun kita tidak akan mencintai Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam jika kita tidak mengenali Baginda. Justeru, dalam ruangan kali ini saya ingin mengajak sidang pembaca berkenalan dengan Nabi kita. Mungkin ada yang telah mengetahui sedikit sebanyak maklumat mengenai Baginda. Itu tidak mengapa, mudah-mudahan maklumat yang saya paparkan di sini boleh menjadi tanda ingatan. Jika anda belum memiliki maklumat yang saya paparkan di sini, saya berharap ia akan menambahkan lagi maklumat anda mengenai Nabi kita, Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Sekarang mari kita berkenalan dengan Nabi kita!

Nama & Keturunan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

Muhammad bin Abdullah bin 'Abdul Muttolib bin Hasyim bin 'Abdu Manaf bin Qusoi bin Kilab bin Murroh bin Ka'ab bin Luai bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin al Nadhr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhor bin Nizar bin Ma'ad bin 'Adnan.

Berketurunan Quraisy dari suku Bani Hasyim. Susur galur keturunan Baginda sampai kepada Sayyiduna Ismail bin Sayyiduna Ibrahim al Khalil 'alaihimassalam.

Ayahanda Baginda.

Abdullah bin 'Abdul Muttolib.

Bonda Baginda.

Aminah binti Wahab bin 'Abdu Manaf bin Zuhroh bin Kilab.

Tarikh lahir Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

Hari Isnin, 9 Rabi'ul Awwal tahun Gajah (20 April 571). Baginda dilahirkan ketika terbit fajar.

Tempat lahir Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

Rumah Abu Tolib, Syi'ib Bani Hasyim, Mekah al Mukarramah.

Tarikh wafat Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

Hari Isnin, 13 Rabi'ul Awwal tahun 11 Hijrah (8 Jun 633) dalam usia 63 tahun 3 hari (menurut kalendar Qomariyyah) atau 61 tahun 80 hari (menurut kalendar Syamsiyyah).

Tempat wafat Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

Madinah al Munawwarah. Baginda disemadikan di kamar Sayyidah 'Aisyah al Humaira' radhiyyallahu 'anha.

Perwatakan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

Berkulit putih kemerah-merahan, sederhana tinggi, wajahnya bercahaya bak bulan purnama, tidak terlalu bulat dan tidak terlalu bujur, berambut ikal mayang, berdahi luas, beralis tajam dan melengkung bagaikan dua bulan sabit yang terpisah, berhidung mancung, hitam matanya, lentik bulu matanya, giginya jarang dan tersusun rapi, mulus pipinya, lebar mulutnya, lebat janggutnya, berleher jinjang dan putih mulus bagaikan adunan perak, berbahu bidang, sederhana bentuk tubuhnya dan berisi, bidang dadanya, tebal telapak tangan dan kakinya, panjang jari-jemarinya, lembut tapak tangannya bak sutera, tegap dan pantas jalannya, pandangannya penuh makna, pertuturannya jelas, merdu dan nyaring suaranya, harum bau badannya, tampan dan segak sehingga sesiapa yang melihatnya pasti berkata, "Saya belum pernah melihat orang seperti Baginda, baik sebelum mahupun sesudahnya!"

Kesimpulannya: Baginda adalah manusia yang paling sempurna perwatakannya sehingga Sayyiduna Hassan bin Thabit radhiyyallahu 'anhu yang merupakan penyair Baginda mengungkapkan kata-katanya:

“Engkau tercipta bebas dari segala kecacatan;

Seolah-olah engkau dicipta menurut apa yang engkau mahukan!”

Akhlak Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

Sangat baik, sangat sopan, pemalu, pemurah, lemah lembut namun tegas, ikhlas, tawadhu', berjiwa halus, sering tersenyum, tidak bengis, tidak kasar, penyayang, sangat sabar, menghormati semua orang, berwibawa, berhikmah, lembut pertuturannya, tersusun indah bahasanya bak untaian mutiara, tidak pernah memukul khadamnya dan kaum wanita, pemaaf, amanah, jujur, tidak pernah berdusta, prihatin, peka, teliti, sering berzikir dalam setiap keadaan, tidak menolak hadiah, sering memenuhi undangan walaupun daripada orang yang rendah martabatnya, mencuci bajunya sendiri, menjahit capalnya sendiri, memerah susu kambingnya sendiri, menguruskan diri sendiri tanpa menyusahkan orang lain, sangat takutkan Allah Ta'ala namun berani bila berhadapan dengan musuh, gagah perkasa, tangkas, sederhana hidupnya dan pelbagai lagi akhlak mulia yang ada, kesemuanya terjelma pada diri Baginda. Cukuplah pujian Allah Ta'ala menggambarkan tentang akhlak Baginda. Firman Allah Ta'ala mafhumnya: “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar memiliki akhlak yang agung.” (Surah al Qalam: 4)

Mukjizat Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

Al Quran, bulan terbelah, terpancar air dari jari jemarinya yang mulia, pohon kurma menangis teresak-esak kerana rindu padanya, unta mengadu padanya, air yang pahit menjadi tawar dan enak dengan ludahnya, mustajab doanya, sentuhannya berkat, ramalannya tepat, pandangannya tembus ke belakang, suaranya boleh didengari dari jarak yang jauh, tidak mempunyai bayang, boleh melihat di dalam gelap seperti penglihatannya ketika terang, lalat tidak hinggap di baju dan tubuhnya, Isra' dan Mi'raj, batu dan pepohonan memberi salam padanya, makanan dan batu bertasbih di tangannya dan banyak lagi. Mukjizat Baginda tidak terkira.

Bapa saudara Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam.

1) Al Harth

2) Abu Tolib (Abdu Manaf)

3) Abul Harith al Zubair

4) Abu Lahab ('Abdul 'Uzza)

5) Al Ghaidaq

6) Al Muqawwim

7) Dhirar

8) Quthum

9) 'Abdul Ka'abah

10) Al Hajal (al Mughirah)

11) Hamzah

12) Al 'Abbas

Ibu saudara Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Sofiyyah

2) Arwa

3) 'Atikah

4) Ummu Hakim

5) Barrah

6) Umaimah

Isteri-isteri Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Sayyidah Khadijah al Kubro binti Khuwailid

2) Sayyidah Saudah binti Zam'ah

3) Sayyidah 'Aisyah al Humaira' binti Sayyiduna Abu Bakar al Siddiq

4) Sayyidah Hafsah binti Sayyiduna 'Umar al Faruq

5) Sayyidah Zainab al Hilaliyyah

6) Sayyidah Ummu Salamah Hindun binti Abu Umayyah

7) Sayyidah Zainab binti Jahsyi

8) Sayyidah Juwairiyyah binti al Harth

9) Sayyidah Raihanah binti Yazid

10) Sayyidah Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufyan

11) Sayyidah Sofiyyah binti Huyai (keturunan Nabi Harun 'alaihissalam)

12) Sayyidah Maimunah binti al Harth al Hilaliyyah

Tiga daripada mereka wafat ketika Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam masih hidup iaitu Sayyidah Khadijah, Sayyidah Zainab al Hilaliyyah dan Sayyidah Raihanah.

Jariah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Mariah al Qibtiyyah (hadiah daripada Raja Mesir, al Muqauqis)

2) Raihanah (khilaf)

3) Jariah yang dihadiahkan oleh Zainab binti Jahsyi

4) Jariah dari suku al Qurozi.

Putera & puteri Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Al Qosim

2) Zainab

3) Ruqayyah

4) Fatimah

5) Ummu Kulthum

6) Abdullah al Toyyib

Mereka merupakan cahaya mata hasil perkahwinan Baginda dengan Sayyidah Khadijah al Kubro radhiyyallahu 'anha.

7) Ibrahim al Khalil

Cahaya mata daripada Mariah al Qibtiyyah.

Cucu-cucu Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) 'Ali bin Abul 'As

2) Umamah binti Abul 'As

Kedua-duanya cahaya mata Sayyidah Zainab dengan Abul 'As bin al Rabi'.

3) Abdullah bin Sayyiduna Uthman al 'Affan.

Beliau adalah cahaya mata Sayyidah Ruqoyyah dengan Sayyiduna 'Uthman.

4) Al Hasan bin Imam Ali karramallahu wajhah

5) Al Husain bin Imam Ali karramallahu wajhah

6) Muhsin bin Imam Ali karramallahu wajhah

7) Ummu Kulthum binti Imam Ali karramallahu wajhah

8) Zainab binti Imam Ali karramallahu wajhah

9) Ruqoyyah binti Imam Ali karramallahu wajhah

Mereka semua adalah cahaya mata Sayyidah Fatimah al Zahra' dengan Imam Ali bin Abi Tolib karramallahu wajhah.

Khadam Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Anas bin Malik al Ansori

2) 'Abdullah bin Mas'ud (bertugas menjaga siwak & capal Baginda)

3) Mu'aiqib al Dausi (bertugas menjaga cop rasmi Baginda)

4) 'Uqbah bin 'Amir al Juhani (penjaga baghal Baginda)

5) Asla' bin Syariik (menguruskan kenderaan Baginda)

6) Bilal bin Rabah (bertugas menjaga sedekah kaum muslimin)

Hamba-hamba yang dibebaskan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Zaid bin Harithah

2) Abu Rafi'

3) Syuqran (Soleh)

4) Thauban

5) Rabah

6) Yasar

7) Safinah

8) Salman al Farisi

9) Ma'bur (beragama Kristian dan tidak memeluk Islam)

10) Sindar

11) Ummu Aiman

12) Umaimah

13) Sirin

14) Qoisar

Nuqoba' Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Amirul Mukminin Sayyiduna Abu Bakar al Siddiq

2) Amirul Mukminin Sayyiduna Umar al Faruq

3) Amirul Mukminin Sayyiduna Uthman Zunnurain (pemilik dua cahaya)

4) Amirul Mukminin Sayyiduna Imam Ali bin Abi Tolib

5) Sayyiduna Zubair bin al 'Awwam

6) Sayyiduna Ja'afar al Toyyar bin Abi Tolib

7) Sayyiduna Mus'ab bin 'Umair

8) Sayyiduna Bilal bin Rabah

9) Sayyiduna Miqdad bin al Aswad

10) Sayyiduna Uthman bin al Maz'un

11) Sayyiduna Abdullah bin Mas'ud

12) Sayyiduna 'Ammar bin Yasir

Nujaba' Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Sayyiduna Sa'ad bin Khoithamah

2) Sayyiduna Sa'ad bin al Rabi'

3) Sayyiduna Sa'ad bin Ubadah

4) Sayyiduna Abdullah bin Rowahah

5) Sayyiduna Abul Haitham bin al Tihan

6) Sayyiduna al Barra' bin Ma'rur

7) Sayyiduna Rafi' bin Malik al Azroqi

8) Sayyiduna Abdullah bin 'Amru bin Haram

9) Sayyiduna 'Ubadah bin Somit

10) Sayyiduna al Munzir bin 'Amru

Kesemua mereka adalah daripada golongan Ansar.

Hawariy Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Khalifah al Rasyidin yang empat (Abu Bakar, Umar, Uthman & Ali)

2) Sayyiduna Tolhah

3) Sayyiduna Zubair bin al 'Awwam

4) Sayyiduna Sa'ad bin Abi Waqqos

5) Sayyiduna Abdul Rahman bin 'Auf

6) Sayyiduna Hamzah bin Abdul Muttolib, penghulu para syuhada'

7) Sayyiduna Ja'afar al Toyyar bin Abi Tolib

8) Sayyiduna Abu 'Ubaidah bin al Jarrah

9) Sayyiduna Uthman bin al Maz'un

Kesemua mereka daripada keturunan Quraisy.

Pengganti Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam urusan pentadbiran negara ketika Baginda keluar berperang.

1) Sayyiduna Abu Lubabah

2) Sayyiduna Basyir bin al Munzir

3) Sayyiduna Uthman bin 'Affan, khalifah ketiga

4) Sayyiduna Abdullah bin Ummu Maktum

5) Sayyiduna Abu Zar al Ghifari

6) Sayyiduna Abdullah bin Abdullah bin Ubai bin Salul

7) Sayyiduna Sabbagh bin 'Arfatoh

8) Sayyiduna Ghailah bin Abdullah al Laithi

9) Sayyiduna 'Auf bin Adhbat al Dailami

10) Sayyiduna Abu Rahm Kulthum

11) Sayyiduna Muhammad bin Maslamah

12) Sayyiduna Zaid bin Harithah

13) Sayyiduna Saib bin Uthman bin Maz'un

14) Sayyiduna Abu Salamah bin Abdul Asad

15) Sayyiduna Sa'ad bin 'Ubadah

16) Sayyiduna Abu Dujanah al Sa'idi

Gabenor Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Sayyiduna Bazan bin Saman, gabenor Yaman

2) Sayyiduna Khalid bin Sa'id, gabenor San'aa

3) Sayyiduna Ziyad bin Labid al Ansori al Bayadhi, gabenor Hadramaut

4) Sayyiduna Abu Musa al Asy'ari, gabenor Zabid dan 'Adn

5) Sayyiduna Mu'az bin Jabal, gabenor al Jand

6) Sayyiduna Abu Sufyan bin al Harb, gabenor Najran

7) Sayyiduna Yazid bin Abi Sufyan, gabenor Taima

8) Sayyiduna 'Attab bin Asid, gabenor Mekah al Mukarramah

Panel penulis wahyu Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Sayyiduna Uthman bin 'Affan

2) Sayyiduna Ali bin Abi Tolib

3) Sayyiduna Ubai bin Ka'ab

4) Sayyiduna Zaid bin Thabit

5) Sayyiduna Mu'awiyah

6) Sayyiduna Khalid bin Sa'id bin al 'As

7) Sayyiduna Abban bin Sa'id

8) Sayyiduna al 'Ala' bin al Hadhromi

9) Sayyiduna Hanzalah bin al Rabi'

10) Sayyiduna Abdullah bin Sa'ad bin Abi Sarrah

Pengawal Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Sayyiduna Sa'ad bin Abi Waqqos

2) Sayyiduna Sa'ad bin Mu'az

3) Sayyiduna 'Ubbad bin Basyir

4) Sayyiduna Abu Ayyub al Ansori

5) Sayyiduna Muhammad bin Maslamah

Panel fatwa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Khalifah yang empat (Abu Bakar, Umar, Uthman & Ali)

2) Sayyiduna Abdul Rahman bin 'Auf

3) Sayyiduna Ubai bin Ka'ab

4) Sayyiduna Abdullah bin Mas'ud

5) Sayyiduna Mu'az bin Jabal

6) Sayyiduna 'Ammar bin Yasir

7) Sayyiduna Huzaifah al Yamani

8) Sayyiduna Zaid bin Thabit

9) Sayyiduna Salman al Farisi

10) Sayyiduna Abu Darda'

11) Sayyiduna Abu Musa al Asy'ari

Mereka semua telah mengeluarkan fatwa ketika Baginda masih hidup lagi dan fatwa-fatwa mereka diakui oleh Baginda yang menunjukkan ketinggian ilmu mereka.

Juru azan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Sayyiduna Bilal bin Rabah

2) Sayyiduna Abdullah bin Ummu Maktum

3) Sayyiduna Sa'ad bin 'Aiz al Qurozi, juru azan Masjid Quba'

4) Sayyiduna Abu Mahzurah al Jumahi al Makki, juru azan di Mekah al Mukarramah

Qadhi Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Amirul Mukminin Imam Ali bin Abi Tolib

2) Sayyiduna Mu'az bin Jabal

3) Sayyiduna Abu Musa al Asy'ari

Kesemua mereka menjadi qadhi di Yaman.

Utusan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Sayyiduna 'Amru bin Umayyah al Dhomari

2) Sayyiduna Dihyah bin Khalifah al Kalbi

3) Sayyiduna Abdullah bin Huzafah al Suhami

4) Sayyiduna Hatib bin Abi Balta'ah al Lukhomi

5) Sayyiduna Syuja' bin Wahab al Asadi

6) Sayyiduna Salit bin 'Amru al 'Amiri

7) Sayyiduna 'Amru bin al 'As

8) Sayyiduna al 'Ala' bin al Hadhrami

Penyair Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Sayyiduna Ka'ab bin Malik

2) Sayyiduna Abdullah bin Rowahah al Khazraji al Ansori

3) Sayyiduna Hassan bin Thabit

Ibu susuan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Bonda Baginda, Sayyidah Aminah

2) Thuwaibah al Aslamiyyah, jariah Abu Lahab

3) Khaulah binti al Munzir

4) Ummu Aiman

5) Halimah al Sa'diyyah

6) Seorang wanita suku al Sa'di selain Halimah

Saudara susuan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Sayyiduna Hamzah.

2) Masruh

3) Abdullah

4) Anisah

5) Al Syaima'

Binatang tunggangan & peliharaan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) 7 ekor kuda. Salah seekornya bernama al Sukab

2) 6 ekor baghal. Salah seekornya bernama al Syahba'

3) 2 ekor keldai yang bernama Ya'fur dan 'Ufair

4) 3 ekor unta yang bernama al Quswa, al Jad'a' dan al 'Adhba'

5) 107 ekor unta kambing yang dijaga oleh Ummu Aiman

6) Seekor ayam jantan putih

Pedang Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Al Ghosob

2) Al Rusub

3) Al Battar

4) Al Hatf

5) Zul Fiqar

Dikatakan pada salah satu pedang Baginda terukir bait syair ini:

“Pengecut itu memalukan dan berani itu suatu kemuliaan;

Orang yang pengecut tetap tidak terlepas dari takdir yang ditetapkan.”

Baju besi Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Al Sa'diyyah

2) Fiddhoh

3) Zatul Fudhul

4) Zatul Wisyah

5) Zatul Hawasyi

6) Al Batra'

7) Al Khornaq

Nama-nama Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

1) Muhammad

2) Ahmad

3) Al Mahi (penghapus kekufuran)

4) Al Hasyir (penghimpun manusia di atas sunnahnya)

5) Al 'Aqib (penyudah rantaian para Nabi)

6) Nabiyyur Rahmah (Nabi pembawa rahmat)

7) Nabiyyut Taubah (Nabi pengajar taubat)

8) Al Muqaffi (pengikut jejak langkah para Nabi sebelumnya)

9) Nabiyyul Malahim (Nabi yang menyertai peperangan)

Serta beberapa nama yang lain lagi. Guru kami Imam Muhammad Khalil al Khatib menyenaraikan sebanyak 202 nama Baginda menerusi qasidah beliau yang bertajuk an Nazmul Maqbul li Asmair Rasul.

Setakat ini dahulu maklumat mengenai nabi kita Sayyiduna Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Sekadar sebagai tanda ingatan buat Baginda sempena kedatangan Rabi'ul Awwal kali ini. Mari bersama-sama kita mencintai Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam.

Bibliografi:

- Nurul Absor fi Manaqib Ali Baitin Nabiyyil Mukhtar, Syeikh Mukmin bin Hasan Mukmin al Syablanji, terbitan al Maktabah al Taufiqiyyah, Mesir.

- Nurul Yaqin fi Sirah Sayyidil Mursalin, Syeikh Muhammad al Khudhori, cetakan pertama 1987 (1408), terbitan Darul Jil, Beirut dengan kerjasama Dar 'Ammar, 'Amman, Jordan.

- Mukhtasor Syamail Muhammadiyyah, Syeikh Abdul Majid al Syarnubi, diterjemahkan oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al Maliki, cetakan pertama Januari 2007 (Zulhijjah 1427), terbitan Sofa Production.

- Syarh an Nazmul Asna li Asmail Husna wan Nazmul Maqbul li Asmair Rasul, al Imam al Muhaddith Sayyid Muhammad bin Khalil bin Muhammad al Khatib al Hasani, cetakan pertama 2006, terbitan Jam'iyyah Syair ar Rasul, Tanta, Mesir.

Oleh: Humair

Rakan-rakan Pembaca Budiman