Wednesday, February 8, 2012

Perlukah Islam ditafsir semula?

Perlukah Islam ditafsir semula kerana zaman telah berubah dan metodologi kajian semakin canggih? Adakah pandangan ulamak silam tidak boleh diterima kerana mereka berfatwa untuk zamannya sahaja? Adakah kita dan ulamak dahulu sama sahaja tarafnya?
1. Ilmu-ilmu Islam ada disiplinnya yang tersendiri. Fatwa dan ijtihad dalam Islam tidak mungkin dilakukan oleh orang cerdik yang ada 10 PhD tetapi tidak tahu Bahasa Arab dan tidak kuasai ilmu Usul Fiqh. Apatah lagi kalau baca al-Quran pun merangkak-rangkak. Atau lagi teruk, Al-Quran pun tak baca setiap hari.

2. Fatwa dan ijtihad berkait juga dengan akhlak Islam. Kalau batas halal haram dalam kehidupan harian pun tak dapat dijaga, macam mana nak keluarkan hukum syarak? Fatwa dan ijtihad adalah urusan syarak. Orang yang melakukannya mesti mempunyai disiplin syarak dan hidup di bawah naungan syariah. Siapa yang nak berubat dengan doktor yang hisap rokok?

3. Kelebihan ulamak silam adalah kerana mereka ada metodologi yang betul di dalam mengeluarkan ijtihad. Imam Syafie tak terima Masolih Mursalah. Imam Malik berpegang kepada amalan ahli Madinah. Imam Hanafi tak takhsiskan Al-Quran dengan hadis aahad. Imam Ahmad mengembangkan mazhab hadis. Sebahagian fatwa mereka mungkin tak sesuai sekarang. Tapi mereka tetap hebat kerana mereka berpegang pada metodologi ijtihad yang amat mantap.

4. Ulamak kaji pandangan dalam mazhab Syafie yang mengatakan tempoh kehamilan paling lama adalah 4 tahun. Ilmu sekarang kata lepas 9 bulan beberapa hari kena bedah kalau bayi tak keluar. Mestilah kita pegang pendapat doktor perubatan sekarang. Tapi jangan kata ulamak dulu tak pandai. Metodologi mereka di dalam isu seperti ini adalah istiqra’. Jadi, hasil kajian dan fatwa ulamak dulu boleh ditolak, tapi istiqra’ adalah metodologi yang tidak boleh ditinggalkan di dalam buat fatwa untuk sesetengah isu.

5. Orang sekarang kalau nak berijtihad dan nak tafsirkan semula Islam, jawab dulu soalan; apa metodologi awak dalam ijtihad? Kalau setakat guna akal kemudian cari dalil sebagai kosmetik untuk cantikkan pandangan akal, saya cadangkan tak payahlah. Berdosa tau.

Ulamak dulu kumpul semua dalil, kosongkan fikiran, faham realiti dan orang yang terlibat dengan isu …. kemudian proses semua dalil. Kalau ada yang mutlak, ditaqyidkan. Kalau ada yang am, ditakhsiskan. Kalau ada yang mansukh, didatangkan nasikhnya. Kalau ada lafaz amar, dicari qarinah. Kalau ada alif dan lam, difikirkan maksudnya; mungkinkah ta’rif, mungkinkah istighraqiah, mungkinkah yang lain? Kalau perlu qias, dilakukan tanqih al-manat, dicari ta’lil, dicari wasf zahir mundhobit. Dilihat sudah berlakukah ijmak di dalam isu itu. Dikaji kalau ulamak dahulu hanya khilaf kepada dua pandangan; adakah pandangan ketiga dikira sudah diijmakkan ketidak harusannya. Kalau dikeluarkan fatwa, adakah membawa kepada kerosakan yang lebih besar? Perlukah sadd zara’ie atau bagaimana? Uruf kata macam mana? Macam-macam lagilah metodologi ulamak silam.

Metodologi awak macam mana?

6. Kita dan ulamak silam tak sama. Ijtihad mutlak hanya untuk orang-orang hebat seperti mereka. Kita boleh juga berfatwa, tapi jangan letak ulamak silam sama level dengan kita. Sebab itu apa yang ditinggalkan oleh ulamak silam adalah khazanah berharga buat kita. Tidak mungkin boleh ditolak mentah-mentah begitu sahaja.

Kalau nak tafsir semula Islam, mengaji dululah ilmu-ilmu Islam. Nak lontar-lontar idea tak pe, tapi jangan pertikai pandangan ulamak silam kalau tak tahu. Doktor bedah tak bagi ulamak belah perut pesakit. Pomen pun tak bagi ulamak pegang spanar. Adil je rasanya kalau ulamak tak bagi pakar bidang lain keluarkan fatwa dan ijtihad ….

وقال ابن مسعود :  من كان عنده علم فليقل به ، ومن لم يكن عنده علم فليقل : الله أعلم ، فإن الله قال لنبيه :  قُلْ مَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُتَكَلِّفِين

Wallahu a’lam.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Naib Presiden II,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Rakan-rakan Pembaca Budiman