Friday, July 3, 2009

MEKANISME PENYELARASAN DAN PENYERAGAMAN UNDANG-UNDANG ISLAM DI SELURUH MALAYSIA

Pendahuluan

Usaha-usaha untuk mengadakan undang-undang Islam yang selaras dan seragam di seluruh Malaysia telah bermula semenjak sekian lama dan beberapa usaha telah diambil bagi maksud itu. Banyak pihak telah membangkitkan persoalan mengapa di sebuah negara yang begitu giat untuk mempertingkat dan memantapkan pentadbiran undang-undang Islam seperti di Malaysia mempunyai undang-undang Islam yang berbeza dan tidak seragam.

Ketidakselarasan dan ketidakseragaman undang-undang Islam yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri sudah semestinya akan mengakibat ketidakselarasan dan ketidakseragaman dalam pentadbiran,pelaksaanaan dan penguatkuasaan undang-undang Islam antara negeri-negeri di negara ini. Di samping itu Ketidakselarasan dan ketidakseragaman ini juga akan menyebabkan perbezaan dalam penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Syariah antara satu negeri dengan negeri yang lain walaupun penghakiman tersebut berhubung dengan kes yang mempunyai fakta yang serupa dan ini boleh menimbulkan kekeliruan dan perasaan tidak puas hati di kalangann rakyat negara ini terutamanya orang Islam .

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ) telah banyak membantu menggubal undang-undang Islam, yang disediakan sebagai "model" bagi diterima pakai oleh negeri-negeri. Antara undang-undang yang telah digubal sedemikian ialah Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam dan Undang-Undang Jenayah Syariah. Walau bagaimana apabila undang-undanng model tersebut dikemukakan kepada negeri-negeri ia disemak semula oleh Jawatankuasa Penggubalan yang ditubuhkan di bawah Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri sebelum diterima pakai oleh negeri-negeri berkenaan terdapat pelbagai bentuk pindaan dibuat oleh Jawatankuasa tersebut ke atas undang-undanng model itu, yang akhirnya menyebabkan ketidakselarasan dan ketidakseragaman undang-undang tersebut.

MEKANISME PENYELARASAN DAN PENYERAGAMAN

(A) Penyelarasan dan Penyeragaman Secara Pentadbiran

Pada masa ini penyelarasan dan penyeragaman undang-undang Islam dilaksanakan secara pentadbiran sahaja. Mengikut cara ini, Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil menyediakan suatu model rang undang-undang. Model Rang Undang-Undang itu dikemaskinikan dengan mengambilkira akan pandangan negeri negeri dan kemudiannya dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan dan kelulusan. Sekiranya model rang undang-undang tersebut dipersetujui bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, rang undang-undang berkenaan akan di bentangkan di Parlimen . Bagi negeri-negeri rang undang-undang tersebut dibentangkan di Dewan Undang Negeri masing-masing.

(B) Penyelarasan Di bawah Perkara 7(1)(b) Perlembagaan Persekutuan

Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara dalam Senarai Negeri bagi maksud mengadakan persamaan undang-undang di antara dua buah Negeri atau lebih. Bagaimanapun undang-undang sedemikian tidak boleh berkuatkuasa di Negeri-negeri sehingga undang-undang itu diterima pakai dengan suatu undang-undang itu dibuat oleh Badan Perundangan Negeri. Undang-Undang itu juga hendaklah disifatkan sebagai undang-undang Negeri dan boleh dipinda atau dimansuhkan oleh Negeri-negeri berkenaan.

Mekanisme ini hanya boleh dilaksanakan dengan berkesan bagi maksud penyelarasan undang-undang Islam jika mendapat kerjasama dan persetujuan daripada negeri-negeri untuk menerima pakai undang-undang tersebut tanpa apa-apa pindaan dan ubahsuaian. Mengikut pengalaman, negeri-negeri mengambil masa yang panjang untuk memberi persetujuan. Dalam hal sedemikian pada masa ini belum ada lagi undang-undang Islam yang telah diselaras dan diseragamkan mengikut mekanisme ini.

Barangkali salah satu mekanisma yang boleh mempercepatkan persetujuan Kerajaan Negeri ialah melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja. Antara tugas MKI ialah untuk memberi nasihat kepada Majlis Raja-Raja. Kerajaan Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri-Negeri atas apa-apa perkara yang berhubungan dengan perundangan atau pentadbiran agama Islam dengan tujuan untuk memperbaiki, menyamakan atau menggalakkan persamaan undang-undang atau pentadbiran ( Peraturan 7(b) Peraturan Majlis Kebangasaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI).
Menurut Peraturan 9 Peraturan MKI pula, apabila sesuatu pengesyoran dibuat oleh MKI kepada Majlis Raja-Raja dan Majlis Raja-raja bersetuju dengan pengesyoran itu, maka pihak Berkuasa Ugama Islam Negeri hendaklah melaksanakan pengesyoran itu dan tidak boleh meminda atau mengubahnya tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Mekanisme penyelarasan dan penyeragaman tersebut di atas boleh dilaksanakan dengan berkesan sepertimana berikut iaitu dengan :-

i.Menubuhkan suatu Jawatankuasa Penggubalan Undang-Undang Islam yang dianggotai oleh wakil-wakil Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri;

ii.Draf rang undang-undang yang telah digubal oleh Jawatankuasa tersebut dan telah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara akan diangkat kepada MKI untuk kelulusan;

iii.Bagi memastikan negeri-negeri akan menerima pakai draf rang Undang-Undang berkenaan,draf yang telah diluluskan oleh MKI tersebut akan dipersembahkan ke Majlis Raja-Raja untuk persetujuan dan apabila dipersetujui akan mengikat negeri-negeri untuk menerima pakai undang-undang tersebut.

Walau bagaimana tampaknya terdapat Kerajaan Negeri-Negeri yang tidak menerima pakai undang-undang yang telah dipersetujui melalui mekanisme di atas dan telah membuat pindaan dan ubahsuian tertentu yang menyebabkan wujudnya ketidakselarasan dan ketidakseragaman undang-undang Islam antara negeri-negeri.

(C) Penyelarasan Melalui Rundingan Dengan Majlis Raja-Raja

Memandangkan tidak ada mekanisme penyelarasan dan penyeragaman yang boleh mengikat negeri-negeri di sisi undang-undang maka suatu mekanisme lain yang lebih berkesan perlu dibuat bagi mencapai maksud tersebut.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ) telah mengemukakan suatu cadangan supaya penyelarasan dan penyeragaman undang-undang Islam negeri-negeri dibuat melalui mesyuarat Majlis Raja-Raja. Apabila Majlis Raja-Raja bersetuju, negeri-negeri hendaklah menerima pakai undang-undang tersebut untuk dibentangkan di dewan undangan negeri masing-masing tanpa membuat apa-apa pindaan dan ubahsuian. Dengan demikian adalah diharapkan semua negeri akan mempunyai peruntukan undang-undang yang sama dengan seragam.

Cadangan tersebut telah dikemukakan oleh Y.A.B. Perdana Menteri kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu Kali Ke-176 pada 1Ogos 1997 yang lalu dan Majlis Raja-Raja bersetuju cadangan Kerajaan Pusat untuk menyeragam undang-undang Islam disemua negeri. D.Y.M.M. Sultan Kedah belum dapat memberi persetujuan pada masa itu kerana menunggu hasil kajian mengenai penyelarasan dan penyeragaman itu terlebih dahulu. Berikut dengan persetujuan tersebut D.Y.M.M. Raja-Raja Melayu telah melantik D.Y.M.M. Sultan Perak. Sultan Azlan Shah sebagai Penasihat Undang-Undang Majlis Raja-Raja. Sebagai susulan kepada persetujuan ini D.Y.M.M. Sultan Azlan telah mengarah Y.B.Peguam Negara membuat kajian mengenai ketidakseragaman undang-undang Islam antara negeri-negeri di Malaysia.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara telah membuat kajian terperinci ke atas enam undang-undang utama yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri iaitu:

(a)Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam;

(b)Undang-Undang Keluarga Islam;

(c)Undang-Undang Kesalahan Syariah;

(d)Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah;

(e)Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah; dan

(f)Undang-Undang Tatacara Mal Mahkmah Syariah.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah menggubal semau keenam-enam undang-undang di atas berdasarkan kepada undang-undang yang sedang berkuatkuasa pada masa ini di Wilayah-Wilayah Persekutuan kecuali undang-undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah digubalkan berdasarkan kepada undang-undang tatacara Mal yang sedang berkuasakuasa di Negeri Perak. Gubalan undang-undang tersebut juga berdasarkan kapada syor-syor yang dibuat oleh D.Y.M.M. Sultan Azlan Shah dan keputusan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Penggubalan semula dibuat untuk membolehkan rang undang-undang tersebut dipertimbangkan bagi diterimapakai di negeri-negeri.

Beberapa siri pertemuan telah diadakan antara Y.B. Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Y.B. Peguam Negara,Y.Bhg. Ketua Pengarah Bahagian Undang-Undang JAKIM dengan D.Y.M.M.Sultan Azlan Shah bagi membincangkan cadangan penyelarasan dan penyeragaman undang-undang Islam di seluruh Malaysia dan dipertemuan tersebut D.Y.M.M. Sultan Azlan Shah telah mencadangkan supaya penyelarasan dan penyeragaman Undang-Undang dibuat dengan mendapat perkenaan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan-Sultan dan Raja-Raja. Mekanisme ini adalah lebih baik diperakukan kerana ia tidak menjejaskan kedudukan D.Y.M.M. Sultan-Sultan dan Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing sepertimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pada 6 Mac 1998 suatu taklimat kepada Y.A.B. Perdana Menteri dan Y.B. Menteri-Menteri telah diberikan, untuk memperjelaskan implikasi keenam-enam rang undang-undang tersebut. Y.A.B. Perdana Menteri telah bersetuju dengan rang undang-undang tersebut dan mengarahkan supaya di bawah ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk kelulusan sebelum dikemukakan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Adalah diharapkan selepas Majlis Raja-Raja memberi perkenan ke atas undang-undang tersebut ia akan dapat diterima pakai oleh negeri-negeri tanpa apa-apa pindaan dan ubahsuaian.

PENUTUP

Penyelarasan dan penyeragaman undang-undang Islam di seluruh Malaysia wajar dilakukan dengan cara rundingan dengan mendapat perkenan daripada D.Y.M.M. Sultan-Sultan dan Raja-Raja. Cara ini adalah lebih baik kerana ianya tidak akan menjejaskan kedudukan D.Y.M.M. Sultan-Sultan dan Raja-Raja sebagai Ketua Agama lslam Negeri masing-masing. Adalah diharapkan usaha ini akan membuahkan hasil yang positif ke arah mewujudkan keselarasan dan keseragaman undang-undang Islam di seluruh Malaysia sebagaimana yang diharapkan bagi mengukuhkan Institusi Kehakiman dan Perundangan Islam di negara ini, Insya Allah.


Sumber: http://www.islam.gov.my/buu/artikelpilihan.html

No comments:

Rakan-rakan Pembaca Budiman