Saturday, June 20, 2009

TUNAS BANGSA BERAKHLAK AL QURAN


Ucapan YB Timbalan Menteri

Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunai Darussalam

Teks Ucaptama Seminar Kefahaman Islam, Tunas Bangsa Berakhlak Al Quran, Pada hari Selasa, 19 Safar 1429H / 26 Februari 2008M

1.Pendahuluan: Tunas Bangsa

Perkataan tunas bermakna tumbuhan muda yang baru timbul (dari tunggul, ketiak daun, buku batang, batang kayu yang ditebang dan sebagainya).

Sementara bangsa memberikan pengertian tentang: (a) kesatuan orang atau kumpulan manusia yang bersamaan asal keturunan, adat, bahasa dan sejarahnya; (b) kumpulan manusia yang menjadi rakyat sesebuah negara dalam satu ikatan ketatanegaraan dan berpemerintahan sendiri; dan (c) pengertian yang kedua itu menepati istilah antropologi yang mendefinisikan bangsa itu suatu kumpulan manusia yang biasanya terikat kerana kesatuan bahasa dan kebudayaan dalam erti umum dan yang biasanya menempati wilayah tertentu di muka bumi.

Dalam konteks tema Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini Tunas Bangsa itu dikatakan bukan menurut takrif harfiah (literal) tetapi merujuk kepada dua perlambangan (simbolisme) berikut:

Pertama: Mana-mana upaya manusia dalam lingkungan masyarakatnya, melalui keringat, tenaga dan pemikirannya, bermula dari yang sekecil-kecilnya (bertumbuh) sehinggalah upaya itu berkembang tegak membesar (batang, akar, dahan, ranting dan sebagainya) yang dapat menyumbang kepada kemajuan bangsa.

Kedua: Tunas juga ditakrifkan sebagai singkatan dua perkataan iaitu tunak dan nasional yang secara perlambangan bermaksud taat setia kepada bangsa.

Oleh kerana itu kita berkesimpulan bahawa Tunas Bangsa adalah sekaligus bermakna anak-anak bangsa yang merupakan zuriat atau keturunan dan generasi penerus. Mereka dengan segala potensinya adalah harapan masa depan bangsa.

Perkataan tunas yang bermakna tumbuhan muda yang baru timbul itu mengingatkan kita tentang lafaz firman Allah dalam Surah Aali Imran ayat 37:

Terjemahannya: “Lalu Tuhannya menerima Maryam itu dengan penerimaan yang baik serta menumbuhkannya dengan pertumbuhan yang baik.”

Firman Allah berkenaan itu adalah dalam konteks seorang anak perempuan yang baru sahaja dilahirkan oleh isteri Nabi Imran (Hannah). Semasa mengandungnya dia bernazar jika anaknya itu anak lelaki untuk sepenuhnya menjadi khadam Baitul Maqdis. Apabila ternyata ianya anak perempuan dia seperti terkilan tidak dapat memenuhi nazarnya itu lalu dia mengadu kepada Allah yang dia hanya melahirkan seorang anak perempuan, bukan lelaki sedang Allah mengetahui anak yang dilahirkannya itu bukanlah lelaki seperti perempuan, dan dinamakannya anak itu dengan nama Maryam serta dipohonkannya kepada Allah supaya melindunginya dan anak-anaknya dari syaitan yang direjam. Lalu Allah menerima Maryam itu dengan penerimaan yang baik serta menumbuhkannya dengan pertumbuhan yang baik.

Oleh yang demikian lafaz نباتا حسنا (pertumbuhan yang baik) itu dalam konteks Tunas Bangsa ialah anak-anak yang menjadi harapan masa depan bangsa hendaklah menjadi zuriat, keturunan dan generasi yang baik. Makna zuriat, keturunan dan generasi yang baik di sini tentulah bermaksud Tunas Bangsa yang mempunyai watak, sikap, perangai, tingkah laku, pemikiran yang Islami.

Dengan pengertian itu maka dalam menetapkan tema Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1429H ini kita fokuskan kepada kepentingan akhlak mulia dengan mengambil kira dua keterangan daripada sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Tiada suatu yang lebih berat dalam timbangan (pada hari akhirat) selain dari akhlak yang mulia.” (Riwayat Abu Daud).

Dan Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Imam Ahmad dan Al Baihaqi)

Lalu kita menyebut Tunas Bangsa Berakhlak Al Quran sebagai tema yang memfokus kepada kepentingan akhlak mulia. Menerusinya kita berhasrat supaya zuriat, keturunan dan generasi penerus yang kita lambangkan sebagai Tunas Bangsa dalam setiap zamannya dan dengan segala potensinya sebagai harapan bangsa itu akan berakhlak mulia iaitu bebudi pekerti yang sempurna sebagai hamba Allah dan warganegara yang baik sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam.

2.Akhlak Al Quran

Ada pun yang kita maksudkan dengan Akhlaq Al Quran ialah merujuk kepada keterangan daripada Sayidatina Aisyah radhiallahu anha mengenai akhlak Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Hadith riwayat Imam Muslim menyebutkan bahawa seorang sahabat bernama Saad bin Hisyam mengatakan bahawa beliau ada menanyakan kepada Sayidatina Aisyah tentang akhlak Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:

Maksudnya: “Aku telah bertanya kepada Aisyah ummul mukminin radhiallahu anha, aku berkata kepadanya:Ya Ummul Mukminin ceritakanlah kepadaku mengenai akhlak Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Beliau berkata: Adakah kamu membaca al Quran?. Aku menjawab: Ya. Aisyah radhiallahu anha kemudian berkata: Akhlak baginda adalah al Quran.” (Riwayat Imam Muslim)

Maksud keterangan riwayat ini ialah al Quran mengandungi ajaran-ajaran di mana sekiranya ia diamalkan, manusia akan memperolehi semulia-mulia akhlak Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang telah diutuskan Allah Subhanahu Wataala dengan al Quran yang mulia bagi menyempurnakan akhlak manusia. Sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Imam Ahmad dan Al Baihaqi)

Keterangan lain ialah riwayat Yakub bin Sufyan daripada Abu Darda radhiallahu anhu katanya: Aku telah bertanya kepada Aisyah radhiallahu anha mengenai akhlak Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, di mana beliau menjawab: Akhlak Rasulullah adalah al Quran. Baginda akan gembira dengan apa yang diredhai al Quran dan marah dengan apa yang dimarahi oleh al Quran. Iaitu Rasulullah sallallahu alaihi wasallam akan redha dengan setiap perbuatan yang dilakukan bertepatan dengan ajaran al Quran. Sebaliknya murka terhadap apa jua perbuatan yang melanggari ajaran al Quran walau sekecil manapun.

Dan keterangan seterusnya tentang maksud Akhlak Al Quran itu ialah daripada seorang ulama, Ibnu Atsir dalam kitabnya An-Nihayah. Beliau menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan Akhlak al Quran ialah bahawa Rasulullah itu selalu berpegang pada adab, perintah-perintah, larangan-larangan dan ketentuan-ketentuan yang terkandung dalam al Quran. Oleh itu keperibadian Rasulullah sallallahu alaihi wasallam adalah manifestasi dan realisasi dari ajaran-ajaran al Quran.

Sementara ahli tafsir, An-Nasaie dalam kitab tafsirnya ada memetik keterangan tentang akhlak Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang ada kaitannya dengan sembilan ayat di permulaan Surah Al Mukminun, bahawa sayidatina Aisyah radhiallahu anha menjawab pertanyaan beberapa orang sahabat:

Maksudnya: “Kami telah bertanya kepada Aisyah radhiallahu anhu: Ya Ummul Mukminin, bagaimanakah akhlak Rasulullah sallallahu alaihi wasallam?. Sayidatina Aisyah berkata: Akhlak baginda sallallahu alaihi wasallam adalah al Quran.” Lalu beliau membaca awal surah al Mukminun hingga ayat ke sembilan:

Tafsirnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.” (Al Muminun: 1 - 9)

Aisyah radhiallahu anha berkata: “Maka beginilah akhlak Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.” (Riwayat An Nasaie dalam tafsirnya)

Maka kesimpulan dari semua keterangan di atas ialah maksud Akhlak Al Quran itu ialah Akhlak Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang luar biasa hebatnya. Baginda bukan manusia biasa. Kerana itu manusia biasa lainnya tidak dapat mengumpul ke dalam dirinya semua sifat-sifat Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

Dalam pada itu kita adalah dianjurkan untuk bercontoh tauladan semampu-mampu kita supaya kita menjadi orang Islam yang baik pada pandangan Allah Subhanahu Wataala dan pada pandangan RasulNya yang akan memungkinkan kita menjadi idola umat manusia sejagat.

Dalam konteks Tunas Bangsa, kita memikul tanggungjawab berat untuk mewujudkan iklim yang sesuai dan usaha serta cara yang tepat untuk memastikan bahawa setiap Tunas Bangsa akan tumbuh subur dan mekar.

3.Mencorak Tunas Bangsa

Dengan pengertian bahawa Tunas Bangsa itu ialah zuriat, keturunan dan generasi penerus yang menjadi harapan bangsa, kita dapat pula menghubungkannya dengan beberapa keterangan dari firman Allah tentang kepentingan untuk memastikan mereka itu merupakan zurriatan thaibatan, bukan zurriatan dhafaa yakni keturunan dan generasi yang baik, sihat dan kuat, bukan yang lemah, sakit dan jahat.

Firman Allah Subhanahu Wataala yang tafsirnya: “Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, dia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang dia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).” (Al-Baqarah: 266)

Firman Allah Taala yang tafsirnya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik.(Aali Imran: 38)

Firman Allah Taala yang tafsirnya: “Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).” (An-Nisa: 9)

Sedemikian itu yang diharap dan dicita-citakan oleh setiap zuriat, keturunan dan generasi yang awal terhadap zuriat, keturunan dan generasi yang penerus mereka dalam sepanjang sejarah kemanusiaan.

Dan dalam bahagian lain tentang harapan dan cita-cita yang dipertaruhkan kepada generasi penerus yang merupakan zuriat dan keturunan penjamin kesinambungan umat atau bangsa beriman kepada ugama Allah dan kerana itu mereka itu perlu ditawiz atau dilindungi dan dihindari dari syaitan. Firman Allah Taala, tafsirnya:

“Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al Baqaraah:128)

Firman Allah Taala, tafsirnya: “Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki) dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan dan bahawasanya aku telah menamakannya Mariam dan aku perlindungkan dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan).” (Aali Imran:36)

Itulah harapan yang dipertaruhkan dan dicita-citakan supaya generasi penerus, zuriat keturunan yang akan menyambung kesinambungan umat atau bangsa yang beriman. Tetapi tidaklah setakat itu tanpa usaha yang berterusan supaya Tunas Bangsa itu dapat berkembang dalam iklim yang sihat. Maka itu namanya usaha mencorakkan mereka.

Dalam hubungan ini kita mengambil ingatan dari pesanan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dengan sabdanya yang bermaksud:

“Setiap anak dilahirkan atas fitrah (suci murni), maka kedua ibu bapanyalah yang mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Imam Al-Bukhari)

4.Sasaran Pendidikan Akhlak Al Quran

Asuhan menerusi pendidikan formal dan bukan formal adalah usaha yang berkesan dalam mencorakkan generasi penerus dan zuriat keturunan yang akan menjamin kesinambungan umat atau bangsa beriman.

Dalam konteks ini kita ingin menyatakan bahawa sasaran ke arah itu mestilah jelas dan tepat. Ini mengingatkan kita kepada rangkaian Wasiat atau Pesanan Luqman iaitu seorang yang menurut jumhur ulama adalah seorang yang bijaksana bertaraf wali dan bukannya seorang nabi. Dia disebut juga dengan panggilan Luqman Al Hakim yang merujuk kepada kebijaksanaannya. Dan Allah Subhanahu Wataala menyebutkan bahawa Luqman itu dikurniakannya Al Hikmah iaitu beberapa kebijaksanaan yang diwasiatkannya kepada anaknya.

Firman Allah Taala, tafsirnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Luqman:12)

Adapun wasiat atau pesan Luqman kepada anaknya itu terkandung dalam firman Allah ayat 13, 14, 15, 16, 17, 18, dan 19 Surah Luqman dan mengandungi enam perkara iaitu: tidak menyekutukan Allah dan menjauhi perbuatan syirik; berbuat baik kepada kedua ibu bapa sebagai membalas jasa pengorbanan mereka; sedar dan percaya bahawa Allah Maha Tahu segenap perkara dan hal serta menguasainya; hendaklah mengerjakan sembahyang, melakukan perkara yang baik dan menjauhi perkara mungkar (jahat) serta tabah sabar menempuh cabaran atau cubaan; tidak bersikap sombong dan angkuh; dan yang akhir ialah hendaklah bersikap dan berpenampilan sederhana:

1. Tidak Menyekutukan Allah Dan Menjauhi Perbuatan Syirik.

Tafsirnya: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” (Luqman:13)

2. Berbuat Baik Kepada Kedua Ibu Bapa Sebagai Membalas Jasa Pengorbanan Mereka.

Tafsirnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Luqman:14)

“Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau dengan fikiran sihatmu tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.” (Luqman:15)

3. Sedar Dan Percaya Bahawa Allah Maha Tahu Segenap Perkara Dan Hal Serta Menguasainya.

Tafsirnya: “(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.” (Luqman:16)

4. Hendaklah Mengerjakan Sembahyang, Melakukan Perkara Yang Baik Dan Menjauhi Perkara Mungkar (Jahat) Serta Tabah Sabar Menempuh Cabaran Atau Cubaan.

Tafsirnya: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” (Luqman:17)

5. Tidak Bersikap Sombong Dan Angkuh.

Tafsirnya: “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.” (Luqman:18)

6. Hendaklah Bersikap Dan Berpenampilan Sederhana.

Tafsirnya: “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. (Luqman:19)

Kesemua hikmah atau kebijaksanaan yang diwasiatkan oleh Luqman itu merangkumi ajaran tentang akhlak mulia dan sempurna yang dikurniakan Allah kepadanya untuk diwasiatkan kepada anaknya. Maka ianya adalah Akhlak Al Quran. Dan kita berpendapat ianya adalah sasaran yang tepat bagi asuhan dan pendidikan formal dan non formal. Dengan itu kita dapat pula mengatakan apa jua sasaran yang terpesong daripadanya akan menjadikan asuhan dan pendidikan kepada anak-anak, zuriat keturunan dan generasi penerus tidaklah menepati harapan serta cita-cita kita untuk melahir dan mempastikan mereka itu menjadi anak-anak, generasi dan zuriat keturunan umat atau bangsa yang beriman kepada Allah.

Kita ingin pula menegaskan bahawa pendidikan dengan sasaran Akhlak Al Quran itu tidak akan menjadikan kita dan generasi penerus kita ditimpa derita sangsara, Allah Subhanahu Wataala menegaskan dan sekaligus memberi jaminan dengan firmanNya.

Tafsirnya: “Taa Haa (1) Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan (2) Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah (3).” (Thaha:1-3)

Pendidikan dan asuhan yang sasarannya Akhlak Al Quran adalah menepati pegangan teguh kepada ugama Allah. Dan Allah menjamin itulah As-siratul Mustaqim. Firman Allah ayat 101 Surah Aali Imran:

Tafsirnya: “Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad sallallahu alaihi wasallam)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya dia telah beroleh petunjuk hidayat ke jalan yang betul (lurus).”

Dan ayat 153 Surah Al Anaam yang tafsirnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.”

Kita percaya sasaran ini terkandung dalam Sistem Pendidikan Nasional (SPN) yang kita cuba perkukuhkan dengan Sistem Pelajaran Ugama. Kita bertekad akan menjayakannya.

5.Cabaran Yang Dihadapi Oleh Tunas Bangsa

Dalam konteks cabaran yang dihadapi oleh Tunas Bangsa kita rujuk kepada satu titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam acara Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara ke-4 tahun 2007:

“Kita memang menyedari bahawa belia-belia, tidak terkecuali juga belia Islam, sedang berhadapan dengan cabaran-cabaran getir. Mereka adalah sedang diasak oleh cabaran-cabaran yang boleh mencairkan iman, yang datangnya dari pelbagai penjuru. Ada yang menyusup secara senyap-senyap melalui bahan-bahan bacaan dan ada juga secara lebih terbuka melalui fesyen-fesyen pakaian, melalui seni-seni drama, nyanyian dan tarian.

Ini semua memerlukan utap keimanan, di samping kematangan cara berfikir dan cara bertindak belia-belia itu.

Beta adalah menginginkan satu masyarakat belia yang konsisten kepada amalan-amalan berugama, kepada budi pekerti yang mulia, serta sentiasa memahami akan harga diri mereka selaku aset negara.”

Para belia perlu mesra dengan ugama dan kaya dengan unsur-unsur budaya yang sihat.

Kerana itu menjadi tanggungjawab semua pihak : ibu bapa, pendidik, pekerja sosial, pendakwah, perancang program belia dan lain-lain, mereka itu mestilah berganding bahu, dengan satu tujuan, membina belia yang sihat, yang taat lagi beriman.

Inilah calak Belia Aset Negara untuk Brunei semoga Allah meluruskannya.

Kita akan sentiasa berbangga mempunyai belia-belia yang seperti itu, kerana merekalah harapan dan mereka juga merupakan bunga-bunga bangsa yang sedang kembang mekar mengharumi ibu pertiwi.

Dalam titah itu Baginda bukan sahaja mengariskan cabaran-cabaran yang Baginda sifatkan getir, tetapi juga memesankan semua pihak, ibu bapa, pendidik, pekerja sosial, pendakwah, perancang program belia dan lain-lain untuk berganding bahu, dengan satu tujuan, membina belia yang sihat, yang taat lagi beriman.

Dan Baginda menegaskan bahawa belia yang sihat, yang taat lagi beriman itu adalah Calak Belia Aset Negara Untuk Brunei.

Seterusnya generasi penerus, zuriat keturunan kita yang kita harapkan ingin pastikan sihat, taat lagi beriman itu adalah akan juga merupakan belia yang terjumlah dalam tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naunganNya pada hari akhirat, iaitu sebagaimana keterangan dari sebuah hadith Rasululllah sallallahu alaihi wassalam yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Abu Hurairah radhiallahu anhu:

Maksudnya: “Nabi sallallahu alaihi wasallam telah bersabda: Ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya. Hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan Allah. Golongan tersebut ialah pemimpin yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah semasa hidupnya, seseorang yang hatinya sentiasa berpaut pada masjid-masjid iaitu sangat mencintainya dan selalu mendirikan sembahyang berjemaah, dua orang yang saling mengasihi kerana Allah iaitu keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diundang oleh seorang perempuan yang mempunyai kedudukan dan rupa paras yang elok untuk melakukan kejahatan tetapi dia berkata: Aku takut kepada Allah!, seorang yang memberi sedekah tetapi dia merahsiakannya seolah-olah tangan kanan tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kirinya dan seseorang yang mengingati Allah di waktu sunyi sehingga mengalirkan air mata dari kedua matanya.” (Riwayat Imam Muslim)

6.Penutup

Banyak sudah disebut-sebut mengenai masalah sosial yang melibatkan belia dan remaja. Mereka adalah Tunas Bangsa.

Betapa pun muram dan suramnya pengkisahan dari angka-angka statistik berkaitan kes-kes penyalahgunaan dadah terkawal, sumbang mahram, perceraian dalam usia muda, penderaan dan sebagainya namun pada hemat saya kita tidak patut melihat ke jurusan gelap sahaja.

Banyak lagi kejayaan dan kecemerlangan belia dan remaja yang layak disebut-sebut dan diketengahkan, seperti dalam pelajaran dan penyertaan mereka dalam kegiatan-kegiatan keugamaan, kebajikan, kemasyarakatan dan sukan. Mereka sedang dalam semaian untuk menjadi anak bangsa yang kita namakan Tunas Bangsa yang akan mewarisi masa depan tanah air dengan segala potensi masing-masing. Ada yang akan layu longlai dalam semaian itu. Ada pula yang akan subur bugar. Itu sudah lumrah alam. Dan itu merupakan dinamisme masyarakat dan bangsa yang berkembang.

Dalam apa jua kemungkinannya semuanya banyak bergantung kepada iklim yang sesuai bagi pertumbuhan tunas bangsa yang sihat, yang taat lagi beriman yang setentunya kita usahakan sebagai wawasan kebangsaan dalam semua aspeknya bagi menjunjung titah Raja dan Walil Amri kita dalam bernegarakan Brunei Darussalam yang tercinta ini.

Selaras dengan itu maka saya akhiri ucaptama ini dengan memetik firman Allah yang menyebutkan sebahagian doa nabi Ibrahim alaihissalam ketika baginda dan anaknya Ismail selesai mempertinggikan asas Baitullah (Kaabah).

Tafsirnya: “Wahai Tuhan kami, Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al Baqaraah:128)

Sekian.

No comments:

Rakan-rakan Pembaca Budiman