Sempena ketibaan bulan Rabi'ul Awwal yang mulia ini, saya ingin mengajak sidang pembaca untuk mengimbau sejenak nostalgia bersama Nabi kita, Sayyiduna Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Bulan ini adalah bulan yang dimuliakan dengan keputeraan Baginda ke dunia ini. Membawa rahmat, keberkatan, hidayah dan kebahagiaan buat kita semua. Maka sudah menjadi suatu kewajipan untuk kita mensyukuri nikmat perutusan Baginda. Tanpa Baginda, maka sudah pasti kita tidak akan dapat mengecapi nikmat Iman dan Islam pada hari ini. Oleh kerana itu, Baginda wajib dicintai. Cinta kepada Baginda adalah suatu kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah Ta'ala kerana mencintai Baginda membawa erti cintakan Allah Ta'ala. Namun kita tidak akan mencintai Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam jika kita tidak mengenali Baginda. Justeru, dalam ruangan kali ini saya ingin mengajak sidang pembaca berkenalan dengan Nabi kita. Mungkin ada yang telah mengetahui sedikit sebanyak maklumat mengenai Baginda. Itu tidak mengapa, mudah-mudahan maklumat yang saya paparkan di sini boleh menjadi tanda ingatan. Jika anda belum memiliki maklumat yang saya paparkan di sini, saya berharap ia akan menambahkan lagi maklumat anda mengenai Nabi kita, Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Sekarang mari kita berkenalan dengan Nabi kita!
Nama & Keturunan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
Muhammad bin Abdullah bin 'Abdul Muttolib bin Hasyim bin 'Abdu Manaf bin Qusoi bin Kilab bin Murroh bin Ka'ab bin Luai bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin al Nadhr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhor bin Nizar bin Ma'ad bin 'Adnan.
Berketurunan Quraisy dari suku Bani Hasyim. Susur galur keturunan Baginda sampai kepada Sayyiduna Ismail bin Sayyiduna Ibrahim al Khalil 'alaihimassalam.
Ayahanda Baginda.
Abdullah bin 'Abdul Muttolib.
Bonda Baginda.
Aminah binti Wahab bin 'Abdu Manaf bin Zuhroh bin Kilab.
Tarikh lahir Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
Hari Isnin, 9 Rabi'ul Awwal tahun Gajah (20 April 571). Baginda dilahirkan ketika terbit fajar.
Tempat lahir Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
Rumah Abu Tolib, Syi'ib Bani Hasyim, Mekah al Mukarramah.
Tarikh wafat Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
Hari Isnin, 13 Rabi'ul Awwal tahun 11 Hijrah (8 Jun 633) dalam usia 63 tahun 3 hari (menurut kalendar Qomariyyah) atau 61 tahun 80 hari (menurut kalendar Syamsiyyah).
Tempat wafat Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
Madinah al Munawwarah. Baginda disemadikan di kamar Sayyidah 'Aisyah al Humaira' radhiyyallahu 'anha.
Perwatakan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
Berkulit putih kemerah-merahan, sederhana tinggi, wajahnya bercahaya bak bulan purnama, tidak terlalu bulat dan tidak terlalu bujur, berambut ikal mayang, berdahi luas, beralis tajam dan melengkung bagaikan dua bulan sabit yang terpisah, berhidung mancung, hitam matanya, lentik bulu matanya, giginya jarang dan tersusun rapi, mulus pipinya, lebar mulutnya, lebat janggutnya, berleher jinjang dan putih mulus bagaikan adunan perak, berbahu bidang, sederhana bentuk tubuhnya dan berisi, bidang dadanya, tebal telapak tangan dan kakinya, panjang jari-jemarinya, lembut tapak tangannya bak sutera, tegap dan pantas jalannya, pandangannya penuh makna, pertuturannya jelas, merdu dan nyaring suaranya, harum bau badannya, tampan dan segak sehingga sesiapa yang melihatnya pasti berkata, "Saya belum pernah melihat orang seperti Baginda, baik sebelum mahupun sesudahnya!"
Kesimpulannya: Baginda adalah manusia yang paling sempurna perwatakannya sehingga Sayyiduna Hassan bin Thabit radhiyyallahu 'anhu yang merupakan penyair Baginda mengungkapkan kata-katanya:
“Engkau tercipta bebas dari segala kecacatan;
Seolah-olah engkau dicipta menurut apa yang engkau mahukan!”
Akhlak Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
Sangat baik, sangat sopan, pemalu, pemurah, lemah lembut namun tegas, ikhlas, tawadhu', berjiwa halus, sering tersenyum, tidak bengis, tidak kasar, penyayang, sangat sabar, menghormati semua orang, berwibawa, berhikmah, lembut pertuturannya, tersusun indah bahasanya bak untaian mutiara, tidak pernah memukul khadamnya dan kaum wanita, pemaaf, amanah, jujur, tidak pernah berdusta, prihatin, peka, teliti, sering berzikir dalam setiap keadaan, tidak menolak hadiah, sering memenuhi undangan walaupun daripada orang yang rendah martabatnya, mencuci bajunya sendiri, menjahit capalnya sendiri, memerah susu kambingnya sendiri, menguruskan diri sendiri tanpa menyusahkan orang lain, sangat takutkan Allah Ta'ala namun berani bila berhadapan dengan musuh, gagah perkasa, tangkas, sederhana hidupnya dan pelbagai lagi akhlak mulia yang ada, kesemuanya terjelma pada diri Baginda. Cukuplah pujian Allah Ta'ala menggambarkan tentang akhlak Baginda. Firman Allah Ta'ala mafhumnya: “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar memiliki akhlak yang agung.” (Surah al Qalam: 4)
Mukjizat Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
Al Quran, bulan terbelah, terpancar air dari jari jemarinya yang mulia, pohon kurma menangis teresak-esak kerana rindu padanya, unta mengadu padanya, air yang pahit menjadi tawar dan enak dengan ludahnya, mustajab doanya, sentuhannya berkat, ramalannya tepat, pandangannya tembus ke belakang, suaranya boleh didengari dari jarak yang jauh, tidak mempunyai bayang, boleh melihat di dalam gelap seperti penglihatannya ketika terang, lalat tidak hinggap di baju dan tubuhnya, Isra' dan Mi'raj, batu dan pepohonan memberi salam padanya, makanan dan batu bertasbih di tangannya dan banyak lagi. Mukjizat Baginda tidak terkira.
Bapa saudara Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam.
1) Al Harth
2) Abu Tolib (Abdu Manaf)
3) Abul Harith al Zubair
4) Abu Lahab ('Abdul 'Uzza)
5) Al Ghaidaq
6) Al Muqawwim
7) Dhirar
8) Quthum
9) 'Abdul Ka'abah
10) Al Hajal (al Mughirah)
11) Hamzah
12) Al 'Abbas
Ibu saudara Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Sofiyyah
2) Arwa
3) 'Atikah
4) Ummu Hakim
5) Barrah
6) Umaimah
Isteri-isteri Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Sayyidah Khadijah al Kubro binti Khuwailid
2) Sayyidah Saudah binti Zam'ah
3) Sayyidah 'Aisyah al Humaira' binti Sayyiduna Abu Bakar al Siddiq
4) Sayyidah Hafsah binti Sayyiduna 'Umar al Faruq
5) Sayyidah Zainab al Hilaliyyah
6) Sayyidah Ummu Salamah Hindun binti Abu Umayyah
7) Sayyidah Zainab binti Jahsyi
8) Sayyidah Juwairiyyah binti al Harth
9) Sayyidah Raihanah binti Yazid
10) Sayyidah Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufyan
11) Sayyidah Sofiyyah binti Huyai (keturunan Nabi Harun 'alaihissalam)
12) Sayyidah Maimunah binti al Harth al Hilaliyyah
Tiga daripada mereka wafat ketika Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam masih hidup iaitu Sayyidah Khadijah, Sayyidah Zainab al Hilaliyyah dan Sayyidah Raihanah.
Jariah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Mariah al Qibtiyyah (hadiah daripada Raja Mesir, al Muqauqis)
2) Raihanah (khilaf)
3) Jariah yang dihadiahkan oleh Zainab binti Jahsyi
4) Jariah dari suku al Qurozi.
Putera & puteri Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Al Qosim
2) Zainab
3) Ruqayyah
4) Fatimah
5) Ummu Kulthum
6) Abdullah al Toyyib
Mereka merupakan cahaya mata hasil perkahwinan Baginda dengan Sayyidah Khadijah al Kubro radhiyyallahu 'anha.
7) Ibrahim al Khalil
Cahaya mata daripada Mariah al Qibtiyyah.
Cucu-cucu Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) 'Ali bin Abul 'As
2) Umamah binti Abul 'As
Kedua-duanya cahaya mata Sayyidah Zainab dengan Abul 'As bin al Rabi'.
3) Abdullah bin Sayyiduna Uthman al 'Affan.
Beliau adalah cahaya mata Sayyidah Ruqoyyah dengan Sayyiduna 'Uthman.
4) Al Hasan bin Imam Ali karramallahu wajhah
5) Al Husain bin Imam Ali karramallahu wajhah
6) Muhsin bin Imam Ali karramallahu wajhah
7) Ummu Kulthum binti Imam Ali karramallahu wajhah
8) Zainab binti Imam Ali karramallahu wajhah
9) Ruqoyyah binti Imam Ali karramallahu wajhah
Mereka semua adalah cahaya mata Sayyidah Fatimah al Zahra' dengan Imam Ali bin Abi Tolib karramallahu wajhah.
Khadam Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Anas bin Malik al Ansori
2) 'Abdullah bin Mas'ud (bertugas menjaga siwak & capal Baginda)
3) Mu'aiqib al Dausi (bertugas menjaga cop rasmi Baginda)
4) 'Uqbah bin 'Amir al Juhani (penjaga baghal Baginda)
5) Asla' bin Syariik (menguruskan kenderaan Baginda)
6) Bilal bin Rabah (bertugas menjaga sedekah kaum muslimin)
Hamba-hamba yang dibebaskan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Zaid bin Harithah
2) Abu Rafi'
3) Syuqran (Soleh)
4) Thauban
5) Rabah
6) Yasar
7) Safinah
8) Salman al Farisi
9) Ma'bur (beragama Kristian dan tidak memeluk Islam)
10) Sindar
11) Ummu Aiman
12) Umaimah
13) Sirin
14) Qoisar
Nuqoba' Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Amirul Mukminin Sayyiduna Abu Bakar al Siddiq
2) Amirul Mukminin Sayyiduna Umar al Faruq
3) Amirul Mukminin Sayyiduna Uthman Zunnurain (pemilik dua cahaya)
4) Amirul Mukminin Sayyiduna Imam Ali bin Abi Tolib
5) Sayyiduna Zubair bin al 'Awwam
6) Sayyiduna Ja'afar al Toyyar bin Abi Tolib
7) Sayyiduna Mus'ab bin 'Umair
8) Sayyiduna Bilal bin Rabah
9) Sayyiduna Miqdad bin al Aswad
10) Sayyiduna Uthman bin al Maz'un
11) Sayyiduna Abdullah bin Mas'ud
12) Sayyiduna 'Ammar bin Yasir
Nujaba' Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Sayyiduna Sa'ad bin Khoithamah
2) Sayyiduna Sa'ad bin al Rabi'
3) Sayyiduna Sa'ad bin Ubadah
4) Sayyiduna Abdullah bin Rowahah
5) Sayyiduna Abul Haitham bin al Tihan
6) Sayyiduna al Barra' bin Ma'rur
7) Sayyiduna Rafi' bin Malik al Azroqi
8) Sayyiduna Abdullah bin 'Amru bin Haram
9) Sayyiduna 'Ubadah bin Somit
10) Sayyiduna al Munzir bin 'Amru
Kesemua mereka adalah daripada golongan Ansar.
Hawariy Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Khalifah al Rasyidin yang empat (Abu Bakar, Umar, Uthman & Ali)
2) Sayyiduna Tolhah
3) Sayyiduna Zubair bin al 'Awwam
4) Sayyiduna Sa'ad bin Abi Waqqos
5) Sayyiduna Abdul Rahman bin 'Auf
6) Sayyiduna Hamzah bin Abdul Muttolib, penghulu para syuhada'
7) Sayyiduna Ja'afar al Toyyar bin Abi Tolib
8) Sayyiduna Abu 'Ubaidah bin al Jarrah
9) Sayyiduna Uthman bin al Maz'un
Kesemua mereka daripada keturunan Quraisy.
Pengganti Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam urusan pentadbiran negara ketika Baginda keluar berperang.
1) Sayyiduna Abu Lubabah
2) Sayyiduna Basyir bin al Munzir
3) Sayyiduna Uthman bin 'Affan, khalifah ketiga
4) Sayyiduna Abdullah bin Ummu Maktum
5) Sayyiduna Abu Zar al Ghifari
6) Sayyiduna Abdullah bin Abdullah bin Ubai bin Salul
7) Sayyiduna Sabbagh bin 'Arfatoh
8) Sayyiduna Ghailah bin Abdullah al Laithi
9) Sayyiduna 'Auf bin Adhbat al Dailami
10) Sayyiduna Abu Rahm Kulthum
11) Sayyiduna Muhammad bin Maslamah
12) Sayyiduna Zaid bin Harithah
13) Sayyiduna Saib bin Uthman bin Maz'un
14) Sayyiduna Abu Salamah bin Abdul Asad
15) Sayyiduna Sa'ad bin 'Ubadah
16) Sayyiduna Abu Dujanah al Sa'idi
Gabenor Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Sayyiduna Bazan bin Saman, gabenor Yaman
2) Sayyiduna Khalid bin Sa'id, gabenor San'aa
3) Sayyiduna Ziyad bin Labid al Ansori al Bayadhi, gabenor Hadramaut
4) Sayyiduna Abu Musa al Asy'ari, gabenor Zabid dan 'Adn
5) Sayyiduna Mu'az bin Jabal, gabenor al Jand
6) Sayyiduna Abu Sufyan bin al Harb, gabenor Najran
7) Sayyiduna Yazid bin Abi Sufyan, gabenor Taima
8) Sayyiduna 'Attab bin Asid, gabenor Mekah al Mukarramah
Panel penulis wahyu Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Sayyiduna Uthman bin 'Affan
2) Sayyiduna Ali bin Abi Tolib
3) Sayyiduna Ubai bin Ka'ab
4) Sayyiduna Zaid bin Thabit
5) Sayyiduna Mu'awiyah
6) Sayyiduna Khalid bin Sa'id bin al 'As
7) Sayyiduna Abban bin Sa'id
8) Sayyiduna al 'Ala' bin al Hadhromi
9) Sayyiduna Hanzalah bin al Rabi'
10) Sayyiduna Abdullah bin Sa'ad bin Abi Sarrah
Pengawal Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Sayyiduna Sa'ad bin Abi Waqqos
2) Sayyiduna Sa'ad bin Mu'az
3) Sayyiduna 'Ubbad bin Basyir
4) Sayyiduna Abu Ayyub al Ansori
5) Sayyiduna Muhammad bin Maslamah
Panel fatwa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Khalifah yang empat (Abu Bakar, Umar, Uthman & Ali)
2) Sayyiduna Abdul Rahman bin 'Auf
3) Sayyiduna Ubai bin Ka'ab
4) Sayyiduna Abdullah bin Mas'ud
5) Sayyiduna Mu'az bin Jabal
6) Sayyiduna 'Ammar bin Yasir
7) Sayyiduna Huzaifah al Yamani
8) Sayyiduna Zaid bin Thabit
9) Sayyiduna Salman al Farisi
10) Sayyiduna Abu Darda'
11) Sayyiduna Abu Musa al Asy'ari
Mereka semua telah mengeluarkan fatwa ketika Baginda masih hidup lagi dan fatwa-fatwa mereka diakui oleh Baginda yang menunjukkan ketinggian ilmu mereka.
Juru azan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Sayyiduna Bilal bin Rabah
2) Sayyiduna Abdullah bin Ummu Maktum
3) Sayyiduna Sa'ad bin 'Aiz al Qurozi, juru azan Masjid Quba'
4) Sayyiduna Abu Mahzurah al Jumahi al Makki, juru azan di Mekah al Mukarramah
Qadhi Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Amirul Mukminin Imam Ali bin Abi Tolib
2) Sayyiduna Mu'az bin Jabal
3) Sayyiduna Abu Musa al Asy'ari
Kesemua mereka menjadi qadhi di Yaman.
Utusan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Sayyiduna 'Amru bin Umayyah al Dhomari
2) Sayyiduna Dihyah bin Khalifah al Kalbi
3) Sayyiduna Abdullah bin Huzafah al Suhami
4) Sayyiduna Hatib bin Abi Balta'ah al Lukhomi
5) Sayyiduna Syuja' bin Wahab al Asadi
6) Sayyiduna Salit bin 'Amru al 'Amiri
7) Sayyiduna 'Amru bin al 'As
8) Sayyiduna al 'Ala' bin al Hadhrami
Penyair Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Sayyiduna Ka'ab bin Malik
2) Sayyiduna Abdullah bin Rowahah al Khazraji al Ansori
3) Sayyiduna Hassan bin Thabit
Ibu susuan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Bonda Baginda, Sayyidah Aminah
2) Thuwaibah al Aslamiyyah, jariah Abu Lahab
3) Khaulah binti al Munzir
4) Ummu Aiman
5) Halimah al Sa'diyyah
6) Seorang wanita suku al Sa'di selain Halimah
Saudara susuan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Sayyiduna Hamzah.
2) Masruh
3) Abdullah
4) Anisah
5) Al Syaima'
Binatang tunggangan & peliharaan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) 7 ekor kuda. Salah seekornya bernama al Sukab
2) 6 ekor baghal. Salah seekornya bernama al Syahba'
3) 2 ekor keldai yang bernama Ya'fur dan 'Ufair
4) 3 ekor unta yang bernama al Quswa, al Jad'a' dan al 'Adhba'
5) 107 ekor unta kambing yang dijaga oleh Ummu Aiman
6) Seekor ayam jantan putih
Pedang Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Al Ghosob
2) Al Rusub
3) Al Battar
4) Al Hatf
5) Zul Fiqar
Dikatakan pada salah satu pedang Baginda terukir bait syair ini:
“Pengecut itu memalukan dan berani itu suatu kemuliaan;
Orang yang pengecut tetap tidak terlepas dari takdir yang ditetapkan.”
Baju besi Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Al Sa'diyyah
2) Fiddhoh
3) Zatul Fudhul
4) Zatul Wisyah
5) Zatul Hawasyi
6) Al Batra'
7) Al Khornaq
Nama-nama Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
1) Muhammad
2) Ahmad
3) Al Mahi (penghapus kekufuran)
4) Al Hasyir (penghimpun manusia di atas sunnahnya)
5) Al 'Aqib (penyudah rantaian para Nabi)
6) Nabiyyur Rahmah (Nabi pembawa rahmat)
7) Nabiyyut Taubah (Nabi pengajar taubat)
8) Al Muqaffi (pengikut jejak langkah para Nabi sebelumnya)
9) Nabiyyul Malahim (Nabi yang menyertai peperangan)
Serta beberapa nama yang lain lagi. Guru kami Imam Muhammad Khalil al Khatib menyenaraikan sebanyak 202 nama Baginda menerusi qasidah beliau yang bertajuk an Nazmul Maqbul li Asmair Rasul.
Setakat ini dahulu maklumat mengenai nabi kita Sayyiduna Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Sekadar sebagai tanda ingatan buat Baginda sempena kedatangan Rabi'ul Awwal kali ini. Mari bersama-sama kita mencintai Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam.
Bibliografi:
- Nurul Absor fi Manaqib Ali Baitin Nabiyyil Mukhtar, Syeikh Mukmin bin Hasan Mukmin al Syablanji, terbitan al Maktabah al Taufiqiyyah, Mesir.
- Nurul Yaqin fi Sirah Sayyidil Mursalin, Syeikh Muhammad al Khudhori, cetakan pertama 1987 (1408), terbitan Darul Jil, Beirut dengan kerjasama Dar 'Ammar, 'Amman, Jordan.
- Mukhtasor Syamail Muhammadiyyah, Syeikh Abdul Majid al Syarnubi, diterjemahkan oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al Maliki, cetakan pertama Januari 2007 (Zulhijjah 1427), terbitan Sofa Production.
- Syarh an Nazmul Asna li Asmail Husna wan Nazmul Maqbul li Asmair Rasul, al Imam al Muhaddith Sayyid Muhammad bin Khalil bin Muhammad al Khatib al Hasani, cetakan pertama 2006, terbitan Jam'iyyah Syair ar Rasul, Tanta, Mesir.
Oleh: Humair