Saturday, June 20, 2009

PENYATUAN UMMAH


Pengenalan

Nabi Muhammad tiba di Madinah pada bulan September 622 M. Dengan penghijrahan ini, pusat gerakan umat Islam telah bertukar dari kota Mekah ke kota Madinah. Nabi Muhammad telah diterima sebagai pemimpin Madinah kerana Madinah pada waktu tersebut belum mempunyai seorang pemimpin tunggal. Madinah adalah sebuah kota di Utara Mekah yang diduduki oleh pelarian Yahudi dari Palestine dan bangsa Arab dari Yaman. Oleh sebab ia lebih merupakan kota tumpuan pelbagai bangsa yang belum pernah dipimpin oleh mana-mana pemerintah, maka Nabi Muhammad terpaksa menghadapi pelbagai masalah yang timbul oleh pelbagai golongan.

Golongan yang Dihadapi

Golongan Muhajirin

Muhajirin ialah orang Islam yang berhijrah bersama-sama Nabi dari Mekah ke Madinah berjumlah 150 orang. Mereka datang sehelai sepinggang meninggalkan kampung halaman semata-mata kerana Allah. Sewaktu di Madinah, mereka diberi pertolongan oleh golongan Ansar. Muhajirin kesemuanya adalah dari keturunan Quraisy tetapi dari pelbagai suku termasuklah Bani Hasyim, Bani Taym, Bani Adi dan Bani Umayyah. Tokoh-tokoh Muhajirin termasuklah Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Muhajirin adalah golongan orang Islam yang pertama memeluk Islam dan diletakkan sebagai orang yang paling mulia di sisi Allah dan diberikan keutamaan untuk memimpin.

Golongan Ansar

Mereka adalah penduduk Madinah yang terdiri daripada suku Aus dan Khazraj. Mereka adalah kumpulan pertama yang mendiami Madinah. Mereka berasal dari Arab Selatan berpindah ke Madinah selepas pecahnya Empangan Maarib. Antara Aus dan Khazraj sering berlaku pertelegahan. Dalam pertelegahan ini, suku Aus disokong oleh Yahudi. Daripada golongan inilah, lahirnya golongan munafik. Mereka memeluk Islam Ba'at Aqabah. Jumlah mereka lebih kurang 500 orang berdasarkan jumlah yang menyambut Nabi apabila Nabi sampai ke Madinah. Mereka digelar Ansar kerana membantu menyebarkan Islam serta memberikan pertolongan kepada Muhajirin. Mereka juga banyak berkorban sama ada harta atau nyawa bagi menegakkan Syi'ar Islam. Mereka diletakkan setaraf dengan Muhajirin dan disebutkan juga sebagai as-Sabiquna al-Awwalun.

Golongan Yahudi

Kaum Yahudi berasal dari Palestine. Mereka datang ke Madinah apabila Nabi Isa menyebarkan agama Nasrani. Kerajaan Rom yang memerintah Palestine menganut agama Nasrani. Hal ini menyebabkan golongan Yahudi lari ke Semenanjung Tanah Arab termasuklah ke Khaibar, Wadi al-Qura dan Madinah. Jumlah suku Yahudi yang tinggal di Madinah ialah sebanyak 20. Yang terkenal hanyalah 3 iaitu Quraizah, Nadhir dan Qainuqak. Walaupun terdapat percampuran darah antara Yahudi dan Arab tetapi Yahudi tetap dengan Yahudinya sama ada dari segi kepercayaan atau kebudayaan. Kaum Yahudi mempunyai angkatan tentera yang kuat serta ekonomi yang kukuh.

Bani Qainuqak adalah Yahudi yang paling berpengaruh. Mereka juga dikatakan Yhudi yang mula-mula sampai ke Madinah. Mereka tinggal di Barat Daya Madinah berhampiran Wadi Buhtan. Mereka bekerja sebagai pedagang di samping petukang dan mempunyai pasukan tentera yang ramai. Mereka pernah membekalkan sejumlah 700 tentera termasuk 200 tentera berperisai bagi membantu kaum Khazraj menentang Aus dalam Perang Bua'th.

Bani Nadhir merupakan golongan kedua berpengaruh. Mereka tinggal di kawasan bukit yang namanya al-Nadhir di Selatan Kota Madinah. Mereka berniaga dan bertani. Mereka memihak kepada suku Aus dalam Perang Bua'th. Sokongan yang diberi kerana tujuan tertentu, iaitu untuk memecahbelahkan orang Arab dan ini membolehkan mereka berkuasa di Madinah.

Bani Qainuzah pula dikenali sebagai Darih. Mereka tiba di Madinah agak lewat. Mereka tinggal di Wadi Mahzur, Selatan kota Madinah. Pekerjaan mereka adalah bertani. Kebanyakan mereka kaya, mempunyai bekalan makanan dan senjata yang banyak. Jumlah tentera mereka dianggarkan 750 orang. Mereka memihak kepada suku Aus dalam Perang Bua'th sehingga menyebabkan suku Khazraj tertewas. Mereka sedar suku Khazraj adalah kuat. Dengan kekalahan Khazraj, pentadbiran kota Madinah akan terlepas ke tangan Yahudi. Yahudi Madinah mempunyai hubungan yang baik dengan Yahudi di luar Madinah.

Golongan Munafik

Munafik adalah orang yang perpura-pura masuk Islam tetapi pada hakikatnya mereka memusuhi Islam. Sejarah kaum munafik bermula apabila Nabi sampai ke Madinah. Mereka telah menimbulkan pelbagai masalah, misalnya dalam Perang Uhud, mereka telah menarik diri sebelum berlakunya peperangan sehingga menyebabkan barisan tentera Islam kucar-kacir dan seterusnya menyebabkan tentera Islam kalah. Pemimpin mereka yang terkenal ialah Abdullah Bin Ubay dari suku Khazraj. Allah menyifatkan munafik sebagai orang yang bercakap bohong seperti yang disebutkan dalam surah al-Imran ayat 167, surah al-Taubat ayat 64-69, al-Ahzab ayat 1, 12, 24, 60 dan 73. Mereka menyokong Nabi kerana kepentingan sendiri; jika didapati musuh lebih kuat, mereka akan menyokong musuh. Mereka mempunyai hubungan yang baik dengan Yahudi. Secara umumnya, mereka tidak mempunyai pendirian yang tetap. Oleh itu, mereka tertewas dalam perjuangan mereka.

Usaha yang Dijalankan dalam Penyatuan Ummah

Membina Masjid

Sebaik sahaja Nabi tiba di Madinah, Nabi telah berusaha membina masjid yang akan dijadikan sebagai tempat ibadat. Selain itu, masjid juga berfungsi sebagai tempat untuk orang Islam bertemu serta berbincang / bermesyuarat bagi menyelesaikan sebarang masalah. Pada peringkat awal, masjid juga dijadikan sebagai tempat berniaga. Masjid pertama yang dibina di Madinah ialah Masjid Nabi / Nabawi. Ia dibina atas tanah milik 2 orang yatim, Sahl dan Suhail. Ia dibeli hanya dengan 10 dinar.

Menyatukan Aus dan Khazraj

Aus dan Khazraj merupakan penduduk asal Madinah. Sebelum kedatangan Nabi, mereka sentiasa bermusuhan antara satu sama lain sehingga mengorbankan banyak nyawa. Peperangan Bua'th merupakan perang yang berlarutan di antara kedua-dua puak tersebut. Ia berpunca dari masalah kepimpinan kerana kedua-duanya ingin menerajui pentadbiran kota Madinah. Nabi sedar jika masalah ini tidak diselesaikan, keadaan ini tidak akan aman. Oleh itu, Nabi berusaha menyatukan kedua-dua pihak tersebut dan menamakan mereka sebagai orang Ansar. Nabi menanamkan sifat-sifat Iman kepada mereka sehingga mereka sanggup melupakan permusuhan yang berlaku antara mereka.

Mewujudkan Persaudaraan Islam

Setelah Nabi berjaya menyatukan Aus dan Khazraj, Nabi berusaha pula mempersaudarakan orang Ansar dan Muhajirin. Tujuan Nabi adalah untuk membantu orang Muhajirin dari sudut ekonomi dan juga kepentingan umum, termasuklah sosial dan politik Islam di Madinah. Sekiranya masalah ekonomi tidak diselesaikan terlebih dahulu adalah sukar bagi Nabi membangunkan sebuah negara yang benar-benar kukuh. Contohnya, Nabi telah mempersaudarakan Hamzah Bin Abdul Muttalib dengan 'Ithban Bin Malik, Abdul Rahman Bin Auf dengan Said Bin Rabi' dan lain-lain. Dengan adanya ikatan ini, golongan Ansar tanpa ragu-ragu sanggup memberikan harta benda mereka untuk dijadikan modal sehingga akhirnya ekonomi orang Muhajirin berjaya dipulihkan.

Menggubal Perlembagaan

Sebuah perlembagaan untuk negara Islam Madinah telah diwujudkan oleh Nabi demi untuk menjamin perpaduan di kalangan penduduk Madinah sebagai sebuah komuniti / ummah. Ia diwujudkan hasil dari persetujuan bersama antara orang Islam dan juga orang Islam dan Yahudi. Dalam perlembagaan ini, beberapa aspek penting telah diberikan penekanan oleh Nabi seperti tanggungjawab bersama untuk mempertahankan Madinah, Kebebasan beragama, al-Quran sebagai asas peraturan perlembagaan dan kedudukan Nabi sebagai ketua negara. Pada dasarnya kesemua penduduk Madinah menerima perlembagaan ini secara terbuka.

Memperkenalkan Dasar-dasar Ekonomi

Nabi menggalakkan orang-orang Islam supaya bekerja keras terutamanya dalam bidang pertanian dan perniagaan. Nabi menggalakkan orang Islam menebus semula tanah mereka yang tergadai di tangan orang Yahudi. Mereka juga diminta berusaha mengatasi masalah monopoli perdagangan yang dilakukan oleh peniaga Quraisy antara Yaman, Mekah dan Syam. Setalah semua langkah yang perlu dilaksanakan, maka kedudukan ekonomi orang Islam telah dipulihkan sehingga membimbangkan orang Yahudi dan Quraisy Mekah sendiri.

Melaksanakan Syura

Sistem Syura atau mesyuarat telah dilaksanakan oleh Nabi di semua peringkat. Ia bertujuan untuk menjamin keadilan dan mengelakkan kezaliman. Sebarang masalah yang timbul sama ada dalam bidang ekonomi, politik dan sosial akan dibincang dan diselesaikan bersama. Setiap anggota masyarkat diberi peluang untuk memberi / mengemukakan pendapat selagi ia tidak bercanggah dengan dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh al-Quran.

Membangunkan Masyarakat Islam yang Bermoral

Pembentukan masyarakat Islam yang bermoral adalah penting kerana ia akan memberi contoh kepada masyarakat lain. Nabi berusaha membangunkan mereka dari segi fizikal dan spiritual. Dengan panduan wahyu, Nabi telah memperluaskan lagi kehidupan beragama di Madinah dengan menekankan kepada konsep beribadat, bermuamalat, bermunakahat, jenayah dan kenegaraan. Hasilnya Nabi berjaya melahirkan ramai tokoh yang mempunyai ciri-ciri keperibadian yang tinggi.

Menubuhkan Pasukan Tentera

Pasukan tentera adalah penting bagi sesebuah negara. Bagi Islam, ia adalah untuk mempertahankan kesucian serta kedaulatan agama dan negara. Nabi telah berjaya menubuhkan pasukan tentera yang kuat dan mempunyai semangat jihad yang tinggi. Tentera Islam telah memperoleh beberapa kejayaan termasuklah dalam Perang Badar, Khandak, Mu'tah dan sebagainya.

Dakwah dan Diplomatik

Usaha-usaha dakwah juga dipergiatkan. Ia tidak lagi tertumpu di Madinah. Beberapa utusan telah dihantar untuk menjalin hubungan diplomatik di samping berdakwah. Antaranya termasuklah menghantar utusan ke Habsyah, Yamamah, Mesir dan lain-lain. Ada di antara utusan tersebut diterima baik dan ada juga yang ditolak.

Rumusan

Nabi Muhammad terpaksa menyelesaikan pelbagai masalah setelah baginda berhijrah ke Madinah, sama ada masalah yang dihadapi oleh umat Islam sendiri mahupun masalah yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam. Baginda telah membuktikan ketokohannya sebagai seorang negarawan ulung yang belum pernah disaksikan dalam sejarah Tanah Arab. Bangsa-bangsa Arab telah berjaya disatukan dan sebuah negara Islam yang tidak berlandaskan perkauman telah berjaya ditegakkan.

No comments:

Rakan-rakan Pembaca Budiman