Saturday, June 20, 2009

Penyusunan Ekonomi Bernegara Wajib Bersesuaian Dengan Fitrah Kemanusiaan


Nik Mustapha Bin Nik Hassan

Timbalan Ketua Pengarah

02/06/2009 | Berita Harian

Abad Ke Dua Puluh Satu sedang menyaksi satu keadaan yang sangat mencabar kepada keutuhan tamadun manusia. Kemajuan sesuatu bangsa dan negara bergantung rapat dengan keutuhan tamadun tersebut. Tamadun bangsa mesti diasaskan kepada nilai kemanusiaan semulajadi atau menepati fitrah kemanusiaan yang hakiki.

Cara hidup individu, keluarga, negara dan perhubungan di antara negara di pentas antarabangsa jika diasaskan kepada nilai yang bercanggah dengan nilai kemanusiaan, natijahnya pasti akan membawa kepada kemusnahan dan kehancuran kepada umat manusia. Manusia tidak berkemampuan memain peranan Tuhan dalam menentu corak hidup mereka. Penolakan kepada keagungan Petunjuk Illahi dalam membentuk corak hidup, melahirkan fahaman sekular dalam pandangan dan corak hidup manusia. Fahaman sekular jika menjadi panduan dalam menyusun kehidupan manusia akan membawa kepada keruntuhan nilai kemanusiaan.

Di akhir Abad Ke Dua Puluh, kita dapat menyaksi bagaimana blok Komunis di Eropah Timur dan U.S.S.R roboh berkecai setelah berpeluang mengendali beberapa negara selama tujuh dekad. Keruntuhan tersebut meliputi kesemua aspek politik, ekonomi dan kebudayaan. Fahaman Marx dan Hegel jelas gagal membina dan membentuk satu tamadun manusia yang kukuh. Falsafah hidup manusia yang menumpu kepada kepentingan kebendaan (fahaman bahawa kemajuan kebendaan sahaja adalah asas yang menentukan keutuhan sesebuah tamadun) yang melulu dan pendekatan penyusunan ekonomi bernegara yang berasaskan pendekatan collectivism (prinsip pengawalan sosial dan ekonomi negara dipusatkan kepada pemerintah) jelas mencatit satu kegagalan yang ketara. Kedua-dua asas tersebut sangat bertentangan dengan sifat kemanusiaan.

Blok kapitalis juga tidak memperlihatkan satu tamadun yang baik untuk masyarakat manusia menteladani. Walaupun mereka masih mendahului dari segi aspek kemajuan sains dan teknologi, dan ekonomi, keruntuhan akhlak di kalangan rakyat mereka dan pendekatan bernegara berteraskan kepada kebendaan dan individualism (sistem bernegara di mana individu diberi kebebasan yang mutlak untuk menentukan perjalanan ekonomi, politik dan sebagainya) tidak akan dapat mempertahankan kekayaan dan kemajuan ekonomi negara mereka pada masa seterusnya. Eropah berada dalam keadaan kemelut ekonomi yang tidak menentu. Kegelisahan rakyat Eropah jelas dapat kita tontoni. Begitu dengan kehebatan Amerika Syarikat. Kekuatan ekonomi Amerika makin hari makin meleset. Bahkan pada masa kini Amerika Syarikat menghadapi keadaan kemelesatan ekonomi yang tenat. Penindasan satu golongan terhadap golongan yang lain, hasil dari falsafah individualism sudah menjadi nilai hidup.

Pada tahun 2004 seramai 2.5 billion penduduk dunia (ekonomi dunia dipengaruhi oleh sistem kapitalisme) menjalani kehidupan dengan pendapatan kurang U.S$2 dalam satu hari (Shaohua Chen and Martin Ravallion (2007). Keruntuhan institusi kekeluargaan turut menjadi perwujudan (phenomenon) yang sangat membimbangkan. Institusi perkahwinan dianggap lapuk. Bahkan perkahwinan sejenis dibenarkan. Dari perkembangan yang malap ini, tamadun tersebut menanti hari keruntuhan yang sangat hampir. Keruntuhan nilai kemanusiaan tidak akan mampu menerus kecepatan (momentum) kemajuan bahkan kehancuran kehidupan adalah akibat yang terpaksa dihadapi.

Rumusan mudah ialah mana-mana pendekatan penyusunan negara yang berlawanan dengan fitrah kemanusiaan terpaksaan menghadapi natijah yang buruk. Demi kebaikan umat manusia, mana-mana negara wajib mengambil pendekatan yang tepat, iaitu sesuatu pendekatan yang bersesuaian dengan sifat dan tuntutan kemanusiaan yang hakiki. Sifat dan keperluan manusia hanya mampu difahami melalui ajaran Illahi. Kemampuan akal manusia sahaja untuk memahami sifat dan keperluan manusia tidak mungkin akan tepat dengan sepenuhnya.

Dalam keadaan suasana yang begitu tidak menentu, Islam kembali diberi perhatian oleh umat Islam. Dalam arus kebangkitan kefahaman Islam, golongan ilmuan Islam perlu menguasai ilmu al-Quran dan as-Sunnah secara mendalam semoga falsafah hidup Islam dapat digariskan dan sekaligus falsafah tauhid dapat mewarnai dalam kesemua perkara yang hendak disusun dan ditangani dalam menghadapi persoalan semasa dan setempat. Islam perlu dilihat sebagai satu deen yang menekan dan memberi keutamaan kepada penyusunan masyarakat sesebuah negara sehingga wujudnya sebuah tamadun manusia yang mulia. Allah S.W.T. berfirman dengan maksud berikut:

"Demi tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." Al-Anbiya:107

Hasil dari kemampuan menyusun masyarakat berteraskan kepada nilai kemanusiaan sudah pasti kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat manusia akan dicapai.

Dalam era pertembungan tamadun dan budaya pada masa mutakhir ini seperti yang pernah dikemukakan oleh Prof. Samuel Hartington, Islam harus dari segi gagasan ilmu, mampu diutara oleh ahli ilmuan Islam sebagai yang paling hebat, canggih dan sesuai dalam menyusun kesemua perkara kehidupan di peringkat individu, masyarakat dan negara di zaman sekarang dan seterusnya di masa hadapan. Pendekatan dan ramuan Islam dalam kesemua perkara penyusunan dan pengendalian bernegara perlu diketengahkan.

Cabaran kepada ilmuan Islam ini menuntut mereka memperincikan secara syumul dan mendalam pendekatan yang dianjurkan oleh Islam. Persoalan yang perlu dijawab ialah bagaimana dan dengan mengambil perhitungan suasana setempat dan semasa. Masa untuk hanya melaungkan cogan kata umum tentang kehebatan Islam sahaja mungkin tidak sesuai lagi. Perhatian sekarang ialah kepada persoalan bagaimana Islam daripada persoalan apa itu Islam.

Di samping menghayati arus kebangkitan Islam, kawasan Asia Pasifik dijangka akan menjadi kawasan yang paling maju di dunia pada Abad Ke Dua Puluh Satu. Jika pertumbuhan ekonomi pada masa kini di kalangan negara rantau ini dapat dikekal dan diteruskan, pada akhir Abad Dua Puluh Satu, kawasan Asia Pasifik akan dapat menjadi kawasan termaju di dunia.

Dalam menangani perkembangan semasa, sebagai sebuah negara yang didiami oleh majoriti umat Islam di kawasan Asia Pasifik, Malaysia perlu menggubal satu dasar ke arah penyusunan dan pembangunan sistem ekonomi negara yang dapat berperanan secara berkesan dan sesuai dengan suasana semasa dan setempat dalam memajukan negara ke mercu yang tinggi. Kemajuan ekonomi adalah teras penting ke arah kemajuan negara. Dalam era semasa dan seterusnya pada masa hadapan, kekuatan ekonomi akan menjadi penentu kepada kekuatan sesebuah negara dalam arena politik dunia. Survival dan kekuatan sesebuah negara akan berkait rapat dengan pencapaian kejayaan ekonomi. Justeru itu adalah tanggungjawab umat Islam berusaha semoga penyusunan ekonomi negara mengikut Islam dapat dilaksana.

No comments:

Rakan-rakan Pembaca Budiman