Saturday, June 20, 2009

Al Qaradhowi: Ijtihad Suatu Keperluan


Presiden Kesatuan Ulama' Islam Sedunia, Syeikh Yusuf al Qaradhowi menegaskan peri pentingnya peranan yang dimainkan oleh Kuwait dan badan-badan kebajikan Islam antarabangsa dalam memelihara Islam dan umat Islam di seluruh dunia.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut ketika menghadiri forum bertajuk (Faqih Muslim dan Isu-isu Semasa) anjuran Pusat Ilmu Wasatiyyah, bertempat di hotel Sheraton baru-baru ini.

Al Qaradhowi menjelaskan, para ulama' ilmu Mantiq pernah menyatakan bahawa setiap faqih itu adalah alim dan bukan semua alim itu adalah faqih. Beliau turut menerangkan, seorang faqih Muslim ialah orang yang bergelumang dengan hukum hakam syara' dalam mengistinbat hukum hakam fiqh daripada dalil-dalilnya yang berbentuk tafsili (terperinci). Namun begitu, ia tidak bermaksud bahawa seorang faqih itu lebih baik daripada seorang alim kerana setiap orang memiliki kepakaran masing-masing dalam sudut tertentu. Yang penting ialah seorang faqih dan seorang alim perlu tahu peranan masing-masing. Beliau menjelaskan lagi, masalah yang dihadapi orang ramai kini ialah mereka tidak membezakan antara alim, faqih dan pendakwah sedangkan menjadi suatu kepentingan untuk dilakukan penentuan khusus dalam memahami kalimah-kalimah ini.

Sebahagian ulama' mendefinisikan 'Faqih Muslim' itu sebagai: Seorang alim Muslim yang memiliki persediaan rapi untuk mengkaji dalil-dalil syara' serta mengeluarkan hukum hakam daripadanya sama ada dalil tersebut berbentuk usul atau cabang. Al Qaradhawi menambah lagi, tidak boleh tidak seorang faqih Muslim mestilah menguasai dalil-dalil ini bagi melayakkannya untuk mengistinbat hukum hakam dibantu dengan kelayakan lain dari sudut ilmu.

Beliau menyebut, sebahagian ulama' lain pula mendefinisikan faqih itu sebagai mujtahid atau orang yang mencapai darjat ijtihad sambil menjelaskan bahawa ijtihad menurut pandangan beliau boleh dipecah-pecahkan mengikut bidang. Ini adalah kerana kebanyakan tesis-tesis Master (M. A) dalam bidang Fiqh Islam merupakan sebahagian daripada 'Fiqh Pecahan'.

Al Qaradhowi menjelaskan, ijtihad pada zaman kini adalah suatu kewajipan dan keperluan. Ia adalah kewajipan yang difardhukan oleh agama dan suatu keperluan yang dituntut oleh realiti. Mujtahid perlu wujud di kalangan umat Islam sama ada dengan ijtihad secara keseluruhan atau pecahan serta sebagai mujtahid mutlaq atau muqayyad.

Beliau berkata, para fuqaha' menyatakan bahawa perlu wujud di kalangan umat Islam dalam setiap bidang segolongan manusia yang mengisi kekosongan serta memenuhi keperluan masyarakat dalam bidang agama dan duniawi agar umat Islam tidak terlalu bergantung harap kepada pihak lain.

Beliau turut mempersoalkan, bagaimana mungkin kita boleh melaksanakan hukum hakam syara' sekiranya tiada ijtihad sedangkan kita sering melaung-laungkan kewajipan berhukum dengan syariat Islam di dunia ini. Laungan ini bangkit daripada kesedaran umat Islam kini. Namun begitu, ijtihad masih lagi diperlukan. Sebahagian orang memberi alasan bahawa kitab-kitab karangan para ulama' kita telah menjelaskan segala-galanya. Kami menyatakan bahawa kitab-kitab tersebut ditulis berdasarkan zaman, tempat dan suasana ketika ianya ditulis. Semestinya kita tidak mungkin boleh meminta mereka untuk mengetahui perkara ghaib dan berijtihad untuk sesuatu yang ghaib.

Al Qaradhowi menambah, para ulama' kita adalah golongan mujtahid bagi zaman, tempat dan suasana mereka berada. Mereka perlu melaksanakan kaedah yang menyebut bahawa sesuatu fatwa boleh berubah mengikut masa, tempat dan suasana.

Berkenaan dengan isu-isu semasa yang merupakan sebahagian daripada topik forum ini, beliau berkata, seorang faqih Muslim perlu melengkapkan diri dengan perkara-perkara yang membantunya memahami isu-isu semasa supaya dia boleh bergelumang dengan isu-isu ini. Beliau menambah lagi, persiapan itu adalah berbentuk ilmu, wacana pemikiran dan pengetahuan am di samping penguasaan terhadap al Quran, Ulum al Quran, Hadith, Ulum Hadith, ilmu sosiologi (kemasyarakatan) dan ilmu-ilmu terkini supaya kita boleh memberikan sumbangan terbaik dalam setiap bidang ilmu. Beliau menyatakan, faqih itu sebagaimana yang diungkapkan oleh Ibnu Qayyim adalah orang yang melakukan kombinasi antara kewajipan dan realiti. Dia tidak hidup untuk melakukan perkara yang wajib dilakukan tetapi dia juga hidup untuk berhadapan dengan realiti.

Al Qaradhowi menyebut, syariat itu fleksibel. Ia menjadi pengimbang antara pandangan terhadap Maqasid Kulliyyah (maqasid umum) dengan nas-nas yang khusus. Oleh itu, seorang faqih Muslim perlu berinteraksi dengan nas-nas khusus dari sudut Maqasid Kulliyyah. Beliau juga menuntut agar 'Fiqh Keperluan' diperkukuhkan lagi.

Beliau turut menyatakan, kita tidak harus menjadikan syariat tunduk kepada realiti semasa bahkan realiti semasa yang perlu tunduk kepada syariat kerana syariat merupakan dasar. Beliau mempersoalkan kenapa umat Islam menuntut Islam supaya mengikut perkembangan. Mengapa mereka tidak mendesak supaya perkembangan itu yang perlu mengikut Islam.

Al Qaradhawi menegaskan, seorang faqih yang berjaya ialah faqih yang memperkukuhkan Fiqh Pemudahan bukannya Fiqh Pemayahan. Dia juga turut mengukuhkan Fiqh Pemeringkatan, Kontemporari dan Keseimbangan antara nas-nas khusus dengan Maqasid Kulliyyah.

Glosari umum:

- Kalimah-kalimah seperti Fiqh Pecahan, Fiqh Keperluan, Fiqh Pemudahan, Fiqh Pemayahan, Fiqh Pemeringkatan, Fiqh Kontemporari dan Fiqh Keseimbangan adalah istilah-istilah yang dicetuskan oleh Prof. Dr. Yusuf al Qaradhowi sendiri.

- Ijtihad keseluruhan membawa erti seorang mujtahid memiliki semua syarat-syarat ijtihad.

- Ijtihad pecahan membawa erti beberapa mujtahid yang memiliki beberapa syarat ijtihad lalu bergabung untuk mengeluarkan ijtihad dalam satu kes tertentu.

- Mujtahid mutlaq: Seorang mujtahid yang memiliki syarat-syarat ijtihad serta mampu mengistinbat hukum hakam daripada al Quran dan Sunnah namun berdasarkan kaedah yang disusun oleh para mujtahid mustaqil.

- Mujtahid muqayyad: Seorang mujtahid yang memiliki sebahagian besar syarat ijtihad tetapi tidak mampu untuk mengistinbat hukum hakam daripada al Quran dan Sunnah. Dia hanya mampu untuk mentarjih pendapat-pendapat mazhab berdasarkan kekuatan dalil serta berpandukan kaedah-kaedah yang disusun oleh imam mazhab.

Nota: Saya (Humair) menterjemahkan artikel ini daripada majalah al Wa'yu al Islami, bilangan 514, Jamadil Akhir 1429 (Jun 2008). Anda juga boleh melayari laman web majalah ini di: www.alwaei.com

1 comment:

Rakan-rakan Pembaca Budiman