Sunday, June 14, 2009

Bab 5: Saya Mesti Memahami Sejauh Manakah Makna Penggabungan Saya Dengan Harakah Islamiah


Sebenarnya menggabungkan diri dengan harakah Islamiah bukan hanya memadai dengan membuat permohonan menjadi ahli dan mendaftar nama sahaja, bukan juga sekadar berulang-alik ke markas-markas gerakan atau kelab-kelabnya dan menghadiri ijtimak-ijtimak anjuran jemaah semata-mata.

Penggabungan ini mestilah membawa kepada pengertian yang lebih jauh dari itu. Penggabungan yang tidak sekadar dalam bentuk dan nilai-nilai tertentu sahaja tetapi ia adalah penggabungan yang membuktikan kemantapan akidah dan kekuatan ikatan fikrah dan tanzim.

1. Penggabungan Akidah.

Perkara pertama yang wajib diketahui apabila kita menggabungkan diri dengan Harakah Islamiah ialah sejauh manakah berlakunya penggabungan dari sudut akidah kerana Harakah Islamiah menolak

penggabungan yang berdasarkan kepada (kecenderungan atau thiqah terhadap) peribadi (sahsiah) seperti yang berlaku pada pertubuhanpertubuhan asing yang hanya mementingkan soal-soal teraju kepimpinan sahaja dan hubungan seperti inilah yang menjadi kuman-kuman yang menghancurkan pertubuhan-pertubuhan tersebut.

Oleh itu penggabungan Harakah Islamiah pertama-tamanya ialah penggabungan dengan agama Islam sendiri. Penggabungan ini seterusnya menuntut kita mentaati segala titah perintah Allah s.w.t, mengharapkan rahmat serta keredaannya. Dengan cara ini penggabungan dengan harakah Islamiah tidak terjejas sekiranya berlaku kematian peribadi tertentu atau kehilangan mereka dari medan dakwah kerana sesuatu sebab, kerana penggabungan akidah mengikat seseorang dan jamaah dengan Allah s.w.t. Inilah sebenarnya yang merupakan rahsia berlakunya gerakan dakwah serta penerusannya. (Sayidina Abu Bakar r.a berkata:) "Sesiapa yang menyembah Muhammad sesungguhnya Muhammad telah mati dan sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah tetap hidup dan tidak mati".

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad - untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.” (Surah Al-Fath, Ayat: 10).

Harakah Islamiah juga menolak penggabungan yang didorong oleh semangat dan perasaan yang melulu kerana Islam itu sendiri adalah sistem yang ditegakkan di atas dasar kefahaman, juga kerana matlamat bekerja untuk Islam itu sendiri adalah untuk menegakkan manhaj hidup Islam di dalam masyarakat di mana perlaksanaannya dilakukan dengan penuh kesedaran, penelitian dan secara lebih objektif. Oleh yang demikian kesedaran yang timbul dari akidah, kesedaran dalam bentuk haraki dan pegangan yang kukuh dari sudut amalan merupakan perkara yang disyariatkan untuk penggabungan diri dengan gerakan Islam.

Bahkan keteguhan pendirian seseorang dalam melaksanakan amal-amal dakwah dan jaminan untuk terus kekal bersama arus dakwah serta turut mengecap kejayaannya menuntut seseorang itu memiliki kefahaman yang betul dan kesedaran yang murni terhadap makna penggabungan ini.

Ramai di kalangan mereka yang gugur tercicir dari jalan dakwah ataupun bertindak meninggalkan perjalanan ini dengan begitu cepat adalah terdiri dari mereka yang turut serta atas dorongan dan perasaan yang melulu atau atas semangat dan tekanan suasana tertentu sedangkan mereka tidak memahami gambaran sebenarnya tentang jalan perjuangan ini.

Harakah Islamiah menolak penggabungan yang mengandungi maslahat atau tujuan tertentu atau dalam erti kata yang lain dijadikan sebagai batu loncatan untuk mencapai maksud dan kepentingan diri sendiri. Mereka menjadikan penggabungan diri mereka dengan jamaah sebagai satu cara untuk mencapai keuntungan peribadi sama ada dalam bentuk kebendaan ataupun masyarakat.

Sebenarnya penggabungan diri ke dalam Harakah Islamiah bererti seseorang itu mestilah mengorbankan seluruh kekuatan dan kemampuannya untuk jamaah, menyerahkan kepentingan diri untuk kepentingan jamaah, bukan sebaliknya. Inilah yang menambatkan amal dengan niat (seseorang). Intima' atau penggabungan dengan Harakah Islamiah adalah intima' dengan seluruh ruang lingkup gerak kerjanya.

Oleh yang demikian tidak dapat tidak seseorang yang bergabung dengan Harakah Islamiah mestilah membersihkan (menyucikan) dan memurnikan diri dan jiwa mereka dari segala kepentingan yang rendah.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya amalan-amalan itu hanya (dikira) dengan niat. Sesungguhnya (ganjaran) bagi setiap orang itu (diberi) berdasarkan apa yang ia niatkan. Malah sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka (balasan) hijrahnya (ialah pahala kerana) Allah dan Rasul-Nya dan sesiapa yang hijrahnya untuk dunia yang diingininya atau kerana wanita yang ingin dikahwininya maka (balasan) hijrahnya itu ialah mengikut apa yang dia niatkan.” (Muttafaqun Alaih).

2. Penggabungan Untuk Masa Depan.

Satu lagi perkara yang sepatutnya wujud di dalam penggabungan seseorang di dalam Harakah Islamiah ialah penggabungan masa depannya bersama masa depan jamaah dengan makna masa depannya (senang susahnya) mestilah terikat dengan jamaah dalam bentuk dan apa keadaan sekalipun.

Penggabungan tersebut mestilah tidak terikat atau terhenti dengan berakhirnya marhalah tertentu atau penggabungan dalam suasana tertentu, kemudian berhenti setelah berakhirnya suasana tersebut.

Penggabungan dengan jamaah juga mestilah tidak terbatas kepada zaman muda belia dan bujang sahaja, lalu berhenti setelah meningkat dewasa dan berumah-tangga.

Penggabungan ini juga mestilah tidak terbatas dalam keadaan kemiskinan, kesusahan dan kesempitan kemudian menghilang diri setelah kaya-raya dalam kehidupan dan kelapangan.

Penggabungan ini juga bukanlah terbatas di waktu keadaan aman damai, kemudian menghilang apabila ditimpa bala dan ujian.

Sebenarnya penggabungan ini mestilah penggabungan yang bersifat kekal abadi, tidak bercerai-berai, tidak berundur ke belakang dan tidak cabut lari sehingga ia kembali menemui Tuhannya dalam keadaan ia menggabungkan diri dengan Harakah Islamiah. Inilah yang dilakukan oleh para Salafussoleh bahkan inilah yang ditegaskan oleh sebahagian ayat-ayat suci Al-Quran.

Di antaranya firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan ada sebahagian dari manusia yang berkata: Kami beriman kepada Allah; kemudian apabila dia diganggu dan disakiti pada jalan Allah, dia jadikan gangguan manusia itu seperti azab seksa Allah (lalu dia taatkan manusia) dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu member kemenangan kepadamu, mereka sudah tentu akan berkata: Kami adalah sentiasa bersama-sama kamu. (Mengapa mereka berdusta?) Bukankah Allah lebih mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati sekalian makhluk? Dan sesungguhnya Allah mengetahui akan orang-orang yang beriman dan sesungguhnya Dia mengetahui akan orang-orang yang munafik.” (Surah Al-Ankabuut, Ayat: 10 - 11).

Allah s.w.t berfirman lagi yang bermaksud: “Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau dia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu dan kalau pula dia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah dia semula (kepada kekufuranny). (Dengan sikapnya i) rugilah dia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.” (Surah Al-Hajj, Ayat: 11).

Allah s.w.t berfirman lagi yang bermaksud: “Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh) dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengasihi orang-orang yang sabar. 147- Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan) dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. 148-Oleh itu Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Aali Imraan, Ayat: 146 - 148).

Sesungguhnya dakwah yang benar ialah dakwah atau seruan supaya berpegang teguh kepada kebenaran, seruan kepada iman dan amal, seruan kepada jihad, rasa keterikatan dan kesabaran serta seruan kepada pengorbanan dan penebusan. Adalah merupakan satu kebiasaan atau satu perkara yang bersifat tabi'ie bahawa suara-suara kebenaran itu menjadikan pada pendokongnya terdedah kepada cabaran-cabaran dari pada penaja kebatilan dengan sikap mereka yang melampau, makar jahat serta tipu helah mereka.

Allah s.w.t mengingatkan yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.” (Surah Muhammad, Ayat: 31).

Orang-orang yang menggabungkan diri dengan Harakah Islamiah mestilah berbeza dengan orang yang lain dari sudut rupa diri, sama ada dalam akhlak, muamalat harian mahupun syiar-syiar. Mereka mestilah menjalani kehidupan berdasarkan prinsip-perinsip mereka sendiri dan demi untuk perinsip-prinsip tersebut walaupun dalam keadaan dan suasana apa sekalipun. Bahkan mereka mestilah membuang sifat-sifat ananiah (keakuan) dan sifat-sifat mementingkan diri sendiri dengan cara mengutamakan kepentingan dakwah dan kemaslahatannya. Sifat-sifat ini dan yang seumpamanya tidak mungkin akan memancar dalam peribadi para petugas kecuali setelah melalui proses pembersihan yang panjang, pertarungan dan penderitaan yang perit sebagaimana yang disebut di dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi.” (Surah Ar-Ra'd, Ayat: 17).

Dipandang dari sudut ini mehnah cubaan itu adalah dari Allah s.w.t supaya dengan cara itu dapat dibezakan di antara yang buruk dengan yang baik, membersihkan dan mengasingkan orang-orang yang layak dan berhak memikul tugas-tugas khalifah di bumi dan amanah yang besar lagi berat yang tidak sanggup dipikul oleh langit, bumi dan gunung-ganang.

Sesungguhnya benarlah apabila Allah berfirman yang bermaksud: “Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar) dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir.” (Surah Aali Imran, Ayat: 140 - 141).

Mehnah ujian yang dihadapi oleh para pendakwah di arena dakwah pada asasnya terbahagi kepada dua dan kedua-duanya berpecah pula kepada beberapa cabang ujian dan fitnah:

Pertama: Para pendakwah akan terdedah kepada berbagai bentuk ujian dan godaan seperti harta kekayaan, kemegahan, kekuasaan dan kedudukan serta pangkat sebagai tawaran yang dikemukakan agar mereka berpaling dari sebahagian atau keseluruhan prinsip-prinsip yang mereka perjuangkan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya.” (Surah Aali Imraan, Ayat: 14 - 15).

Kedua: Para pendakwah akan menghadapi berbagai bentuk ugutan, tekanan dan penyeksaan di mana mereka akan dipukul, dipenjara, dibunuh, diperangi atau disekat sumber rezeki mereka. Dalam menghadapi keadaan-keadaan begini mereka wajib bersabar serta meneguhkan pendirian sehingga Allah mendatangkan ketentuan-Nya.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami). Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah dan ingatlah), Allah mempunyai limpkurnia yang amat besar.” (Surah Aali Imraan, Ayat: 173 - 174).

Inilah yang menjadikan mehnah dan ujian ke atas para pendakwah itu sebagai satu anasir pembersihan, satu cara dari cara-cara yang dapat menapis dan meningkat anggota-anggota jamaah sebagaimana api yang membakar besi berserta kotorannya lalu menghasilkan besi yang baik. Sesungguhnya Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.” (Surah Al-

Anbiyaa', Ayat: 35).

Di dalam risalah yang bertajuk "Bainal Amsi Wal Yaum" (Di Antara Semalam Dengan Hari Ini) di bawah tajuk: "Ranjau-ranjau di jalan kita", Asy-Syahid Hassan Al-Banna menyatakan: "Saya suka berterus terang kepada anda sekalian, sesungguhnya dakwah kami ini mesti belum dikenali oleh orang ramai. Pada hari mereka mengenalinya dan mengetahui matlamat dan objektifnya nanti, kamu pasti menerima penentangan yang hebat dan sikap permusuhan yang ketat. Kamu akan dapati di hadapan kamu berbagai kesusahan dan halangan yang akan menghalang kamu. Pada masa itu barulah barulah kamu mula menempuh dan mengikut jalan para pendukung dakwah.

Adapun sekarang mereka tidak mengetahui lagi, kamu di peringkat awal dakwah dan anda tentu bersedia dengan apa jua cara yang dikehendaki oleh perjuangan dan jihad. Kejahilan rakyat tentang hakikat Islam akan menjadi penghalang jalan kamu. Kamu akan dapati ahli-ahli agama dan ulama-ulama yang rasmi menjadi orang yang hairan dengan kefahaman Islam kamu dan tidak mengakui jihad kamu. Semua pemerintah akan bekerjasama menjadi penghalang di hadapan muka kamu dan setiap pemerintah itu akan cuba menyekat kegiatan-kegiatan kamu dan meletakkan halangan di jalan kamu.

Lanun-lanun ini juga akan berganding bahu di setiap jalan untuk menentang kamu dan memadam sinar dakwah kamu. Mereka akan meminta bantuan pemerintah-pemerintah yang lemah dan orang-orang yang akhlaknya rendah dan tangan-tangan yang sengaja meminta sesuatu dari mereka tetapi melakukan kejahatan dan permusuhan terhadap kamu.

Kamu akan dimusuhi dan dibenci. Semuanya akan berusaha menimbulkan keraguan serta melemparkan tuduhan-tuduhan yang zalim terhadap dakwah kamu dan menunjukkan kepada manusia dengan gambaran yang paling hodoh dan kotor dengan menggunakan kekuatan dan kekuasaan yang ada pada mereka. Mereka akan menindas dengan harta-benda dan kuasa mereka.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah As-Saff, Ayat: 8).

Dengan ini kamu akan memasuki tingkat percubaan dan ujian di mana kamu akan dipenjara, ditangkap, dipindahkan, dipencilkan, dirampas harta-benda kamu, disekat kerja-kerja kamu bahkan digeledah rumahrumah kamu. Boleh jadi masa ujian yang bakal kamu hadapi ini panjang. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (Surah Al-Ankabuut, Ayat: 2).

Tetapi Allah telah berjanji kepada kamu selepas semuanya itu, iaitu kemenangan kepada para mujahidin dan ganjaran pahala kepada orang yang melakukan amal yang baik. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokongpenyokong) Nabi Isa Ibni Mariam (ketika ia) berkata kepada penyokongpenyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembelapembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.” (Surah As-Saff, Ayat: 10 - 14).

"Setelah memahami penjelasan demikian, apakah kamu akan tetap pendirian untuk menjadi penolong-penolong (pejuang-pejuang menegakkan agama) Allah?".

Sekian. Wallahu ‘alam.

No comments:

Rakan-rakan Pembaca Budiman