Saturday, June 20, 2009

Mengubah Minda Melayu


Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas

Ketua Pengarah IKIM

15/04/2007 |

Sesungguhnya, kita percaya bahawa Negara Malaysia sedang berusaha mencari pendekatan yang serba baru, dan bahawa Negara ini dibawah kepimpinan Perdana Menteri berusaha mencari mereka yang serba berani dan berkebolehan melahirkan buah fikiran yang bernas yang mampu membawa kepada faham yang bermakna. Perdana Menteri sendiri pernah berkata bahawa masa untuk bertindak telahpun sampai. Sebelum kita bercakap mengenai pendekatan yang harus diamalkan demi membawa perubahan minda di kalangan orang-orang Melayu, adalah wajar kita menjelaskan sedikit sebanyak mengenai perubahan yang dimaksudkan, faham istilah ‘minda' tersebut, dan siapakah yang dimaksudkan dengan penggunaan istilah ‘Melayu'. Sepintas lalu, rakyat Malaysia telahpun menyaksikan perhimpunan agung UMNO yang serik dengan niat membahaskan ‘agenda Melayu'. Sekiranya agenda tersebut tidak melibatkan semua orang Melayu tetapi hanya mereka yang patuh kepada pertubuhan UMNO, maka pendekatan tersebut tidak harus ditakrifkan sebagai ‘agenda Melayu' tetapi sebaliknya ‘agenda Melayu UMNO'.

Apakah perubahan yang dimaksudkan apabila membincangkan cara mengubah minda Melayu? Adakah perubahan yang dimaksudkan menjurus kepada kebaikkan ataupun sebaliknya? Sesungguhnya, kita percaya bahawa yang dimaksudkan membawa kepada kebaikkan. Seawal tahun 1970, Pemuda UMNO telah menghasilkan sebuah buku yang mengandungi himpunan kertas kertas kerja yang ditulis oles pemimpin pemimpin serta mereka yang digelar cerdik pandai berkenaan cara mengubah minda Melayu. Natijahnya, buku tersebut diterbitkan dibawah nama Revolusi Mental. Isi kandungan buku tersebut telah mengambil rujukan daripada beberapa surah yang terkandung didalam kitab al-Qur'an, himpunan hadith sahih, serta hikmah daripada tamaddun tamaddun lain khususnya tamaddun Barat dan Cina. Apakah benar tafsiran yang dipetik daripada kitab al-Qur'an? Jika sesungguhnya pendekatan yang terkandung di dalam buku tersebut dijadikan iktibar, mengapakah usaha usaha mengubah minda Melayu dibangkitkan semula?

Walaupun usaha yang diambil oleh Pemuda UMNO pada tahun 1970 dibuat dengan niat yang suci, pada pendapat saya tafsiran ayat al-Qur'an yang merujuk kepada perubahan, disalah tafsirkan. Ayat yang dimaksudkan ialah daripada surah al-Ra‘d, ayat 11 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sebelum kaum itu mengubah apa yang ada pada dirinya sendiri.”

Ayat tersebut dijadikan rujukan dan ditafsirkan oleh rangkaian pengarang buku Revolusi Mental sebagai membawa maksud ‘perubahan demi kebaikan'. Akan tetapi, merujuk kepada ayat tersebut, istilah ghayr yang membawa maksud ‘mengubah' di dalam bahasa Melayu tidak membawa maksud ‘mengubah demi kebaikkan' sama sekali, tetapi sebaliknya membawa maksud ‘mengubah demi keburukkan'. Ini adalah kerana mengikut takrif istilah ghayr di dalam bahasa Arab, ianya selalu merujuk kepada perubahan yang tidak baik. Maka ayat tersebut sesungguhnya membawa erti bahawa semua yang terkandung dalam alam semesta diciptakan Allah s.w.t. mengikut fitrah yang baik lagi sempurna. Sekiranya ciptaanNya diubah menjadi batil dan buruk, ini adalah perbuatan manusia semata mata. Oleh yang demikian, ayat tersebut haruslah diterjemahkan supaya membawa kepada faham berikut:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah [menjadi batil] nasib sesuatu kaum sebelum kaum itu mengubah [menjadi batil] apa yang ada pada dirinya sendiri.”

Saya percaya bahawa sekiranya ayat tersebut ditafsirkan dengan betul sewaktu Pemuda UMNO melancarkan penerbitan Revolusi Mental, kemungkinan besar harapan dan niat mengubah minda Melayu menuju kebaikan boleh tercapai. Ini tidak bermaksud bahawa perubahan kearah kebaikan tidak akan tercapai buat selamanya. Usaha menuju pencapaian niat murni ini telahpun bermula, dan inshaAllah akan tercapai jua dewasa kelak.

Setelah mendapati bahawa perubahan yang dimaksudkan membawa makna yang menjurus kepada ‘kebaikan', soalan seterusnya, bagaimanakah kita harus memahami takrif istilah ‘minda' yang disebut serentak dengan faham perubahan itu tadi? Istilah ‘minda' itu pada hakikatnya adalah suatu istilah yang dipinjam daripada istilah bahasa Inggeris, ‘mind', seolah olah tiada istilah sempurna yang terkandung di dalam bahasa Melayu yang berupaya mencerminkan faham dan makna istilah ‘mind'. Faham istilah ‘mind' berbeza dengan istilah ‘brain', dimana takrif istilah kedua merujuk kepada unsur jasmani manakala takrif istilah pertama merujuk kepada unsur rohani, akan tetapi amalan berfikir tidak jelas. Oleh yang demikian boleh dirumuskan bahawa apa yang dimaksudkan dengan istilah ‘minda' merujuk kepada unsur rohani. Sekiranya ini yang dimaksudkan, istilah yang terkandung di dalam bahasa Melayu lebih menepati kehendak jasmani dan rohani dengan serentak. Istilah yang dimaksudkan disini ialah ‘akal fikiran', dimana istilah ‘akal' merujuk kepada unsur jasmani manakala istilah ‘fikiran' (thought) merujuk kepada unsur rohani serta memberi maksud amalan berfikir dengan serentak. Merujuk kepada penggunaan istilah, mungkin ada yang ingin bertanya, adakah ianya penting menggunakan bahasa yang tepat? Apa salahnya menggunakan istilah istilah daripada bahasa asing sedangkan istilah istilah tersebut juga mampu membawa kepada faham yang bermakna konon?

Dalam pada menjawab soalan soalan tadi, maka adalah wajar perkara takrif ‘Melayu' dibincangkan. Siapakah mereka itu yang bergelar Melayu? Untuk menjawab soalan tersebut, marilah kita sama sama renungkan dan mengimbas kembali takrif istilah ‘Melayu' yang dikemukakan pengasas UMNO, Dato' Onn Ja'afar. Menurut beliau, takrif Melayu membawa makna bahawa mereka yang bergelar Melayu itu pada hakikatnya beragama Islam, serta mengamalkan budaya Melayu yang pada asasnya dibentuk oleh tamaddun Islam, dan bertutur dalam bahasa Melayu yang pada dasarnya dizahirkan oleh agama Islam. Takrif Dato' Onn Ja'afar tadi yang merujuk kepada istilah dan faham Melayu kemudiannya digunapakai dalam perlembagaan Malaysia. Merujuk kepada akta 160 perlembagaan Malaysia, takrif Melayu sebagaimana yang dijelaskan sebentar tadi terkandung dengan dua pindaan. Selain daripada takrif sebentar tadi, ada dua lagi sharat yang menentukan seseorang itu Melayu; pertamanya bahawa dia dilahirkan di negeri tanah Melayu kepada bapa yang digelar Melayu yang menepati takrif tadi; atau bahawa dia dilahirkan di luar negeri tanah Melayu dimana bapanya bergelar Melayu. Akan tetapi, unsur yang membawa kepada faham pengenalan diri (identity) sesungguhnya adalah agama Islam itu sendiri.

Hatta, maka bahasa merangkumi unsur faham pengenalan diri. Akan tetapi unsur tersebut hanya terdapat di dalam bahasa bahasa tamaddun Islam, antaranya bahasa Arab, Farsi, Melayu, Othmani, dan Urdu. Ini adalah kerana istilah istilah asas yang terkandung di dalam bahasa tersebut berupaya mencerminkan hikmah tasawwurnya (conceptual philosophy) sebagaimana ianya ditakrifkan mengikut rangka pandangan hidup Islam. Adalah tidak benar sekiranya dikatakan semua bahasa berupaya mencerminkan hikmat tasawwurnya, terutama sekali bahasa bahasa Barat (the romance languages). Oleh yang demikian, kita berupaya membuat simpulan bahawa bahasa bahasa yang terkandung dibawah tamaddun Islam merupakan bahasa mantiqi (languages of reason), manakala bahasa bahasa Barat tidak boleh ditakrifkan sedemikian. Akan tetapi, apakah hubungan diantara bahasa dan berfikir?

Merujuk kepada khazanah ilmu tamaddun Islam semasa zaman kegemilangannya, terdapat seorang ulama' yang tersohor bernama Abu Bishr Matta ibn Yunus (940M). Beliau merupakan seorang ulama' dalam bidang ilmu mantiq. Abu Bishr berpendapat bahawa lazimnya ilmu mantiq lebih utama berbanding bahasa; mereka yang digelar ulama' dalam bidang mantiq tidak bergantung kepada bahasa, sebaliknya mereka yang digelar ulama' dalam bidang bahasa amat bergantung kepada ilmu mantiq. Menurut beliau, ini adalah kerana ilmu mantiq mengkaji fikiran manakala bahasa mengkaji pertuturan. Oleh yang demikian ilmu mantiq menduduki martabat yang lebih tinggi berbanding ilmu bahasa. Menurut Abu Sa'id al-Sirafi pula (932M), ilmu mantiq merupakan satu ciri bahasa; kedua duanya, yakni mantiq dan bahasa mengkaji pertuturan dan oleh yang demikian, ilmu mantiq mencerminkan pengunaan bahasa yang betul dan tepat. Di sini kita boleh mengambil natijah bahawa kedua dua ilmu mantiq dan bahasa adalah saling bergantung diantara satu sama lain. Ini bermakna bahawa cara kita berfikir bergantung kepada bahasa manakala pertuturan kita mencerminkan fikiran. Nyata bahawa terdapat apa yang dikatakan sebagai mantiq bahasa; bermakna bahasa itu bersifat mantiqi dan yang dizahirkan menerusi pengunaan bahasa yang disusun menurut aliran fikiran yang betul lagi tepat. Mengambil bahasa Melayu sebagai contoh, kita telahpun menyifatkan bahasa tersebut sebagai bahasa mantiqi. Oleh yang demikian ia lazimnya mencerminkan fikiran yang bersifat mantiqi. Tetapi sekarang kita ingin mengubah ‘minda' Melayu; ini bermaksud kita harus mengubah bahasa Melayu, manakala sebentar tadi kita menyifatkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang membawa kepada pengenalan diri. Maka sekiranya kita mengubah bahasa Melayu, lazimnya kita akan mengubah pengenalan diri kita. Tetapi hakikatnya ialah kita sudahpun berada di ambang kejahilan yang tidak lagi mengenal diri kita sendiri disebabkan perubahan bahasa. Lebih lebih lagi, dalam pada mengubah bahasa kita telah menggadaikan tanggungjawab berfikir tanpa menyedarinya. Hasilnya, kefahaman disempitkan manakala kejahilan dibiarkan bermaharajalela dengan serentak. Pendidikan bahasa Melayu di sekolah sekolah rendah, menengah dan kuliyyah pengajian tinggi tidak melibatkan tatacara bahasa, sharat sharat penggunaan bahasa, mahupun kefahaman berkenaan pertuturan bahasa yang bersifat mantiqi. Kesudahannya orang Melayu sendiri telah menggadaikan peluang kemajuan. Disebabkan kita sendiri yang tidak memartabatkan penggunaan bahasa Melayu yang tepat dan betul, akal fikiran kita juga tidak dididik mengikut acuan mantiqi; dan sebaliknya disebabkan fikiran kita tidak berlandaskan cara berfikir yang betul, hakikat zahirnya dicerminkan melalui penggunaan bahasa yang tiada membawa kepada faham yang bermakna.

Saya berpendapat bahawa inilah satu daripada sebabnya orang Melayu disifatkan sebagai kurang tajam dalam bidang sains, ilmu hisab, dan didapati sukar memperolehi kemahiran dalam mempelajari bahasa bahasa asing, terutamanya bahasa bahasa Barat, khususnya bahasa Inggeris. Walaupun bahasa bahasa Barat tidak disifatkan sebagai bahasa mantiqi, ianya diajar menurut urutan mantiq. Oleh yang demikian, bahasa bahasa tersebut berjaya menyamar sebagai bahasa mantiqi walaupun makna istilah istilah yang digunapakai itu sendiri tidak mempunyai hikmat tasawwaurnya. Natijahnya, pandangan hidup mereka sentiasa dalam keadaan umbang ambing, yang tidak menentu, yang kerap diperbaharui selaras dengan perkembangan arus sains dan sejarah manusia.

Mungkin ada pula pendapat yang menyoal kaitan diantara berfikir dan bahasa, dan mengubah minda Melayu. Menurut mereka apa yang dipersoalkan disini tiada kaitannya dengan persoalan Melayu berfikir tetapi lebih menjurus kepada mengubah tingkah laku dan sikap orang Melayu. Kita akan menjawab bahawa sebagaimana yang disebutkan sebentar tadi, cara bertutur mencerminkan isi kandung fikiran, dan sebaliknya isi kandung fikiran itu bergantung kepada pengunaan bahasa. Lebih dari itu, sikap dan amalan menjadi zahir berasaskan kefahaman, yang mencerminkan cara berfikir, yang saling bergantung kepada penggunaan bahasa yang tepat. Oleh kerana itu, sekiranya niat kita ialah supaya mengubah sikap dan amalan orang Melayu, maka adalah wajar supaya cara berfikir dan penggunaan bahasa yang tepat dijadikan matlamat utama.

Sukacita saya menyatakan disini bahawa adalah tidak adil melayakkan semua orang Melayu untuk melalui perubahan ‘minda' ini. Walaupun hakikatnya ada sebahagian daripada orang Melayu yang memerlukan perubahan ‘minda' ini, akan tetapi tidak semuanya. Soalan yang harus diajukan ialah siapakah mereka yang memerlukan perubahan ‘minda' ini? Mengimbas kembali pengajaran daripada sejarah, para ulama' merupakan asas kepada kegemilangan tamaddun Islam manakala kejahilan dan kezaliman terhadap golongan para ulama' membawa kepada kemerosotan tamaddun itu. Mengambil satu petikan daripada sirah nabi; suatu hari seorang bertanyakan Rasulullah berkenaan tanda tanda kemarahan dan kemurkaan Allah. Rasulullah menjawab, satu daripada tandanya ialah apabila Allah mengeluarkan golongan para ulama' daripada kalangan mereka yang zalim. Nyata sekali bahawa golongan para ulama' merupakan asas kepada pembangunan masyarakat. Inilah sebabnya kesemua raja raja serta sultan sultan pada zaman kegemilangan tamaddun Islam amat menghargai golongan para ulama'. Mereka yang bergelar ulama' pada masa itu dihormati dan disegani. Mereka benar benar mencerminkan makna istilah tersebut, yang mampu memberi kefahaman mengenai kaitan ilmu dengan alam semesta, dan alam semesta dengan Al-Alim. Kewibawaan dan kebolehan mereka diukur berdasarkan rangkaian riwayat peradaban ulama' ulama' mereka dan bukan berdasarkan pegangan aliran siasah mereka ataupun berdasarkan kepada kebolehan serta kepakaran mengampu ampu para pemimpin ataupun golongan mereka yang berkuasa.

Malangnya, hakikatnya hari ini sebahagian diantara mereka yang bergelar ulama' sebenarnya juhala'. Ada juga sebahagian yang bergelar ulama' hanya berdasarkan kepada pegangan aliran siasah, ada juga yang dinobatkan oleh segelintir pemerintah dan pemimpin berdasarkan kepakaran megampu. Maka tidak hairan sekiranya sebahagian rakyat jelata disifatkan sebagai jahil dan merosot. Golongan para pemimpin harus faham bahawa mereka yang benar benar alim tidak perlu bergantung kepada mereka untuk dinobatkan sebagai alim. Sayyidina Ali ibn Abi Talib pernah berkata, jangan sekali kali mengukur ilmu berdasarkan siapa yang membawanya, sebaliknya jadikanlah ilmu yang dibawa oleh seorang itu sebagai tanda ukur keilmuannya. Oleh yang demikian, adalah tidak wajar memberi penghormatan kepada segelintir mereka yang membawa kepada kejahilan dan kemunduran hanya kerana mereka telah dinobatkan sebagai ulama' oleh sejumlah kecil pemimpin atau pihak yang berkuasa yang tidak bergelar ulama' sendiri. Akan tetapi hakikatnya ialah sebahagian yang bergelar ulama' diantara golongan orang Melayu hari ini sebenarnya tidak layak memikul amanah tersebut. Golongan yang dimaksudkan inilah yang diamanahkan sebagai penasihat agama kepada sebahagian para pemimpin. Merekalah yang menzalimi golongan para ulama' yang sah disebabkan ketandusan ilmu mereka. Merekalah yang mendiamkan diri semasa perhimpunan agung UMNO yang membahaskan agenda Melayu. Merekalah yang mencetuskan kekeliruan dan kecelaruan yang membawa kepada kemelut dan kezaliman. Hakikat ini jelas diperlihatkan sekarang berdasarkan kemelut yang melanda golongan orang Melayu. Untuk mengatasi masaalah yang melanda kita sekarang, haruslah kita mengimbas semula kedudukan maruah bangsa, dan seterusnya menolak mereka yang membawa kepada kekeliruan dan fitnah. Insha Allah kita semua akan mengambil iktibar daripada isi kandungan maqalah ini, dan berusaha dengan bersungguh sungguh untuk memperbaiki kemiskinan peradaban kita. Mudah mudahan Allah akan memberkati kita dalam usaha mengubah demi kebaikkan akal fikiran golongan Melayu yang disebutkan sebentar tadi. Wallahu a‘lam bissawab.

No comments:

Rakan-rakan Pembaca Budiman