Saturday, June 13, 2009

Pendidikan ilmu islam semenjak lahir hingga peringkat menengah di Malaysia


Mukadimah:

“Tulisan ini berdasarkan balasan emel-emel yang diterima dan juga pengamatan penulis dari media-media cetak dan elektronik dalam dan luar negara. Ternyata banyak kekeliruan dan ketidakfahaman orang awam terutamanya dikalangan orang melayu tentang pendidikan atau tarbiyah anak-anak yang dapat membentuk jati diri seseorang anak sebagai seorang muslim.”

Sebelum melangkah ke alam persekolahan tadika, kita ditarbiyah oleh ibubapa, sanak saudara dan persekitaran. Bersesuaian dengan hadis nabi saw “Setiap anak-anak yang dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah, maka ibubapanyalah yang akan mencorakkan dia samada menjadi yahudi, majusi (menyembah api seperti hindu) atau nasrani (kristian)”. Kemudiannya, hampir kesemua kita pergi ke sekolah formal tadika, tabika, taska, taski atau apa saja nama-nama lain dan ada juga ibubapa yang menghantar anak-anak seawal usia 2 ½ tahun ke taman-taman asuhan. Disinilah bermulanya alam persekolahan formal kita yang akan membentuk jati diri insaniah kita sebagai seorang muslim. Oleh yang demikian, pemilihan institusi persekolahan kita amat penting dalam memberi impak kepada pembangunan sahsiah setiap anak-anak.

Kemudiannya, mengikut undang-undang negara, setiap anak-anak berumur 7 tahun diwajibkan mendaftar diri untuk persekolahan formal darjah satu peringkat sekolah rendah. Umum mengetahui bahawa di peringkat sekolah rendah, silabus yang di ajar bersesuaian dengan tahap pemikiran dan sifat anak-anak peringkat ini. Dengan itu, Jabatan Pendidikan menggariskan kandungan silabus yang amat sesuai untuk tahap ini. Silabus subjek agama islam contohnya merangkumi asas-asas fardhu ain agama islam. Jika anak-anak menghayati apa yang dipelajari dalam subjek agama sepanjang enam tahun ini, maka insyaAllah anak-anak itu akan menjadi seorang anak muslim yang baik. Pokoknya, ibubapa dan keluarga dan masyarakat sekeliling juga perlu menghayati ilmu islam yang sama supaya anak-anak itu tidak kekok dan keliru antara apa yang dipelajari dan apa yang diamalkan oleh umum. Inilah persoalan besar yang sebenarnya!!! Apa yang dipelajari banyak tidak selari dengan realiti amali.

Perkembangan ilmu islam anak-anak ini dibawa kehadapan di peringkat sekolah menengah. Seperti juga silabus sekolah rendah, silabus agama islam sekolah menengah diperinci dengan mendalam oleh ahli-ahli yang pakar dan mahir dalam subjek ini dan juga pedagogi. Sepanjang pengajian penulis, silabus-silabus yang terkandung dalam matapelajaran akademik amat kaya dengan sumber-sumber ilmu yang lebih dari mencukupi untuk melahirkan jati diri seorang melayu muslim yang berakhlak tinggi. Namun, semua ini perlulah di fahami dan dihayati dengan sebenarnya di alam nyata. Hakikatnya, ramai muslim yang terpedaya dengan keindahan dan keseronokan mehna duniawi. Akibatnya, ilmu islam yang dipelajari tidak dapat membenteng mereka dari hasutan dan godaan syaitan dan manusia. Tambahan pula, globalisasi tanpa sempadan memungkinkan media dan bahan-bahan maklumat tersebar dan diakses dengan mudahnya dimana-mana sahaja. Segala macam data dan maklumat yang dapat mempengaruhi perbuatan seorang muslim amat mudah didapati. Lalu jadilah kekeliruan dan ketidakselarian ilmu islam yang dipelajari dengan bahan-bahan maklumat terutama hiburan yang terbentang didepan mata. Maka jadilah gejala sosial, ketidakpatuhan ajaran yang sebenar yang telah dipelajari secara formal di sekolah rendah dan menengah dan juga secara tidak formal yang diajar dan dipengaruhi oleh ibubapa, keluarga dan masyarakat. Ada juga ibubapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama (madrasah) selepas pulang dari sekolah formal. Persoalannya: individu itu tidak memahami dan menghayati subjek agama yang dipelajari? Atau hasutan dan pengaruh media dan persekitaran melebihi ilmu dan iman setiap anak-anak itu?

Dalam tulisan akan datang, penulis akan kaitkan tulisan Fathi Yakan, apa ertinya saya menganut islam dengan konteks Melayu, Islam dan Malaysia.

Sekian. Wallahu ‘alam.

No comments:

Rakan-rakan Pembaca Budiman