Sunday, June 14, 2009

Bab 1: Saya Mesti Hidup Untuk Islam


Pengakuan beragama Islam bererti saya mesti hidup berdasarkan Islam, baik dari segi keyakinan, ibadah mahupun akhlak. Kalau saya mengaku sebagai seorang muslim ertinya diri saya, rumah-tangga saya dan ahli keluarga saya mestilah menghayati Islam. Pengakuan itu memaksa saya wajib hidup untuk memperjuangkannya. Seluruh jiwa raga dan kemampuan saya harus diarahkan untuk memperkuatkan agama dan meluaskan pengaruhnya.

Dalam dunia ini ada tiga kategori manusia:

i. Golongan Yang Hidup Untuk Dunia Sahaja.

Golongan ini ialah golongan kebendaan (materialis), samada berdasarkan falsafah mahupun golongan "Dahriyyin". Pandangan Dahriyyin ini dijelaskan oleh Al-Quran sebagaimana berikut yang bermaksud: “Dan tentulah mereka akan berkata pula: Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati.” (Surah Al-An'aam, Ayat: 29).

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan mereka berkata: Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti) dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan sematamata.” (Surah Al-Jaathiyah, Ayat: 24).

Orang-orang komunis dan rakan-rakan mereka dari golongan sekular atau penganut fahaman existensialism juga beranggapan sedemikian. Dalam satu ulasan yang ditulis oleh Joseph Stalin terhadap pendapat seorang ahli falsafah yang mengatakan: "Alam ini tidak dicipta oleh mana-mana Tuhan atau insan. Ia terjadi dengan sendirinya dan akan kekal berterusan sebagaimana adanya. Ia merupakan obor kehidupan yang terus menyala dan akan padam berdasarkan hukum-hakam yang tertentu". Lenin menyatakan: "Ini adalah satu analisis yang indah terhadap dialektik materialism".

Sebenarnya apabila manusia mengingkari wujudnya kehidupan selepas alam nyata, mengingkari adanya hari perhitungan terhadap segenap perilaku malah seluruh cita dan usahanya akan tertumpu hanya untuk merangkul dunia yang fana ini. Ilmunya pun sekadar itu juga.

ii. Golongan Yang Sesat Antara Dunia dan Akhirat.

Mereka ini adalah terdiri dari golongan minoriti, akidah mereka bersimpang siur dan usaha mereka di dunia ini adalah usaha yang sia-sia, tanpa berkat dan restu Allah. Namun mereka menyangka yang mereka telah berbuat baik.

Orang ini walaupun percaya pada Allah dan hari Akhirat, namun akidah mereka tidak lebih dari gambaran palsu yang terpisah dan terputus dari realiti kehidupan. Mereka ini pada hakikatnya termasuk dalam golongan yang menganut fahaman kebendaan sekalipun pada zahirnya mereka melakukan sebahagian dari upacara-upacara kerohanian. Tepatlah seperti yang dikatakan oleh penyair di dalam sepotong syairnya:

“Kita tempungkan kecacatan dunia kita,

Dengan mengoyakkan agama kita,

Akhirnya rosak kedua-duanya,

Baik dunia mahupun agama,”

Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna di dalam Risalahnya yang bertajuk "Fi Ayyi Nad'un Nas (Ke mana kita ingin menyeru manusia)" menyatakan: "Sebenarnya Al-Quran telah menentukan matlamat kehidupan dan tujuan-tujuan kehidupan manusia ..." Ia menerangkan segolongan manusia yang hidup mereka adalah untuk makan minum dan menikmati kelazatan dunia.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang Nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.” (Surah Muhammad, Ayat: 12).

Al-Quran menerangkan adanya segolongan manusia yang tujuan hidup mereka adalah untuk menikmati perhiasan dan bersenang-senang dengan kemewahan, dalam firman Allah yang bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anakpinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebunkebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). (Surah Aali Imran, Ayat: 14).

Al-Quran juga menerangkan gelagat segolongan manusia yang hidup mereka di dunia adalah mengadakan angkara fitnah, menyuburkan kejahatan dan kerosakan, dalam sebuah firman Allah yang bermaksud: “Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya) dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di bumi, untuk melakukan bencana padanya dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.” (Surah Al-Baqarah, Ayat: 204-205).

Demikianlah tujuan-tujuan hidup manusia di dunia. Allah s.w.t telah membersihkan orang-orang mukmin dari tujuan-tujuan yang salah dengan memberikan tanggungjawab dan kewajipan yang tinggi lagi mulia.

Tanggungjawab tersebut ialah menunjukkan kebenaran Islam kepada manusia. Mengajak manusia seluruhnya kepada kebajikan dan menyinarkan seluruh alam ini dengan cahaya Islam.

iii. Golongan Yang Menganggap Dunia ini Adalah Ladang Tanaman Untuk Di Akhirat.

Mereka inilah golongan yang benar-benar beriman, mereka mengetahui hakikat hidup ini. Mereka menginsafi nilai hidup di dunia ini dibandingkan dengan akhirat kerana firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” (Surah Al-An'aam, Ayat: 32).

Ekoran dari rendahnya nilai dunia jika dibandingkan dengan akhirat maka kehidupan dunia tidaklah sampai menghalang dan menyibukkan mereka daripada melaksanakan tujuan dan matlamat mereka diciptakan oleh Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Surah Az-Zariyaat, Ayat: 56).

Orang-orang yang benar menggabungkan dirinya dengan Islam menganggap dunia ini sebagai medan untuk mereka berbakti mentaati Allah dan memperolehi keredaan-Nya. Seluruh hidup mereka baik ilmu pengetahuan, perniagaan, harta kekayaan, rumah tangga, masa dan waktu serta pemikiran mereka semuanya dicurahkan untuk tujuan mentaati Allah.

Sebaliknya golongan kebendaan menggunakan segala kurniaan tersebut demi untuk memuaskan hawa nafsu dan keinginan syahwat. Kenyataan ini telah dibuktikan dengan sebahagian besar ciptaan-ciptaan (kemajuan) zaman moden ini dan kebanyakan hasil perahan daya fikiran manusia bertujuan untuk menyogokkan kepada manusia kelazatan dan kerehatan jasmaninya bukan bertujuan untuk membangunkan alam sejagat ini dengan nilai-nilai kebaikan, kedamaian dan ketenangan. Kemajuan alat alat rekaan baru seperti kereta, pesawat, kapal terbang, mesin basuh, peti sejuk, alat-alat solek, perabut rumah, pakaian, alat-alat hiburan malahan ribuan ciptaan yang dibuat oleh kilang perusahaan yang moden dan canggih pada hari ini, semuanya bertujuan memberikan kerehatan, keselesaan kepada hidup manusia.

Dalam konteks ini walaupun Islam sama sekali tidak melarang mengkaji (menyelidik), mencipta dan menghasilkan sesuatu, namun ia haruslah dilakukan dengan syarat:

1. Dengan kadar yang tidak membawa manusia kepada kemudaratan atau bahaya.

2. Dalam bentuk yang boleh mendatangkan kebaikan dan kebajikan dalam masyarakat. Ertinya, kerja-kerja tersebut hendaklah diperhatikan dari segi penyesuaiannya dengan syarak dan akhlak.

Dalam hubungan ini Imam Hasan Al-Banna di dalam risalah, "Ke Mana Kita Menyeru Manusia" mengatakan: "Demi Tuhanmu, wahai saudara yang dimuliakan; adakah umat Islam memahami pengertian ini (dari Kitab Allah) yang menyebabkan jiwa mereka akan menjadi tinggi, semangat mereka akan meningkat malah mereka akan bebas dari belenggu kebendaan. Mereka akan terhindar dari godaan syahwat dan keinginan nafsu serta menjauhi perkara-perkara yang sia-sia dan tujuan-tujuan yang penuh kehinaan. Dengan kefahaman ini mereka dapat meluruskan tujuan dan haluan mereka kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, ikhlas mempertahankan kalimah Allah, berjihad pada jalan-Nya, menyebarkan agama-Nya dan mempertahankan syariat-Nya atau sebaliknya mereka ditawan oleh syahwat dan menjadi hamba kepada kerakusan nafsu serakah. Seluruh impian mereka hanyalah untuk mengisi uncang perut mereka dengan makanan yang lazat, kenderaan yang cantik, tidur yang nyenyak dan gelaran-gelaran yang kosong".

Seorang penyair menyatakan:

“Mereka bersenang-senang dengan angan-angan khayalan,

Sedangkan segala pemberian adalah ujian,

Mereka mendakwa telah mengharungi lautan dengan,

Sesungguhnya mereka belumpun bertemu ujian,”

Sesungguhnya benarlah sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Celakalah (orang yang hidupnya menjadi) hamba abdi dinar, celakalah (orang yang hidupnya menjadi) hamba abdi diram. Celakalah (orang yang) menjadi hamba abdi kepada pakaian". (Hadis riwayat Imam Bukhari).

Bagaimana Cara Saya Hidup Untuk Islam:

Supaya hidup ini terarah menurut lunas-lunas Islam maka beberapa masalah pokok haruslah difahami serta dihayati sebagai satu kewajipan. Contohnya:

i. Mengenai Tujuan Hidup.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Surah Az-Zaariyaat, Ayat: 56).

Firman Allah yang ke seterusnya bermaksud: “Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang ArasyNya berada di atas air (Dia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” (Surah Hud, Ayat: 7).

ii. Menginsafi Nilai Dunia Ini Dibandingkan Dengan Akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: “Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.” (Surah At- Taubah, Ayat: 38).

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).” (Surah Aali Imran, Ayat: 14).

Diriwayatkan, pada suatu ketika Rasulullah s.a.w menghadap ke suatu tempat membuang sampah (mazbalah), lalu baginda memanggil para sahabat baginda sambil bersabda: "Ayuhlah, kejarlah dunia"; kemudian baginda mengambil cebisan kain yang telah usang dan tulang-tulang yang sudah reput sambil berkata: "Inilah dunia".

Menurut riwayat yang lain, pada suatu hari Rasulullah s.a.w melihat kepada bangkai anak kambing yang dibuang oleh tuannya lalu baginda berpaling kepada para sahabatnya dan bersabda: "Adakah kamu melihat betapa hinanya bangkai kambing itu di sisi tuannya, demi Allah dunia ini lebih hina di sisi Allah melebihi kehinaan kambing tersebut di sisi tuannya.

Kalaulah nilai dunia ini menyamai nilai sebelah sayap seekor nyamuk nescaya Allah tidak akan memberi seteguk airpun untuk minuman orang kafir".

Baginda juga bersabda: "Hari kiamat semakin hampir sedangkan manusia semakin tamak-rakus kepada dunia dan mereka juga semakin jauh dengan Allah". (Hadis riwayat Tirmizi, Ibn Majah, dan Hakim)

Baginda juga bersabda: "Dunia ini adalah penjara untuk orang mukmin dan syurga bagi orang kafir". (Riwayat Muslim)

iii. Menginsafi Bahawa Maut Pasti Tiba.

Firman Allah yang bermaksud: “Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa. Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.” (Surah Ar-Rahmaan, Ayat: 26 - 27).

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Surah Aali Imran, Ayat: 185).

Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sentiasalah mengingati pemusnah kelazatan dan pemisah golongan-golongan (iaitu kematian).” (Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban).

Abu Zar Al-Ghiffari r.a berkata: "Saya berkata kepada Rasulullah s.a.w: Apakah kandungan Suhuf Nabi Musa?" Baginda menjawab: "Keseluruhannya adalah pengajaran". Aku merasa hairan terhadap orang yang yakin kepada kematian tetapi ia masih terus bergembira, Aku hairan kepada orang yang yakin tentang neraka tetapi ia masih ketawa, Aku hairan terhadap orang yang meyakini qadar ketentuan Allah tetapi masih kecewa, Aku hairan terhadap orang yang melihat dunia yang membolakbalik penghuninya tetapi ia masih merasa aman terhadap dunia, Aku juga merasa hairan terhadap orang yang meyakini adanya hisab di kemudian hari tetapi masih tetap tidak beramal (untuk bekalan)".

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa beliau keluar bersama-sama Rasulullah s.a.w mengiringi jenazah. Rasulullah s.a.w bersabda sambil duduk menghadap ke arah sebuah kubur: "Tiap hari kubur ini menyeru dengan nyaringnya: Hai anak Adam lupakan engkau kepada aku. Tidakkah engkau ketahui bahawa aku ini tempat keseorangan, tempat kesunyian, tempat cacing dan tempat yang sempit kecuali yang Allah lapangkan baginya". Kemudian baginda bersabda: "Kubur ini adalah salah satu taman dari taman-taman syurga atau (sebaliknya) salah satu lubang dari lubang-lubang neraka". (Diriwayatkan oleh Tabrani).

iv. Mengetahui Hakikat Islam.

Iaitu dengan mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu agama, dasar-dasar, hukum-hakam, yang halal dan yang haram. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan berdoalah dengan berkata: Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.” (Surah Taha, Ayat: 114).

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya ilmu itu hanya diperolehi dengan belajar dan kefahaman pula hanya didapati dengan mendalaminya, sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan pada dirinya, diberikan kefahaman yang mendalam di dalam urusan agama". (Riwayat Tabrani).

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya para Nabi tidaklah meninggalkan dinar dan dirham. Hanya mereka yang meninggalkan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya ia telah mengambil bahagian yang lumayan". (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

v. Mengetahui Hakikat Jahiliah.

Iaitu dengan meneliti ciri-ciri pemikiran jahiliah, aliran-aliran dan perancangannya. Di samping menyingkap akibat-akibat dan keburukannya. Dengan memahami hakikat ini kita tidak terperangkap ke dalam jaring-jaringnya selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesiapa yang mempelajari bahawa suatu kaum ia terselamat dari rancangan jahat mereka".[1]

Sifat-sifat Mereka Yang Hidup Untuk Islam.

Jika saya seorang yang menghayati Islam dan hidup untuk memperjuangkan Islam maka tentulah bentuk serta corak hidup saya berbeza dengan manusia yang lain. Antara bentuk dan corak tersebut ialah:

i. Benar-benar Terikat dan Menurut Ajaran Islam.

Iman itu bukanlah hanya dengan angan-angan sahaja, tetapi ia adalah suatu yang tertunjang di dalam hati dan dibuktikan oleh perbuatan. Di dalam firman Allah selalu sahaja mengaitkan antara iman dan amal.

Di antaranya yang bermaksud: “Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh.” (Surah Al-Asr, Ayat: 3). Firman Allah lagi yang bermaksud: “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” (Surah Al-Baqarah, Ayat: 44).

Dalam firman lain yang bermaksud: “Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah As-Saff, Ayat: 3). Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali berkata: "Dua lelaki telah member musibah ke atas diriku, pertama orang alim yang melanggar larangan agama dan kedua orang jahil yang beribadat. Si jahil memperdayakan orang ramai dengan ibadatnya manakala si alim pula memperdaya orang ramai dengan pelanggaran terhadap agama". Rasulullah s.a.w berwasiat kepada seluruh umat Islam supaya berjaya-jaga: "Jadilah kamu orang-orang yang memelihara ilmu dan janganlah kamu menjadi tukang riwayat". (Riwayat Abu Nu'aim).

ii. Mengutamakan Kepentingan Islam.

Berhubung dengan tuntutan ini Rasulullah s.a.w bersabda: "Berkisarlah kamu bersama-sama dengan Kitab Allah (untuk kepentingan Islam) di mana kepentingan berkisar-kisar". Baginda juga bersabda: "Sesiapa yang berpagi-pagian tidak mengambil berat perihal orang Islam maka dia bukanlah dari golongan mereka".

Rasulullah s.a.w menjelaskan perkara ini secara langsung: "Engkau memegang pos penting dari pos-pos Islam, maka (awas) jangan sampai musuh dapat terlepas dari pengawasan kamu".

Di dalam peperangan Uhud Saad bin Ar-Rabie' ditemui di dalam saat-saat menghampiri maut sedang di tubuhnya terdapat tujuh puluh liang luka kerana rejaman tombak, tetakan pedang dan tusukan panah, lalu ia menoleh kepada Zaid bin Thabit lalu berkata: "Katakanlah (sampaikanlah berita ini) kepada Rasulullah s.a.w, sesungguhnya saya telah mencium bau syurga dan beritahulah kaumku orang-orang Ansar, tidak ada keuzuran mereka di sisi Allah sekiranya mereka benar-benar ikhlas kepad Rasulullah s.a.w selama mata kamu masih belum pejam, kemudian di saat itu juga dia menghembuskan nafasnya yang terakhir".

iii. Merasa Mulia Dengan Kebenaran Islam dan Yakin Kepada Allah.

Ini adalah di antara sifat-sifat orang yang beriman. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Al-Munafiquun, Ayat: 8). Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Surah Aali Imraan, Ayat: 139).

Diriwayatkan pula bahawa ketika orang-orang Islam yang berhijrah mencari perlindungan kerana mempertahankan agama mereka di Habsyah, lalu mereka masuk menghadap raja Najasyi, lantas paderi dan pendeta yang ada di situ meminta mereka sujud untuk menghormati raja. Tetapi Jaafar bin Abi Talib yang menjadi ketua rombongan menjawab: "Kami adalah satu kaum yang tidak sujud kecuali kepada Allah".

Malah di dalam sejarah Islam kita menemui ratusan contoh yang memperlihatkan kemuliaan, ketegasan pendirian dan keberanian yang dirakamkan oleh generasi pertama umat Islam seperti Khubaib bin Adi, Zaid bin Ad-Dathanah, Rub'ie bin Amir, Mus'ab bin Umair, Said bin Jubair, Said bin Al-Musayyab dan lain-lain yang sewajar dipelajari perjalanan hidup mereka untuk dijadikan contoh teladan.

iv. Beriltizam Dengan Kerja-kerja Islam dan Kerjasama Dengan Aktiviti-aktiviti Islam.

Apabila saya mengaku sebagai seorang muslim, maka saya wajib bekerja untuk Islam. Saya patut bekerja dalam satu jemaah, bekerjasama dengan pendakwah lain yang menyeru kepada Allah dan menyuruh kepada kebaikan serta mencegah keburukan. Saya harus bekerja keras untuk mengwujudkan individu muslim, rumah tangga muslim, masyarakat muslim dan negara yang benar-benar Islam.

Allah berfirman yang bermaksud: “Kami akan menguatkan tenaga dan daya usahamu dengan saudaramu (Harun).” (Surah Al-Qasas, Ayat: 35).

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah Al-Maidah, Ayat: 2).

Rasulullah s.a.w bersabda: "Seseorang muslim dengan seorang muslim yang lain laksana satu bangunan yang tersusun, saling kuat-menguatkan di antara satu sama lain". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Sabda baginda lagi: "Tangan (atau pertolongan) Allah itu bersama jemaah. Sesungguhnya serigala itu memakan kambing yang terpisah (dari kumpulannya)". (Abu Daud meriwayatkan hadis seperti ini.)

Sabdanya lagi: "Kamu wajib bersama jemaah muslimin dan Iman (pemimpin) mereka". (Hadis sebahagian riwayat Bukhari dan Muslim). Sabda baginda yang lain: "Jemaah itu berkat". "Jemaah itu rahmat dan perpecahan itu azab".[2]

Sekian. Wallahu ‘alam.



[1] Albani mengatakan: Saya tidak menemui hadis ini dengan lafaz tersebut dan tidak ada seorang pun yang menulis mengenai hadis yang sering disebutkan oleh orang awam yang menyebutnya. Seolah-olah hadis ini di sebarkan sejak kebelakangan ini. Tetapi hadis ini mempunyai makna yang sama dengan hadis yang di riwayatkan oleh At-Tirmizi (bukan berkata hadis ini Hassan Sahih), Hakim, Abu Daud dan Ahmad.

[2] Hadis riwayat Abdullah Ibn Ahmad Ibn Hanbal dalam Zawaid al-Musnad. Al-Hafiz as-Sakhawi berkata: Hadis ini diriwayatkan oelh ad-Dailami juga dan kedua-dua sanadnya lemah tetapi ia mempunyai banyak syawahid.

No comments:

Rakan-rakan Pembaca Budiman